Aira Shahira

Korban Kerusi Biru

Terhangat di pasaran!

Jika pembaca pernah membaca novel seram berjudul Lembaga Kerusi Belakang dalam keluaran sebelum ini, pastinya tertanya-tanya tentang punca kejadian ngeri yang berlaku bukan? Novel ini ada jawapannya! Ini dia sebuah lagi karya novelis comel Kak Ain Maisarah, gabungan meletup bersama abang tembam Aman Wan kini tampil dengan novel  Korban Kerusi Biru yang memberi lebih kepuasan dan pastinya membuatkan pembaca resah gelisah serta dibayangi misteri! Novel ini merupakan buku kedua daripada trilogi kerusi biru. Novel setebal 101 mukasurat terbitan BLINK Book Sdn. Bhd. ini bertemakan persahabatan dan diselitkan dengan isu buli,penderaan dan perkara mistik. Genre novel ini lebih kepada kisah seram dan sedih.


Sinopsis ringkas

Mengisahkan tentang Janna, seorang pelajar yang mempunyai kelebihan melihat makhluk halus selepas kematian ayahnya. Penampakan pelbagai jenis makhluk yang menyeramkan menjadikannya trauma lalu berpindah ke Sri Bangsar. Nani pula seorang pelajar yang cemerlang namun menyimpan rahsia terbesar dalam dirinya. Masalah penderaan oleh ayah tirinya serta dibuli Edora si samseng sekolah sudah cukup memberi tekanan kepadanya. Janna dan Nani masing-masing sering dipulaukan dan dibuli di sekolah. Namun, sejak peristiwa gurunya meminta Nani mengajarkan Janna, mereka semakin akrab dan sentiasa bersama.  Janna pula sering melihat kelibat lembaga yang menakutkan mengikuti Nani. Manakala Edora terus berusaha menjauhkan Janna dari Nani kerana ingin melihat Nani sengsara. Atas ugutan daripada Edora, Janna terpaksa melakukan perkara yang amat melukai hati Nani. Kemuncak penceritaan, Nani yang berada dalam keadaan sedih dan tertekan, bertindak membunuh diri dengan cara tragis di dalam kelasnya menjadikan kerusi biru terus dihantui.


Menarik atau tidak?

Pastilah menarik! Mengapa? Gabungan novelis kali ini berjaya mengetengahkan pelbagai tema dan isu dalam satu novel seperti isu buli dan penderaan disamping menonjolkan elemen seram. Penulis juga membawa sedikit kelainan dalam novel ini iaitu kombinasi kisah seram dan sedih yang pastinya akan mewujudkan mainan perasaan kepada pembaca. Bukan itu sahaja! Novel ini juga menyelitkan seribu satu nilai murni dan pengajaran yang akan memberi kesedaran kepada pembaca. Muka hadapan novel sahaja sudah menampilkan lembaga hitam yang cukup menyeramkan, sudah tentu menarik minat pembaca mengetahui kisah didalamnya. Ternyata kehebatan jalan cerita yang seram cukup setanding dengan keunikan muka hadapan novel ini. Yang pastinya, persepsi pembaca akan berubah 360 darjah setelah menilik satu persatu helaian novel yang cukup tragis ini. Teknik dan plot penceritaan yang penuh dengan elemen suspen dan seram membuatkan jantung pembaca seakan mahu keluar dari sangkar rusuk. Bulu roma pula tetap utuh berdiri umpama menyanyikan lagu negaraku. Saya pasti peminat kisah seram akan teruja! Namun, jumlah halaman novel yang agak sedikit mungkin akan membuatkan pembaca tidak puas meneroka keasyikan dunia seram ini. Khabarnya akan ada buku ketiga yang bakal menyusul selepas ini bagi melengkapkan trilogi kerusi biru. Tidak sabar rasanya menunggu sambungan kisah sumpahan si lembaga kerusi biru. Mungkinkah ia merupakan penutup bagi menjawab segala persoalan di dalam buku pertama dan kedua? Dan mungkinkah buku ketiga bakal tampil dengan letusan elemen seram yang berganda-ganda? Tunggu dan lihat hasilnya !


Babak dalam novel

Babak yang paling menyentuh perasaan saya, ketika babak penceritaan kisah hidup Nani yang sering didera oleh bapa tirinya,Tuan Anaz yang sentiasa inginkan kesempurnaan. Sungguh kejam! Saya bagaikan dapat merasai penderitaan yang ditanggung Nani. Elemen sedih amat menonjol pada babak ini. Perasaan sedih, pilu, sayu, dan duka hadir tanpa diundang hingga hampir menumpahkan air mata. Dramatik sungguh! Kejutan plot dapat dilihat ketika Nani bertindak membunuh diri dengan menggunting dan merobek kulit mukanya sendiri. Seram sejuk saya dibuatnya. Langsung tidak menyangka penulis bertindak mengakhiri watak Nani dengan cara yang tragis sekali. Sungguh menggerunkan!


Pengajaran

Apa yang saya dapati, nilai persahabatan menjadi tunjang utama penceritaan novel ini. Dibuktikan melalui kisah yang menyayat hati antara Janna dan Nani. Selain itu, babak buli yang diceritakan bukanlah mengajak pembaca untuk membuli,malah mengingatkan pembaca agar tidak bersikap lemah yang memudahkan untuk dibuli. Seterusnya, ibu bapa perlulah memberikan sepenuh kasih sayang kepada anak-anak, bukannya melakukan penderaan yang mampu merencatkan mereka. Ini dibuktikan melalui kisah Nani yang sering didera oleh ayah tirinya menjadikan dirinya pendiam dan sentiasa murung. Selain itu juga, kita seharusnya mempunyai sifat perikemanusiaan sesama manusia. Akhir sekali, kita perlulah mempunyai kekuatan pegangan agama agar tidak terjebak dengan perkara yang salah disisi agama seperti membunuh diri. 


Saranan

Buat peminat kisah seram serta tragis tidak kira remaja atau dewasa, jujur saya katakan, anda wajar memiliki novel ini. Yang pastinya, novel ini tidak sama dengan novel seram yang anda pernah baca sebelum ini. Secara individu,pastilah saya mengharapkan pembaca menyelusuri dunia novel ini bukan hanya sekadar untuk membaca,malah mampu mengambil dan menghadam seribu satu ibrah dan pengajaran yang terdapat di dalamnya. 

Penutup

Secara keseluruhannya, saya amat kagum dengan karya yang dihasilkan. Reviu yang dihasilkan ini bukanlah hanya sekadar omong kosong apatah lagi direka-reka untuk menyedapkan hati penulis dan pembaca, bahkan ianya hanya berasaskan pandangan saya ketika membacanya. Buat novelis comel Kak Ain Maisarah dan abang tembam Aman Wan, tidak dinafikan kalian sungguh berbakat dan pastinya menjadi pujaan ramai blinkers diluar sana. Sejujurnya, saya amat tertarik dengan gaya penulisan dan mainan plot yang dihasilkan. Ianya bagai ada aura tersendiri yang dapat menarik minat pembaca mendalami bidang penulisan. Syabas dan tahniah diucapkan kerana berjaya menghasilkan sebuah lagi novel yang cukup sempurna di mata pembaca. Saya sebagai pembaca, mengharapkan lebih banyak lagi novel sebegini diterbitkan, lebih lebih lagi kisah yang memuatkan kesedaran dan tauladan kepada para pembaca. 

Semua Orang Adalah Pemenang!

Sertai Peraduan Ini

Baca syarat-syarat, cara menyertai & hadiah yang boleh dimenangi

Dapatkan buku-buku PTS, Komik-M, PTS Junior, Tunas Super, Blink Book, Blank Book di kedai-kedai buku berdekatan anda dan tulis reviu sekarang!