Aku dilahirkan dalam sebuah keluarga yang miskin. Ayahku bekerja sebagai nelayan. Ibuku telah meninggal dunia lima tahun yang lalu. Di sekolah, aku selalu dipandang rendah oleh murid-murid sekelasku. Lebih-lebih lagi Lydia, seorang anak dato’ yang selalu menganggap dirinya ketua.
Aku cemburu melihat murid-murid lain ke sekolah dihantar oleh ibu dan bapa. Ada juga yang dihantar oleh pemandu peribadi. Aku sering menyalahkan takdir atas kemiskinanku. Kebiasaannya sebelum ke sekolah, pasti ayah akan menasihati aku agar bersabar dengan karenah Lydia. Setiap kali itu juga aku cuba mengikuti nasihat ayahku. Akan tetapi aku manusia biasa yang mempunyai tahap kesabaran.
Suatu hari….
“Ayah… tak boleh ke ayah kerja bagus-bagus sikit? Kerja yang bergaji tinggi. Tak boleh ke?” tanyaku dengan nada yang tinggi.
“Eyka, cubalah kamu reda dengan takdir kita. Ini semua dah tertulis. Mungkin rezeki kita ada di mana-mana, sabarlah. Ayah pun dulu berasakan dunia ini tidak adil, tetapi ayah sabar. Ayah tahu keluarga ayah susah. Ayah sabar dan pekakkan telinga. Bagi ayah, atuk kamu tu superhero. Sabar itukan separuh daripada iman. Sabarlah sikit,” nasihat ayahku panjang lebar. Aku melihat air mata mula bergenang di kolam matanya.
“Hish, ayah ni tak habis-habis suruh orang sabar. Orang dah penat bersabar. Kalau orang tak lahir lagi baguslah,” tengkingku.
“Nur Iman Syafiqah! Ayah tak pernah ajar anak ayah kurang ajar macam ni,” tegas ayahku sambil mengangkat tangan seperti mahu melempangku, tetapi diturunkan kembali.
“lempanglah! Lempang! Kenapa tak nak lempang? ”soalku.
Aku terus masuk ke bilik lalu menghempas daun pintu. Aku menyembamkan muka ke bantal. Aku menjerit sepuas hati. Ini adalah caraku untuk menenangkan hati. Entah bila aku tak sedar aku tertidur. Sedar sahaja langit sudah pun gelap. Aku keluar dari bilik lalu menuju ke dapur untuk makan malam.
Seusai makan aku berjalan menuju ke bilik.
“Eyka,” panggil ayahku.
Aku langsung tidak mengendahkan panggilannya. Aku sedikit pun tidak berasa bersalah dengan perbuatanku.
*****
Keesokan harinya.
Awal-awal pagi aku sudah bersiap ke sekolah. Aku terdengar bunyi batuk dari bilik ayahku. Aku tidak menghiraukannya lalu terus ke sekolah. Di sekolah… seperti biasa, aku terpaksa menadah telinga mendengar kejian dan maki hamun. Dalam hati, aku memarahi takdir. Sungguh aku membenci ayahku kerana bagiku ayah sengaja tidak mahu berusaha.
Selepas rehat, Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolahku mengadakan program motivasi. Tajuk yang mereka ketengahkan ialah ‘Ayah’.
“Adik-adik… cuba adik ingati semula kesalahan yang pernah adik lakukan pada ayah adik,” kata Abang Rafie salah seorang daripada motivator.
“Adik bayangkan waktu adik balik nanti. Adik berjalan pulang ke rumah. Di hati adik cuma dua perkara je yang adik nak buat bila jumpa ayah adik. Adik nak minta maaf. Nak peluk ayah adik kuat-kuat. Tapi bila adik sampai rumah, adik lihat ramai orang di rumah adik. Adik dengar orang baca yassin. Adik lari masuk rumah, adik tengok tubuh ayah adik yang telah dikafan terkujur kaku di depan adik. Masa tu adik rasa hidup tak guna dah. Sebabnya hanya satu. Adik tak sempat minta maaf dekat ayah adik,” sambungnya lagi.
Kata-katanya amat terkesan di hati. Aku menanam niat yang aku akan meminta maaf daripada ayahku. Niat itu aku tanam sedalam-dalamnya.
Aku menjadi tidak keruan menunggu loceng waktu pulang. Sebaik sahaja loceng berbunyi, aku mempercepatkan langkah. Terngiang-ngiang di telingaku bunyi batuk ayah pagi tadi.
‘Ya Allah, lindungi ayah,’ bisik hatiku.
Dari kejauhan, aku melihat ramai orang berkumpul di hadapan rumahku. Aku berasa pelik kerana selama ini tidak pernah ada yang datang ke rumahku. Aku berlari masuk ke rumah. Kakiku seolah telah terpaku di lantai. Lututku lemah longlai saat melihat tubuh ayahku yang telah dikafankan terkujur kaku.
Aku terduduk. Perlahan-lahan aku merangkak ke sisi ayahku. Aku menangis sepuas hatiku. Niat yang kusemai bagaikan hilang dibawa angin yang berhembus di kala itu. Sesungguhnya aku benar-benar mahu meminta maaf. Tetapi segalanya telah terlambat. Saat itu, kata-kata ayahku menjengah ke cuping telingaku. ‘Sabar itu separuh daripada iman’. Bagi aku ayah ialah heroku. Kerana boleh bersabar dalam mengharungi kehidupan seharian. Kerana sanggup membesarkanku seorang diri walau perangaiku melebihi batas seorang anak.
‘Ayah, Eyka minta maaf. Eyka sayang ayah. Ayahlah hero Eyka. Ayah banyak mengajar Eyka, tapi Eyka tak pernah hargainya. Baru kini Eyka faham maksud ayah.’