Aku melihat kakakku yang sedang ralit menekan kekunci-kekunci di atas sebuah skrin. Tanpa sesiapa menyedari, aku menangis di atas katil membelakangkan kakakku yang sedang ralit bermain WeChat. Bukan kerana aku tidak mempunyai telefon. Namun sejak ayahku membelikan telefon bimbit kepada kakakku, dia mula berubah.
Sebelum kakakku memiliki telefon, kami jarang bergaduh. Namun sejak akhir-akhir ini, kami kerap bergaduh. Semuanya disebabkan apabila aku memegang telefon tersebut, dia memarahiku. Dia tidak menyukai cara aku bermain telefon itu. Aku sedih, tetapi dia buat tidak endah sahaja.
Kami juga semakin jarang berbual kosong sebelum masuk tidur. Aku tergelak kecil apabila mengenangkan ketika kami berbual sehingga lewat. Ibu bapaku menuduh aku dan kakakku berbual terntang pasangan buah hati. Kami hanya mampu tergelak kecil. Tapi semuanya berubah. Tiada lagi bual kosong pada lewat malam. Hanya terdengar kakakku menekan punat-punat telefon sahaja sehingga lewat malam.
Aku tertanya-tanya mengapa kakak berubah secara mendadak sehingga begini? Kadang-kadang aku tertanya-tanya mengapa aku tidak dibelikan telefon? Rupa-rupanya ayahku ingin membeli telefon kepadaku apabila umurku menjangkau 14 tahun kerana kakakku membeli telefon pada umur 14 tahun. Mungkin juga ayahku tidak membelikan aku telefon kerana tahun ini adalah tahun aku akan mengambil ujian UPSR. Ayahku mahu aku fokus kepada pembelajaran, bukan kepada gajet semata-mata.
Kadang-kadang aku ingin merintih kepada kakakku. “Kakak, mana kakak angah yang dahulu? Yang selalu menemani angah pada waktu siang dan malam? Mengapa kakak berubah? Mengapa kakak terlalu taksub dengan gajet sampai sanggup mengabaikan angah?” Tetapi, aku tidak pernah mengatakan ketidak puasan hatiku kepada kakak kerana aku ingin merhomati kakakku sebagai anak sulung. Biarlah Tuhan sahaja yang tahu isi hatiku.
Kakakku menyedari aku sedang menangis ketika aku terkenang. “Mengapa angah nangis?”
Teringin sungguh aku mahu mengatakan, ‘Sahaja. Buat drama sikit.’ Tetapi, aku hormat dia sebagai kakak.
Aku pun berkata, “Oh, angah nangis sebab… sebab… angah tengah baca novel ini. Sedih, kakak.” Aku hanya mampu mereka-reka cerita. Biar Tuhan sahaja yang tahu betapa peritnya hati ini.
Kakakku hanya berkata “oh” dan terus berlalu pergi sambil membawa telefon binbitnya.
‘Kakak, angah doakan kakak supaya kakak berubah menjadi kakak yang dahulu. Angah rindu kakak.’ Itulah lafaz yang aku bicarakan dalam hati ini sahaja. Biarlah ia menjadi rahsiaku seorang.