“Mama kau tidak malu! Jual nasi lemak di luar pagar sekolah!” sorak rakan-rakan sekelasnya.
Aku hanya mendiamkan diri. Sebaliknya, aku buka buku dan siapkan kerja rumah yang cikgu berikan. Memang aku rasa marah bila kawan-kawan mengejek sebegitu, tetapi apa yang aku dapat kalau aku membalas dan melawan karenah mereka?
Mama berjaga pada waktu malam menyiapkan nasi lemak dan menjualnya pada sebelah pagi. Semuanya semata-mata untuk aku yang masih kecil dan bersekolah. Kalau mama tidak menjual kuih, apa yang kami hendak makan? Orang luar hanya pandai mengata. Sukarnya kehidupan ini hanya aku dan mama sahaja yang rasa.
“Biarkanlah mereka mengata. Ular menyusur akar, tidk akan hilang bisanya. Mama hantar adik ke sekolah supaya adik belajar rajin-rajin dan jadi budak pandai. Bila besar dan berjaya, adik boleh jaga mama,” pujuk mama setiap kali aku mengadu setiap kali balik dari sekolah.
Aku kagum dengan mama. Walaupun mama memikul tugas arwah ayah, mama tidak pernah merungut dan mengeluh. Mama sangat tabah.
*****
Awal-awal pagi, mama sudah bangun. Gosok baju sekolah. Setiap hari, aku bersarapan nasi lemak. Biarpun aku sudah jemu dengan nasi lemak, aku tetap makan kerana aku tidak mahu menyusahkan mama. Aku tahu, mama penat. Kadang-kadang, aku nampak mama tertidur sewaktu melipat kain. Tersengguk-sengguk mama keletihan. Kalaulah aku sudah besar, bukankah lebih baik? Boleh aku bantu mama. Tidak perlulah mama membanting tulang empat kerat hingga sebegitu rupa.
“Bihah! Bihah!” jerit satu suara pagi itu.
Aku terkedek-kedek ke pintu rumah. Menjenguk ke arah suara yang berteriak itu. Orang-orang kampung memanggil mama dengan panggilan Bihah. Sesuai dengan nama mama, Rabihah.
“Kau ini bila lagi bayar sewa? Sudah tiga bulan kau asyik bertangguh sahaja. Mahu tunggu aku halau, baru mahu bayar?” marah perempuan tua itu.
Aku tahu, perempuan itulah pemilik rumah buruk yang kami diami ini. Aku pandang wajah mama. Jelas muka mama nampak kusut, tetapi bibir mama tetap tersenyum memandangku.
Aku berlari masuk ke dalam bilik. Aku ambil tabung duit syilingku yang berbentuk badak itu dan segera keluar dari bilik.
“Ambillah duit saya, mak cik,” ujarku kepada tuan rumah.
Aku hulurkan tabungku kepada dia. Bulat mata tua itu mencerlung ke arahku. Mukanya nampak marah.
“Maafkan anak saya,” pinta mama sambil menarik tanganku supaya menyorok di belakangnya.
Aku pelik dengan mama. Aku hendak membantu, tetapi mama tidak mahu. Tuan rumah itu pun tidak mahu.
“Dia kecil lagi. Baru 10 tahun. Tidak faham apa-apa. Bulan depan, saya bayar. Saya janji. Kali ni, betul-betul saya bayar. Kalau saya tidak bayar, mak cik boleh halau kami.” Sungguh-sungguh mama berjanji.
Tuan rumah itu mendengus lalu pulang apabila mendengar janji mama. Selepas dia pergi, mama pandang aku dengan gelengan. Aku tidak faham. Apa kesalahan yang aku sudah lakukan? Mengapa mama mengeleng?
“Lain kali, jangan buat begini lagi. Pergilah makan dahulu. Selepas tu, kita pergi sekolah,” tegur mama.
Aku hanya mengangguk dan menurut. Tidak mahu bertanya banyak.
*****
Petang itu, mama kayuh basikal. Ambil aku yang baru balik dari sekolah. Cuaca nampak gelap seperti mahu hujan. Mama kayuh basikal laju-laju. Mama kata takut hujan. Nanti baju basah. Esok masih mahu pakai baju ini. Lambat kering nanti, payah mahu ke sekolah esok.
Aku tahu, mama bukannya tidak mahu bawa baju hujan, tetapi baju hujan pun kami tidak ada. Payung pun dah rosak dan berlubang-lubang.
Malam itu, aku nampak mama urut kaki. Bila aku tanya, mama kata lenguh kaki sebab sudah tua, tetapi aku tahu mama sakit kaki sebab tadi kami dilanggar oleh motor waktu balik tadi. Nasib kami tidak apa-apa. Penunggang motor itu sudah minta maaf. Abang motor tawar diri mahu hantar kami ke klinik, tetapi mama tolak apabila mama tengok aku tidak cedera. Bagaimana aku mahu cedera? Tidak sempat aku jatuh ke atas jalan raya pun, mama sudah sambut aku. Mama betul-betul seperti superhero tadi. Seperti superman yang kawan-kawan aku selalu cerita.
Aku yang pura-pura sudah tertidur mengintai pergerakan mama. Aku nampak mama bangun. Berjalan terhinjut-hinjut dan bergerak ke almari. Aku nampak mama sedang mengira wang kertas yang kebanyakkannya RM1. Dari celah selimut yang sudah koyak, aku nampak mama mengeleng. Tentu masih tidak cukup untuk bayar duit mak cik tuan rumah ini. Kalaulah aku dan mama dihalau dari rumah ini, ke mana kami mahu pergi? Di mana kami mahu tidur?
Aku terus perhati telatah mama. Mama simpan semula duit itu dan bergerak ke dapur. Mula memasak nasi lemak, sumber pendapatan kami.
Tanpa aku sedar, air mataku mengalir. Sungguh besar pengorbanan mama. Kalaulah aku mampu jadi besar sekelip mata dan bantu mama mencari wang. Sudahnya, aku tertidur. Dalam mimpi, aku memiliki rumah sendiri dan berkereta besar. Aku turuti semua kemahuan mama terutama menunaikan haji di Mekah.
“Ya Allah, berikanlah aku peluang untuk bahagiakan mama,” doa aku apabila terjaga pada waktu subuh keesokkan harinya.