Certot

Insiden Kebakaran Kantin

Hasil nukilan Nurhazimah Hanan 7 years agoSukan 44

    Sekolah Kebangsaan Aman Damai akan mengadakan acara Merentas Desa tidak lama lagi. Oleh itu, para pelajar sudah bersiap sedia dengan melakukan larian sekeliling Tasik Damai dan bersenam.

  Meraka akan berlari mengelilingi bukit berdekatan sekolah. Jarak perjalanan kira-kira tiga kilometer. Larian akan ditamatkan sebaik sahaja semua murid tiba di padang sekolah.

      Hari yang dinanti-nanti tiba jua. Farah yang merupakan olahragawati sekolah bersama-sama rakan-rakannya sudah tidak sabar untuk memulakan larian. Larian dimulakan dengan pelajar lelaki, diikuti pelajar perempuan. Para pelajar bersungguh-sungguh berlari sehinggakan badan dibasahi peluh untuk mendapat takhta nombor satu. 

Farah dan sahabat baiknya, Elina pula berlari sambil bergelak ketawa. Dibiarkan pelajar lain memotong mereka. Walaupun Farah boleh sahaja berlari dengan laju, namun dia tetap setia bersama-sama Elina. Itulah sikap setia kawan yang ada pada diri Farah.

      Sudah hampir 15 minit Farah dan Elina berlari. Mereka sudah dapat melihat bangunan sekolah mereka. Ketika itu barulah mereka memecut untuk memotong pelajar lain yang tampaknya sudah habis tenaga kerana memecut di awal larian.

      Farah berjaya mendapat nombor empat manakala Elina pula nombor enam. Ini kerana seorang pelajar perempuan telah memotong Elina ketika dia berhenti seketika diebabkan keletihan. Walau bagaimanapun, Elina tidak kisah kerana baginya, nombor tidak penting. Yang penting kesungguhan dan keseronokan berlari serta kecergasan badannya.

      Para pelajar yang habis berlari dibenarkan untuk berehat dan minum air di kantin. Farah dan Elina menuju ke kantin sambil bercerita tentang keseronakan berlari.

      Setibanya di kantin, mereka terkejut melihat para pelajar menjerit dan berlari keluar kantin. Rupa-rupanya kantin terbakar! Para guru sibuk menjirus air untuk memadamkan api, namun api masih lagi menjilat kantin sekolah.

      Farah yang sedar punca sebenar kebakaran, meluru masuk ke dalam kantin tanpa berfikir panjang. Elina yang sedar hal itu menjerit memanggil namanya. Farah yang tidak mendengar jeritan sahabatnya, terus mencari sesuatu yang terletak di dapur kantin. Dia menutup tong gas dan ketika itu, barulah dia mendengar jeritan Elina.

*****

 Sudah tujuh hari sejak insiden kebakaran itu. Kerana kejadian itu jualah, sekolah ditutup selama seminggu bagi membaiki kerosakan kantin. Pada hari Isnin yang suram, barulah mereka kembali ke sekolah. Ketika perhimpunan, guru besar menaiki pentas untuk memberi ucapan.

      “Saya mewakili pihak sekolah, ingin memohon maaf atas insiden kebakaran tempoh hari. Kami sudah menyiasat punca sebenar kejadian dan berusaha untuk memastikan ia tidak berulang lagi. Walau bagaimanapun, kami bersyukur kerana tiada yang tercedera. Ini disebabkan pengorbanan dan keberanian seorang pelajar sekolah ini. Oleh itu, pihak sekolah ingin berterima kasih kepada arwah Farah Maisarah binti Ahmad Saifulnizam. Al-Fatihah. “

     

     

       

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: