Bibir Farra menguntum senyuman lebar tatkala terlihat rakan baiknya, Aina dari jauh. Sambil melambai-lambaikan tangannya, Farra melaung nama Aina, “Aina! Saya di sini!”
“Farra!” Aina tersengih lebar sambil berlari menuju ke arah Farra. “Awalnya awak sampai, Farra! Kalau begini, jurulatih sukan negara pun kagum dengan semangat awak!” pujinya, membuatkan pipi Farra berona merah.
“Ish, tidak adalah! Mari pergi ke khemah rumah sukan kita,” ajak Farra sambil menarik tangan Aina.
*****
Ikatan tali kasut sukan miliknya dikemaskan lagi. Farra kini lebih tenang selepas mendengar kata-kata semangat yang menjadi halwa telinga. Namun begitu, ketenangan yang dirasai begitu pantas berlalu pergi. Telinga Farra disentak dengan ketawa sinis Sara dari Rumah Bendahara.
“Ikat tali kasut ya, budak miskin? Hai… begini rupanya cara budak miskin bersukan! Minum air daripada botol air mineral yang dikitar semula, kain pengelap peluh pula hanya menggunakan tuala Good Morning! Eee, gelilah pula apabila teringat yang aku, ahli kumpulan The Divas berbual dengan budak miskin! Okeylah, selamat tinggal budak miskin!” ejek Sara, sinis.
Farra menghela nafas. Sabar, Farra Hani.
*****
“Sara, sudah jalankan rancangan sabotaj kita?” bisik Fhaizza.
“Ini Saralah!” Sara mengenyitkan matanya.
Fhaizza tersenyum puas. “Good, Sara! Saya tahu awak memang boleh diharap!”
Pujian itu ternyata membuatkan bibir Sara tersenyum bangga. Oh, tidak sabarnya menunggu acara lumba lari 200 meter nanti!
*****
”Good luck, Fhaizza! You can do it! Medal emas itu milik awak, bukan milik budak miskin itu!” laung Sara kuat, cuba memberikan kata-kata semangat kepada Fhaizza, rakan baik merangkap ketua kumpulan The Divas.
“Terima kasih, Sara! Betul cakap awak!” Dari jauh, bersama-sama peserta-peserta yang lain… Fhaizza nampak begitu yakin dan tenang. “Jangan lupa ambil gambar saya dalam bentuk candid, ya! And, terus upload ke dalam Instagram!” pesannya lagi.
DUM!
Tembakan pun dilepaskan ke udara, menandakan acara lumba lari 200 meter bermula. Sara tersenyum lebar penuh makna. Fokusnya tertumpu ke arah Farra, namun mindanya berteka-teki apabila melihat Farra berlari mendahului peserta-peserta yang lain.
Lain yang dirancang, lain pula yang berlaku. Kini, Fhaizza terhincut-hincut di garisan permulaan sambil mengerang, “Sara! Tolong!”
Sara pula? Hanya terkaku tanpa memberikan sebarang reaksi.
*****
Cuai.
Itulah yang dapat Sara gambarkan tentang dirinya ketika itu. Sepatutnya, kepingan kaca diselitkan di bawah lapisan kasut sukan Farra, namun akibat kecuaian dirinya sendiri, dia keliru dengan warna kedua-dua kasut sukan Farra dan Fhaizza.
Ya, reka bentuknya hampir sama! Namun apa yang sudah terjadi, tidak dapat dibetulkan kembali. Air mata bergenang di tubir matanya.
Sara meraup wajahnya kesal. Benarlah kata-kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.