Certot

Farhanah Gadis Muzika

Hasil nukilan Nurhazimah Hanan 7 years agoFantasi 456

Farhanah menggosok-gosokkan matanya berkali-kali. Mulutnya terlopong luas bagaikan Gua Niah. Gadis yang berada di hadapannya langsung tidak dikenali. Dua patah perkataan meluncur laju daripada mulutnya.

“Siapa awak? “

“Saya Marissa. Saya penjaga Taman Do.”

“Taman Do? Saya ada di mana? “ Farhanah bertanya lagi. 

“Ops, saya lupa. Mari saya kenalkan Alam Muzika kepada awak. Ada tiga taman di sini, iaitu Taman Do, Taman Re, dan Taman Mi. Semuanya ada penjaga. “

“Mengapa saya boleh berada di sini? Macam mana saya hendak pulang ke rumah? “ Riak wajahnya berubah. Dia terbayang wajah ibu dan ayahnya.

    “Sabar, Farhanah. Awak boleh keluar dari sini, tetapi awak harus berjumpa dengan Raja Fattah dan Permaisuri Sofia dahulu.” Marissa memujuk perlahan. Risau jika ada adegan menangis pula.

“Saya ada cara supaya kita cepat sampai di istana Raja Fattah. Awak tutup mata dahulu. “

  Apabila Farhanah membuka matanya, mereka berada berdekatan dengan sebuah tasik yang begitu luas. Tidak sempat dia bertanya, Marissa terlebih dahulu mengeluarkan sebatang tongkat daripada poketnya. Tongkat itu mengeluarkan bunyi yang amat merdu.

    Tiba-tiba air tasik berkocak. Istana yang tersergam indah dan berbentuk not muzik keluar dari tasik itu. Mereka berjalan di atas permaidani panjang yang terapung di atas tasik menuju ke istana. 

Marissa sempat berbisik kepada Farhanah, “Apa-apa pun boleh berlaku di Alam Muzika ini dengan izin-Nya. “

  Pintu istana yang besar itu terbuka. Farhanah berasa amat kagum melihat istana itu. Akhirnya, mereka sampai di singgahsana raja dan permaisuri.

  Namun, alangkah terkejutnya mereka melihat Raja Fattah, Permaisuri Sofia, serta penjaga Taman Re dan Taman Mi menjadi batu. Singgahsana raja pula diduduki oleh….

“Permaisuri Sania! Kenapa awak berada di sini?” Wanita jahat itu tersenyum sinis. “Sudah tentu mahu mengambil Alam Muzika. Siapa gadis yang berada di sisi kamu? “

    “Saya Farhanah.” Dia memberanikan dirinya. “Oh, buat pengetahuan kamu, saya amat benci akan muzik dan akan menukarkan Alam Muzika menjadi Alam Sunyi. “

  “Saya tidak akan membenarkan perkara itu terjadi!” Berlaku sedikit pertarungan di antara Permaisuri Sania dan Marissa. Namun Marissa akhirnya bertukar menjadi batu.

      Farhanah tidak berdiam diri sahaja. Dia mengambil sebatang rekorder yang disusun bersama alat muzik yang lain dan memainkan rekorder tersebut menggunakan kemahiran yang dia ada. Permaisuri Sania yang amat membenci bunyi muzik yang merdu menutup telinganya kerana terseksa mendengar bunyi itu. Akhirnya, permaisuri itu hilang dan mereka yang menjadi batu telah kembali ke rupa asal semula.

      “Terima kasih Farhanah kerana menyelamatkan kami. Kami sendiri tidak pernah terfikir cara menyingkirkan Permaisuri Sania rupa-rupanya amatlah mudah. Untung sahaja kami mengikut kata penasihat istana untuk meminta bantuan kamu yang dikatanya mahir muzik. Kamulah Gadis Muzika!” Raja Fattah dan Permaisuri Sofia tersenyum.

    Farhanah hanya mengangguk dan mengucapkan sama-sama. Hidungnya agak kembang kuncup mendengar pujian raja itu. Tiba-tiba….

    “Farhanah, bangun!” Farhanah membuka matanya. 

‘Aku di bilik muzik pula?’ 

“Awak tertidur, ya? Sudahlah, jom kita balik.” Syakirah mengajak rakannya. Farhanah hanya mengangguk.

      ‘Huh, aku bermimpi sahaja. Tetapi kenapa ada rekorder emas di dalam begku? Hadiah dari Alam Muzikakah?’

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: