Bosan benar rasa hati ini, masih aku terduduk menonton kaca televisyen yang sekarang memaparkan cerita yang entah di mana moral dan nilai murni untuk remaja seperti aku. Tidakkah mereka sedar bahawa apa yang dipaparkan mudah untuk menarik insan yang sepertiku cenderung untuk meniru? Mungkin mereka bodoh atau mengelak untuk mengerti keadaan sosial yang berleluasa sehingga sudah berada pada tahap kritikal padaku.
“Man, apa yang kau renung televisyen macam nak telan tu?” soal mak yang baru usai melipat pakaian.
Aku cuma tersenyum lalu menyambar tuala mandi yang elok terletak di sofa berdekatan denganku. Otakku masih ligat berputar memikirkan mengapa pihak media seolah-olah terlalu bodoh untuk menguruskan media massa masa kini.
Rambutku yang basah tadi elok mengering kerana air-air telah dilap sempurna. Rakan-rakan pasti sudah berkumpul di taman dan serasanya elok aku bergegas. T-shirt T90 kusarung ditubuh lalu rambut digel sedikit. Tanganku ligat merapikan rambut yang sudah seperti Wak Doyok.
Melihat ke dalam cermin yang membiaskan penampilanku. Aku sedar aku masih agak kacak untuk dibanggakan,. Dengan tubuhku yang agak sado seperti Zul Ariffin, aku tahu dan sedar aku sedikit sempurna.
‘Ah, media benar-benar mempengaruhiku!’
Setelah meminta izin, aku berlari keluar dan terus menuju ke arah taman yang azalinya terletak berdekatan dengan rumah. Angin-angin di luar mengelus lembut pipiku yang licin tanpa ada sebarang ketulan-ketulan jerawat yang menjengkelkan. Ini pasti hasil daripada pemakaian pencuci muka Garnier For Men. Iklannya di kaca televisyen benar-benar memberi kesan kepada remaja-remaja seperti aku. Biarpun harganya lebih mahal berbanding yang lain yang mana iklan di kaca televisyen sahaja yang gempak, namun tidak ada sebarang kesan positif pada kulit wajah.
Dari jauh kelihatan rakan-rakanku sedang berkumpul sambil Rafee kulihat sibuk melambai ke arahku meminta untuk mampir dengan pantas. Mereka seolah-olah sedang mengepung sesuatu yang aku kurang pasti apakah yang sibuk dikepung.
Setibanya aku di situ, aku melihat seorang budak lelaki yang mungkin berusia lebih muda daripada kami sedang diacah-acah umpama samseng oleh Maliki. Daripada cara Maliki berbicara ganas, aku tahu semua itu pengaruh dari filem KL Gangster arahan seorang pengarah muda yang baru mereka tonton semalam.
Mengapa manusia? Mengapa kau menghitamkan bangsa manusia seangkatanmu? Apakah kau terlalu taksub dengan populariti sehingga kau biar kebodohan menunjang? Kau lebih dewasa untuk berfikiran matang dan bukan binatang.