Certot

Hilang

Hasil nukilan NazlifaFy 7 years agoMisteri 20

“Yakin?”

“100 peratus aku yakin itu memang dia. Kau bunuh sahaja dia kalau ibu bapa dia tidak mahu beri wang tebusan. Faham?”

“Baik, bos.”

“Tapi kau kena ingat, jangan tinggalkan sebarang bukti.”

“Beres.”

*****

“Hari ini cikgu mahu memperkenalkan seorang murid baru. Semua tolong diam dan beri kerjasama.” 

Semua murid yang tadinya bising kini senyap. Semua mata tertumpu kepada murid perempuan di sebelah Cikgu Siva.

“Assalamualaikum. Nama saya Aini Sofea. Saya berasal dari Kelantan. Saya harap kamu semua dapat membantu saya menyesuaikan diri di sini.” Aini menundukkan kepalanya sesudah memperkenalkan diri. Malu barangkali.

“Terima kasih, Aini. Awak boleh duduk di sebelah Ifa.” Cikgu Siva menunjukkan sebuah tempat kosong di belakang kelas.

Aini berjalan perlahan ke tempat yang dimaksudkan. Dia kemudian duduk disebelah Ifa.

“Hai Aini! Saya Ifa. Selamat berkenalan.” Ifa memberi senyuman lebar kepada Aini

“Selamat berkenalan juga.” Ifa membalas senyuman yang diberi.

“Sekarang semua pandang depan. Sesi pembelajaran akan bermula.” Cikgu Siva pun memulakan pembelajaran memandangkan tinggal beberapa hari lagi peperiksaan akan menemui mereka.

      *****

“Awak makan donut sahaja? Kenyangkah?” Aini memandang Ifa pelik. Kenyangkah kalau hanya makan dua biji donut? Dia yang makan sepinggan nasi lemak pun belum tentu kenyang.

“Kenyang sangat kerana donut mengandungi gandum,” ujar Ifa bersahaja sambil mengeja perkataan gandum.

Aini hanya  mampu tersenyum kecil mendengar jawapan Ifa. Gandum pun gandumlah.

Tiba-tiba wajah Aini bertukar pucat apabila terpandang dua orang lelaki di kantin itu.

“Kenapa, Aini?” Ifa menyoal sambil menghulurkan secawan minuman kepada  Aini. “Nasi lemak itu pedas sangatkah?”

“Tidak ada apa-apalah.” Wajah Aini kembali tenang apabila dua orang lelaki itu telah beredar. “Mari kita ke kelas. Waktu rehat pun sudah hampir tamat. Kita singgah ke koperasilah. Saya mahu beli cookies.”

“Mari.”

  ******

Keesokkan harinya.

“Saya mahu kamu semua buat ulasan berkenaan kes kehilangan kanak-kanak dan cara menanganinya,” Cikgu Liza memberi tajuk ulasan mengenai kehilangan kanak-kanak kerana baru-baru ini banyak dilaporkan mengenai kes penculikan kanak-kanak.

“Susahnya. Awak ada apa-apa cadangan untuk buat pendahuluan?” Ifa menyoal Aini yang khusyuk menulis ulasan.

“Wah, panjangnya! Baru beberapa minit cikgu beri tajuk, awak sudah buat dua perenggan?” Ifa terkejut melihat ulasan Aini yang panjang sedangkan dia masih belum menulis apa-apa.

“Sebab saya sudah berpengalaman,” balas Aini sambil terus menulis bagaikan tidak mahu berhenti.

“Berpengalaman? Ayat awak seperti awak pernah kena culik sahaja,” ujar Ifa.

Namun, kata-kata Ifa bagaikan angin. Langsung tiada balasan daripada Aini.

‘Adakah dia marah?’ getus hati Ifa. Dia rasa bersalah. “Saya bergurau sahaja. Maksud awak, awak berpengalaman dalam menulis ulasan, bukan?”

“Ya.”

            *****

“Mana abah ini? Sudah hampir satu jam Ifa tunggu. Lama sangat. Baik Ifa jalan kaki balik ke rumah. Lagipun dekat sahaja.” Ifa membuat keputusan untuk berjalan kaki balik rumah apabila ayahnya tidak datang menjemputnya seperti biasa. Murid-murid lain pun sudah beransur pulang.

Tiba-tiba seorang lelaki menegurnya dari belakang. “Adik tunggu ayah adik lama sangat, ya?Kasihannya. Marilah abang hantar.”

‘Seperti pernah nampak sahaja abang ini. Tidak silap saya, lelaki inilah yang ada di kantin hari itu,’ getus hati kecil Ifa. “Okey.” Ifa membuat keputusan apabila letih menunggu. Mahu jalan kaki penat pula dengan cuaca yang agak panas.

“Mari ikut abang,” Lelaki itu mengajak Ifa menaiki sebuah kereta Proton Saga hitam. Kelihatan ada lagi seorang lelaki di dalam kereta itu.

‘Betul! Inilah lelaki yang di kantin hari itu yang Aini tengok sampai pucat, tetapi kenapa?’ Ifa menyoal hatinya. Sedar tidak sedar Ifa kini berada di depan kereta itu.

“Masuk cepat!” suara garau lelaki itu memecahkan lamunan Ifa.

“Tak mengapalah, pak cik. Saya balik sendiri.” Ifa kini menukar langkah. Dia berasa tidak sedap hati pula. Dia berlari menuju ke pondok keselamatan sekolahnya.

Namun, Ifa dapat mendengar langkah kaki yang mengikutnya dari belakang. Lelaki tadi dapat mengejar Ifa lalu menutup mulut Ifa dengan sehelai kain. Sebelum matanya tertutup, dia dapat melihat Aini yang berlari ke arahnya. Namun, pandangannya menjadi kabur.

          ******

“Yakin?”

  “100 peratus aku yakin itu memang dia. Kau bunuh sahaja dia kalau ibu bapa dia tidak mahu beri wang tebusan. Faham?”

  “Baik, bos.”

  “Tapi kau kena ingat, jangan tinggalkan sebarang bukti.”

  “Beres.”

Ifa terbangun apabila terdengar suara bising. Namun ,dia berasa pergerakannya terbatas. Rupa-rupanya tangan dan kakinya terikat. Dia panik.

“Kau dah bangun?” soal lelaki yang bertubuh kurus.

“Kau nak apa? Kenapa aku ada di sini? Lepaskan aku!” Ifa meronta-ronta.

“Kau diam! Nanti kau jadi macam budak sebelum ini.”

“Maksud kau?” Ifa menyoal kembali. “Aku tidak kisahlah. Aku tidak buat salah pun. Lepaskan aku atau….” Belum sempat Ifa menghabiskan ayatnya, dia menggigit pergelangan tangan lelaki itu.

    “Sakitlah. Kau ini menyusahkan betul.” Lantas lelaki itu mengeluarkan pisau untuk membunuh Ifa.

   Namun, tiba-tiba pisau lelaki itu dirampas oleh Inspektor Hassan yang mujur sempat sampai ke tempat kejadian.

   Ibu dan ayah Ifa yang melaporkan kehilangan Ifa turut mengikuti polis dalam usaha pencarian Ifa. Lantas Puan Sara melepaskan ikatan yang mengikat Ifa.

   “Ibu! Ayah!” Ifa menangis kegembiraan di pangkuan ibunya. Mujur polis tiba tepat pada masanya.

   “Alhamdulillah semua okey. Mujur Aini sempat beritau ayah. Kamu patut berterima kasih kepada dia,” ujar Puan Sara.

    “Baik, ibu. Esok saya akan jemput dia dan keluarga dia makan malam di rumah kita.”

     Tiba-tiba Inspektor Hassan berjalan ke arah mereka. “Saya akan bawa penjahat ini ke balai.Pembantu saya akan hantar Encik Razman, Puan Sara, dan Ifa balik. Ifa, lain kali jangan ikut orang yang tidak dikenali.”

   Ifa hanya mengganguk.

*****

Seminggu kemudian…

   “Ifa cepatlah, semua orang dah pergi ke perpustakaan sudah ini,” Aini memanggil Ifa. Hari ini mereka akan belajar di perpustakaan.

    “Awak pergi dahulu.”

     “Tidak mengapa. Saya tunggu di sini sahaja.”

     “Okey, sekejap,”

   Tiba-tiba, sewaktu dia mengambil buku nilam di bawah meja, dia terlihat sehelai surat khabar  yang terjatuh dari bawah meja Aini.

    2 Disember 2015- Seorang pelajar perempuan bernama Aini Sofea dipercayai hilang selepas pulang ke sekolah. Kes ditutup kerana pihak polis tidak memperoleh sebarang jawapan meskipun sudah dua bulan berlalu.

   Tajuk akhbar itu membuatkan Ifa hampir pitam. Dia memandang keluar, tempat Aini menunggu. Aini hanya tersenyum sebelum hilang daripada pandangan Ifa.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: