Certot

Nelayan Superhero

Hasil nukilan Filzah 3 years agoSuperhero 25

             

Laut kelihatan tenang, setenang hatiku yang sedang menunggu kepulangan insan yang sangat aku sayangi dan aku kagumi iaitu ayah. Hati aku riang gembira melihat bot ayah dari jauh memecut laju ke jeti. Aku bingkas bangun dari tempat dudukku dan berlari ke arah ayah dengan senyuman melebar. Selepas ayah tambat bot, aku berlari memeluk ayah melepas rindu. Lengan ayah aku peluk erat, kami berjalan beiringan pulang ke rumah.

Aku anak tunggal kepada Ma’el. Nama aku Melur binti Ma’el, berumur 12 tahun. Ibuku sudah meninggal semasa melahirkan aku 12 tahun yang lalu menyebabkan ayahku digelar duda anak satu.

Ayah aku seorang nelayan. Setiap hari sebelum subuh, ayah akan turun ke laut. Kadang-kadang seorang, kadang-kadang dengan rakan-rakannya. Setiap petang aku akan menyambut kepulangan ayah di tepi jeti. Jika bernasib baik, ayah akan membawa balik banyak ikan, kadang-kadang ketam, udang, sotong, kerang. Kadang-kadang juga ada obor-obor, kuda laut pun ada. Aku seronok melihat ayah membawa balik hasil tangkapan dari laut.

Disebabkan keterujaanku melihat hasil tangkapan ayah yang pelbagai jenis, aku menceritakan kepada rakan-rakan sekelasku. Aku menjemput mereka menemani aku menunggu kepulangan ayah di jeti.

“Wah, cantiknya pemandangan di sini!” kata Nurul teruja dengan keindahan ciptaan Allah swt yang maha besar dan agung.

“Pantai! Pantai! Boleh tak aku nak mandi dekat sini Melur?” sambung Minah sambil terjerit- jerit dan terloncat-loncat di atas pasir. Minah begitu kagum melihat pasir pantai halus dan lautan terbentang luas.

Johan dan Saad tergelak kecil melihat kekalutan Nurul dan Minah melihat pantai.

“Minah, kalau kita nak mandi kena ada orang dewasa untuk mengawasi kita. Bahaya di sini, ombaknya kuat,” balas Melur dengan peringatan kepada rakan-rakannya sambil matanya melilau melihat kalau-kalau bot ayahnya sudah sampai ke jeti.

“Melur! Melur! Itukah ayah kau?” panggil Saad apabila melihat bot dari jauh yang memecut laju ke arah jeti.

“Ya ya. Jom kita ke jeti!” Melur berlari-lari anak ke jeti sambil memanggil kawan-kawannya.

Ayahku mahu membawa kami semua menaiki bot melihat pemandangan di sekeliling sini dan mahu menunjukkan cara-cara menangkap ikan menggunakan jala. Nurul, Minah, Saat, Johan,  dan aku sangat gembira. Setiap kali cuti sekolah ayah akan membawa aku bersama menangkap ikan. Bot kecil ini sudah seperti rumah keduaku dan ayah ketika berada di laut.

Apabila kami sudah berada di tengah laut, ayahku menunjukkan cara melempar jala dengan betul.

‘Satu! Dua! Tiga!’ kiraan kecil ayah sambil membaling jala ke laut. Selepas itu ayahku menarik kembali jala itu tadi.

“Wah, hebatnya Pak Ma’el!” Kawan-kawanku bertepuk tangan riang melihat kegagahan ayahku. Aku tersenyum senang melihat mereka bergembira bersama ayah.

“Mari lihat apa yang kita dapat. Selepas ini, bolehlah semua mencuba membaling jala ya,” ajak ayahku sambil tersenyum melihat aku.

“Wah! Ikan apa ni? Besarnya!” Sekali lagi Nurul meloncat-loncat kini diatas bot pula. Bot kami bergoyang-goyang.

“Aahh! Ini obor-oborkan, Pak Ma’el?”  Giliran Johan pula menjerit riang, selepas membuat balingan.

Obor-obor itu dimasukkan dalam botol. Obor-obor ni juga bahaya kerana berbisa.

“Hidupan laut ni ada yang berbisa, ada yang tidak berbisa. Contohnya ikan buntal juga berbisa. Jika hendak jadi nelayan kita kenalah kuat, kalau asyik mabuk laut, tak sempatlah nak pusing-pusing satu laut,” kata ayah dengan nada bergurau, apabila Saad sudah dua kali muntah akibat mabuk laut.

Bergema bunyi ketawa kawan-kawanku.

Semua sudah mencuba membaling jala. Hari pun sudah mula petang. Kami ingin bergerak pulang ke jeti.

Tiba-tiba kami semua terdengar jeritan meminta tolong di seberang sana. Terus ayahku menghidupkan enjin dan memecut laju ke tepian.

Ada kanak-kanak yang bermandi manda di sini lemas! Kami semua panik.

Ayahku terus terjun ke laut berenang cuba menyelamatkan kanak-kanak yang lemas itu. Aku dan kawan-kawan yang lain cuba menenangkan ibu mangsa.

Selepas seminit kemudian, kelihatan ayah dari jauh menggapai-gapai tangannya, menandakan dia berjaya menyelamatkan magsa. Johan dan Saad turun ke tepian pantai untuk menolong ayah.

“Pak cik, budak ini seperti sudah tidak sedarkan diri!” jerit Johan. Si ibu mangsa bertambah kuat menangis teresak-esak.

“Mari kita lakukan CPR,” kata ayah kepada Johan yang tercungap-cungap penat berenang.

“Satu! Dua! Tiga!” bilang ayah sambil lakukan CPR dan mengepam dada mangsa berulang-ulang kali.

“Uhuk… uhuk!” Batuk kecil kedengaran dari mangsa. Ibu mangsa mengesat air matanya.

“Amir!” panggil ibu mangsa bersyukur anaknya sudah selamat. Kami semua gembira dan bersyukur kepada allah kerana berjaya menyelamatkan Amir.

“Melur, bestlah ayah kau. Serba boleh, semua fasal laut ayah kau mahir. Ayah kau ni hero nelayan!” Kami semua berlari memeluk ayah erat.

Tidak dinafikan ayah aku seorang superhero. Ayah tabah, kuat menangung risiko menghadapi ombak  besar di laut untuk membesarkan aku berseorangan. Ayah tidak punya banyak wang, tetapi ayah kaya dengan ilmu, seringkali menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Ayah aku hero nelayan!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: