Jelas kelihatan riak menyampah pada wajah Rina apabila melihat mamanya melayan kucing-kucing dengan gembira. Huh, anak sendiri tidak mahu layan pula! Benci dan menyampah!
Inilah rutin harian Rina, mamanya akan mengambilnya dari sekolah. Kemudian dia perlu menemani mamanya di klinik kucing yang telah diusahakan oleh mamanya sejak dia berusia empat tahun.
“Rina, tolong susukan anak-anak kucing ini,” pinta Puan Mona.
“Rina mahu balik! Sudahlah klinik ini berbau busuk dengan tahi kucing, meow sana, meow sini! Rimas!” Rina memberontak.
“Sekiranya begitu, nanti mama hantar Rina pukul….”
“Tidak perlu. Rina sudah telefon Pak Hamid ambil Rina di sini,” Rina pantas memotong kata-kata mamanya.
*****
Rina termenung di hadapan cermin meja soleknya selepas dia selesai mencuci muka. Kemudian berkata sendirian, “Mama dan papa tidak akan bercerai sekiranya mama tidak sibuk dengan kerjanya. Kucing, kucing, kucing! Benci betul!” Rina menghentak meja soleknya tanda melepaskan geram. Huh!
Tok! Tok! Tok!
Bunyi ketukan pintu mengejutkan Rina. Juga kelihatan susuk tubuh gemuk pembantu rumahnya yang seperti burger menunggu di hadapan pintu biliknya.
‘Buat kerja rumah banyak pun masih gemuk,’ bisik hati kecil Rina sambil tersenyum sinis.
“Sarapan sudah siap dihidangkan. Mari turun makan bersama mama.” Senyuman terukir di wajah pembantu rumahnya yang bernama Mak Tom. Rina pula hanya mengangguk.
Lalu, dia berjalan menuju ke meja makan dengan muka masam. Kemudian, dia mengambil tempat duduk berhadapan dengan mamanya.
Selang beberapa minit, mamanya sudah bangun dari tempat duduknya lalu mencapai beg tangannya. Rina tahu, ini tanda mamanya hendak beredar.
Melihat keadaan itu, Rina menyuap spagheti dengan kasar serta matanya menjeling geram.
Sebelum beredar, mamanya menghulurkan tangan kepada Rina untuk bersalaman. Rina menyambut tangan mamanya lalu menciumnya tanpa keikhlasan.
*****
Usai menikmati sarapan, Rina melabuhkan punggung di atas sofa gebu sambil jarinya menekan punat alat kawalan jauh televisyen bernombor 103.
“Kucingku comel, bulunya lebat, selalu sihat!” suara iklan produk makanan kucing itu sungguh membingitkan telinga Rina. Hatinya panas melihat reaksi kucing dalam iklan tersebut. Benci!
“Apa ini? Menyakitkan hati betul!” Walaupun kucing comel, Rina tetap tidak suka. Bukannya takut, tetapi benci. Mungkin dalam fikirannya kucing merupakan punca keluarganya huru-hara.
Tangannya laju mencapai alat kawalan jauh bagi menukar siaran lain iaitu Astro Ria. Kali ini siaran itu menyiarkan drama bersiri yang bertajuk Suri Hati Mr Pilot. Kini, hatinya berbunga-bunga apabila melihat wajah kacak Fattah Amin.
*****
“Mama, Rina tidak mahu ikut!” bentak Rina.
“Kamu mesti ikut, sebab selepas ini kita terus bergerak ke rumah tok mak. Lagipun, kamu kata mahu makan nasi ayam tok mak?” Puan Mona memujuk anaknya dengan penuh kesabaran.
“Hmm… tetapi Rina tidak mahu masuk ke klinik kucing mama itu!” Masam muka Rina apabila dia sedar bahawa dia terpaksa mengikut mamanya ke klinik kerana Mak Tom tiada di rumah.
*****
“Aduh, bosannya,” bisik Rina sambil menconteng-conteng kertas kerja mamanya.
“Rina, mama mahu keluar sebentar. Mahu ikut?”
“Pergi mana, mama?”
“Jumpa kawan sebentar, di Cafe Suria.”
“Tidak mahulah, Rina mahu balik!”
Puan Mona terus menutup pintu tanda malas mahu melayan anaknya dan terus keluar dari klinik. Kedengaran enjin kereta dibunyikan dan bunyinya semakin lama semakin hilang didengari Rina, tanda mamanya sudah pergi.
“Geramnya!” Rina menghentak kaki tanda protes.
“Meow! Meow! Meow!” Rina merasakan ada benda berbulu bergesel-gesel di kakinya.
“Oh, kau mahu apa?” Rina mengambil kucing tersebut dengan marah.
*****
Tiba-tiba kedengaran bunyi lori bomba. Rina yang sedang duduk di bawah pokok tidak jauh dari klinik ibunya melihat ke mana lori bomba itu pergi.
“Eh, mengapa ada kepulan asap itu?” Rina cemas kerana kepulan asap itu datang dari klinik mamanya.
Rina sangat terkejut dan keliru apabila melihat semua kucing mamanya bergegas keluar dari klinik dengan bantuan seorang wanita. Tidak lama selepas itu, kelihatan seorang wanita mendukung kucing untuk dibawa keluar. Rina segera berlari seperti lipas kudung apabila dia melihat bahawa wanita yang dia perhatikan tadi adalah mamanya!
“Adik, adik! Adik tidak boleh masuk ke dalam. Bahaya!” Seorang ahli bomba menahan Rina daripada terus melulu masuk ke dalam klinik mamanya yang sedang terbakar dijilat api.
“Di dalam ada ibu saya! Encik, tolong selamatkan ibu saya!” rayu Rina.
Tubuhnya ditahan oleh tangan sasa ahli bomba tersebut. Dia menangis meraung-raung minta dilepaskan. Derasan air mata semakin kuat. Dia hanya mampu melihat api marak yang gembira melahap klinik mamanya.
*****
Cuaca pada pagi itu sungguh aman dan indah. Rina mengambil tudung dan menyarungkannya dengan baik agar kelihatan kemas. Lalu disuruhnya Pak Hamid menghantarnya ke Tanah Perkuburan Kuala Pentong bersama Mak Tom.
“Assalamualaikum mama, hari ini genap dua tahun mama tinggalkan Rina. Rina minta maaf sangat kerana derhaka pada mama!” Rina memeluk batu nisan yang terukir nama mamanya. Rasa menyesal menyelimuti dirinya sejak beberapa hari lalu.
“Sudahlah Rina, menyesal kemudian tidak ada gunanya. Mari kita sedekahkan bacaan yassin kepada mama kamu.” Lembut kata pujukan Mak Tom. Perlahan-lahan tangan tuanya menepuk tubuh Rina untuk memujuknya.
Rina membuka yassin lalu membacanya bait-bait indah dengan tangisan. Setiap helaian muka surat dibasahi oleh titisan air mata.
*****
Usai membaca yassin, Rina termenung sendirian.
“Mama, sekiranya Rina tahu dari dahulu yang ayah dan mama bercerai kerana ayah ada perempuan lain, pasti mama tidak pergi! Mama pergi sebab Rina! Rina bunuh mama!” Rina tertunduk dan mengusap-usap Bobby iaitu kucing kudung yang dia telah cederakan dua tahun lalu.
“Mama, lihat ini Bobby. Bobby sudah semakin gemuk. Itulah makan banyak sangat. Bobby sudah terkenal satu Malaysia disebabkan kaki kudungnya. Ramai mahu beli, bahkan ada yang ingin membelinya dengan harga RM 10000. Tetapi Rina tetap tidak mahu menjualnya kerana Rina rasa bersalah dan dengan kucing ini sahaja dapat mengingatkan Rina tentang mama.”
Mata Rina berkaca apabila teringat tingkah lakunya dahulu. Air mata berjuraian keluar dari kelopak matanya.
“Selamat tinggal, mama. Rina sayang mama.” Rina menangis di bahu Mak Tom kerana dia sedar, ungkapan ‘sayang’ yang diucapnya kepada mama sangat jarang diucapkannya sepanjang mamanya hidup.
*****
Kini,Rina meneruskan perniagaan mamanya dan membina klinik baru di tempat yang sama. Rina juga menghasilkan bantal kucing, baju kucing, serta makanan kucing di atas talian. Ramai pelanggan berpuas hati dan sukakan produk yang dihasilkan oleh Rina.
Selain itu, dia juga telah meneruskan pelajaran untuk mencapai cita-citanya, seorang pakar kucing yang terkenal.
Kucing kudung, Bobby dijaganya dengan penuh kasih sayang. Kucing gemuk kacukan persian itu cukup terkenal sejak menjadi viral di facebook ‘Kucing Tanpa Dua Kaki’.
‘Aku akan cuba menikmati hidup walaupun tiada mamaku di sisi. Aku perlu tabah dan kuat bagi membalas budi mamaku!’
Tiba-tiba sesuatu yang berair menjilat pipi gebu Rina membuatkan dia berhenti mengelamun. Dia tersenyum lantas mendakap Bobby dengan penuh kasih sayang. Bobbylah penglipur laranya.