Certot

Terima Kasih Mama

Hasil nukilan Nurhazimah Hanan 6 years agoSuperhero

       

Setiap orang mempunyai seorang insan yang bernama ibu. Begitu juga dengan aku. Aku memanggil ibuku dengan panggilan ‘Mama’ dan aku sangat kagum akan mama. Mahu tahu mengapa?

Mama telah mengandungkan aku selama sembilan bulan. Dalam tempoh itu, mama telah menghadapi kesukaran untuk bergerak, tidur, dan sebagainya. Mama juga telah melahirkan aku dengan susah payah. Sesudah melahirkan aku, mama perlu melalui pelbagai pantang larang dalam tempoh yang agak panjang. Namun begitu, mama tidak pernah mengungkit hal itu.

Kini, aku berusia 11 tahun. Ayahku seorang pengurus syarikat yang sentiasa ke luar negeri atas urusan kerja. Akan tetapi, ayah tidak lupa untuk membeli cenderahati untuk kami. Mama pula seorang pengusaha yang berjaya. Beliau memiliki sebuah butik berdekatan rumah kami. Mama sangat sibuk bekerja, namun beliau tidak pernah lupa akan tanggungjawabnya.

Mama akan bangun awal pada pukul 5.00 pagi setiap hari. Mama juga tidak lupa mengejutkan aku daripada tidur jika aku terleka. Aku sentiasa menunaikan solat subuh berjemaah bersama mama. Sebelum aku ke sekolah, mama akan menyiapkan sarapan yang berkhasiat untuk aku agar aku bertenaga untuk ke sekolah. Mama juga tidak lupa menyediakan bekalan makanan untuk aku bawa ke sekolah.

Mama akan pulang selewat-lewatnya pada pukul 5.00 petang. Kebiasaannya, ketika aku sudah pulang daripada sekolah agama waktu petang, mama sudah menyediakan minum petang untuk aku dan ayah. Sesudah solat Maghrib berjemaah, mama aku mengajarku membaca Al-Quran. Aku juga akan membaca surah Yaasin bersama mama setiap malam Jumaat.

Selepas makan malam, mama aku membantuku menyiapkan kerja sekolah. Jika aku tidak faham tentang sesuatu perkara, aku akan menanyakan perkara tersebut kepada mama. Mama sabar melayan kerenah aku dan sentiasa menjawab soalan aku tanpa merungut. Mama juga memastikan aku sudah menyusun buku sekolah dan menyediakan baju sekolah untuk esok sebelum aku tidur.

Kadangkala ketika cuti umum, mama akan membawaku ke butik. Aku berasa seronok di butik mama kerana aku dapat berbual dengan pekerja mama yang ramah dan melihat pelbagai koleksi pakaian di butik mama. Koleksi pakaian di butik mama semuanya cantik dan menutup aurat.

Suatu hari, sekolahku menjemput ibu bapa murid-murid ke sekolah untuk membincangkan tentang keputusan peperiksaan akhir tahun. Aku berasa sungguh gembira kerana aku mendapat nombor satu di dalam kelas. Keputusanku juga telah meningkat dan lebih cemerlang. Ayah tidak dapat datang kerana beliau perlu ke luar negeri atas urusan kerja dan aku sudah terbiasa dengan hal itu. Jadi, aku hanya berharap agar mama dapat datang ke sekolah.

Namun, aku mula berasa gelisah apabila mama tidak hadir walaupun sudah menghampiri jam 1.00 petang. Aku menelefon mama dan mama menerangkan kepadaku bahawa beliau tidak dapat hadir ke perjumpaan ibu bapa tersebut. Aku berasa sungguh kecewa dan pulang ke rumah dengan perasaan bercampur baur. Aku berasa sedikit marah kerana ibuku tidak dapat meluangkan masanya untuk aku dan lebih mementingkan urusan kerja.

Aku berasa lebih marah apabila mama pulang lewat ke rumah pada hari tersebut. Aku berkecil hati dengan mama dan mengunci diri di dalam bilik. Keesokan harinya, aku datang ke sekolah dan masih merajuk dengan mama. Tiba-tiba, guruku memberitahu bahawa mama telah datang ke sekolah pada pukul 4.00 petang untuk berjumpa dengan guruku.

Mama bernasib baik kerana guruku baru hendak pulang ketika itu. Mendengar berita itu, aku berasa sungguh terkejut dan bersalah kerana merajuk dengan mama. Aku pulang ke sekolah dengan rasa bersalah dan gelisah. Aku merasakan bahawa diriku tidak menghargai pengorbanan mama.

Aku tidak sedar bahawa mama telah banyak meluangkan masanya untuk aku. Mama telah banyak berkorban demi aku. Malah, mama tidak pernah mengungkit segala pengorbanan yang telah dilakukannya untuk aku. Aku tidak pernah mengucapkan terima kasih kepada mama secara ikhlas. Aku juga kadangkala malas untuk membantu mama dan melanggari arahan mama.

Petang itu, aku memohon maaf kepada mama atas segala kesalahan yang pernah aku lakukan. Aku terasa seperti diriku anak derhaka. Walaubagaimanapun, mama tidak memarahi aku dan memaafkan segala kesalahan aku. Mama juga berjanji untuk tidak lebih mementingkan kerja daripada aku.

Aku berasa sungguh lega dan gembira setelah memohon maaf kepada mama. Aku bertekad untuk sentiasa membantu mama dan mematuhi arahannya mulai hari itu. Aku juga tidak akan lupa untuk berterima kasih kepada mama setiap masa. Segala nasihat mama akan aku jadikan sebagai pedoman untuk hidupku.

Mama memuji aku kerana berjaya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun. Malam itu, mama memasak makanan kegemaran aku yang begitu lazat. Mama juga berjanji hendak membawaku ke tempat-tempat yang menarik di Malaysia pada cuti sekolah nanti sebagai hadiah atas kecemerlangan aku dalam peperiksaan.

Aku berkata kepada mama bahawa segala kasih sayang mama sudah cukup dan tidak perlu ditambah dengan hadiah lain. Bagiku, kasih sayang mama tiada gantinya dan aku sangat bersyukur atas nikmat itu kerana ada segelintir yang tidak dapat lagi merasai kasih sayang seorang ibu.

Terima kasih, mama!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: