Certot

Erti Persahabatan

Hasil nukilan Hawa Saufi 7 years agoFiksyen

Kring! Kring! Kring! 

Bunyi loceng berbunyi menandakan sudah masuk waktu rehat. Sofea dan Atul seperti biasa berlenggang kangkung menuju ke kantin sekolah itu. 

“Hmm… nampaknya terpaksalah kita duduk tepi longkang lagi.” Kedengaran Atul mengeluh. Nampaknya, pelajar-pelajar di sekolah itu lebih tangkas lagi cekap berbanding mereka berdua. 

“Hari-hari kita duduk tepi longkang. Sampai bila mahu begini?” bentak Sofea. 

“Mahu buat bagaimana? Kita bukannya ahli kehormat seperti The Wannababes dalam novel karya Ain Maisarah.” Atul teringat akan novel yang dibacanya sewaktu berada di dalam kelas tadi.      

The Wannababes sangat terkenal dengan kegedikkannya. Lagi-lagi si Fazura, gediknya mengalahkan Mak Gedik! Maaflah mengata awak ya, Fazura. Itulah kebenarannya! Tetapi, yang pelik bin ajaibnya, boleh pula mereka membantu Manjalara yang miskin itu. Itulah perempuan, ibarat kerak nasi terkena air, lama-lama jadi lembut juga. 

“Atul! Asyik berangan sahaja. Ini air awak.” Spontan Atul berdiri. 

“Err… hehehe.” Atul menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Terima kasih, Sofea.” 

Serentak dengan itu, Atul  memeluk bahu Sofea.  

“Hei, saya mahu makanlah. Nanti saya makan awak,” marah Sofea. 

“Maaf.” Pendek sahaja jawapan Atul.  

Atul berdeham. 

Sofea buat bodoh. 

 Sekali lagi Atul berdeham. 

“Awak sakit tekak?” tanya Sofea sambil memandang Atul dengan riak muka yang pelik. Alahai, sampai ke situ pula sahabatnya ini. 

“Saya mahu beritahu awak sesuatu,” ucap Atul dengan nada saspens. 

“Hei, jangan buat orang saspens, boleh? Saya sedang makan ini,” potong Sofea. Kurang asam boi punya Sofea. Orang mahu buat kejutan pun tidak boleh. 

“Err….” 

“Kalau setakat mahu cakap err… err… tidak perlulah buat nada begitu,” sindir Sofea. 

“Okey, saya mahu berkawan dengan Nurin.” Akhirnya, Atul berterus terang. 

“Uhuk! Uhuk! Uhuk!”  Terbatuk-terbatuk Sofea tatkala mendengar pengakuan yang sejujurnya membuat dia rasa tercekik tulang kambing! Masakan tidak, seluruh dunia tahu yang Nurin Kamarina itu gadis terlebih dos gedik! Inikan pula mahu berkawan dengannya. Ish, ngeri! Nanti tidak fasal-fasal Sofea kena sediakan kain kapan. 

“Awak serius?  Dia itu gedik tahap badak air tahu tidak?” marah Sofea. Namun, belum sempat Atul menjawab, loceng sudah menjerit memanggil semua pelajar masuk ke kelasnya. 

*****

Di kelas 5 Gardenia.

Dari tadi Atul dan Sofea tidak bertegur sapa mahupun berselisih. Ini semua gara-gara Atul menyuarakan hasratnya untuk menjadikan Nurin sebagai sahabatnya. Sofea tidak rela! Tiba-tiba, Sofea teringat kejadian hitam yang berlaku di antara dia dan Nurin. Perit rasanya hati apabila mengingati kejadian itu. 

“Hoi, budak miskin! Siapa benarkan kau duduk di meja itu?” jerkah Nurin.Sofea tersentak. 

“Saya cuma mahu makan di sini sahaja. Bukan mahu merobohkan meja ini,” kata Sofea dengan ketakutan.  

“Eh, kau buat lawak antarabangsakah? Ini meja kami! Ini kawasan kami!” marah Nurin 

 Semua orang di kantin memandang mereka berdua. Ada yang kasihan, ada yang tersenyum sinis, ada yang… bla… bla… bla… lagilah! Tiba-tiba… jeng… jeng… jeng! 

“Apa yang kecoh sangat ini?” Suara garau entah dari mana itu menghairankan semua orang. Siapa pula yang mengganggu ‘lakonan’ mereka ini? 

Alangkah terkejutnya pengetua datang dengan muka yang tidak dapat digambarkan bagaimana hodohnya. Sofea dan Nurin meneguk liur. Takutnya usah ditanya. Rasanya kalau ada kuasa terbang, sudah lama agaknya Sofea bertukar menjadi super woman. Nurin apatah lagi. Mahu sahaja bersembunyi di belakang periuk belanga. 

“Nurin, Sofea, sila jelaskan apa yang sudah berlaku?” ujar pengetua dengan muka yang bengis. Masalahnya, muka bengis pengetua itu seakan-akan seperti beruk tertelan pisang. 

Sofea sudah memegang perutnya bagi menahan tawanya daripada pecah. Nurin pula tersengih-sengih bagi mengaburi mata pengetua supaya tidak kelihatan pelik. 

“Sila jelaskan sekarang.” Kali ini pengetua buat muka! Sofea tidak mampu menahan tawa lagi. Tawa Sofea bergema dengan kuat. Pengetua terkejut. 

“Mengapa dengan kamu? Ketawa bagaikan orang gila sahaja,” tanya pengetua. 

“Muka cikgu….” Sofea kembali ketawa. Memang cari nahas betul! 

Muka  pengetua merah padam. Jelas sekali, marah pengetua sudah setinggi Gunung Everest.  Tolong!

“Kamu didenda mencuci tandas selama dua bulan. Kamu berdua!” Pengetua sudah menjatuhkan hukuman.

*****

 Dua bulan berlalu….

‘Oh leganya apabila terlepas dari cengkaman pengetua,’ detik hati Sofea. 

“Bangun, Sofea!” Kedengaran Cikgu Irfan memanggil Sofea. Sofea bangun daripada tidur lantas memisat matanya. 

“Ya, Cikgu?” Sofea yang masih mamai itu masih tidak sedar akan sekelilingnya. 

“Kamu tidur di dalam kelas saya. Selepas itu, boleh pula kamu tanya saya apa yang berlaku?” ujar Cikgu Irfan dalam nada marah.

“Keluar sekarang. Sekarang!” jerit Cikgu Irfan. Seluruh isi kelas terkejut. Hampir gugur jantung Sofea apabila  mendengar suara Cikgu Irfan. Kelam-kabut Sofea keluar.  

Atul berasa kasihan melihat sahabatnya itu. Sudahlah kecewa, didenda pula berdiri sampai habis masa. Atul memang sedar yang Sofea sememangnya berpatah  arang dengan Nurin. Sesungguhnya, dia memang tidak ingin menjadi sahabat Nurin. Jikalau bukan disebabkan ugutan Nurin, mungkin sekarang mereka masih berkawan rapat. 

“Kalau awak tidak putus kawan dengan Sofea, saya akan beritahu semua  orang yang awak suka seseorang,” ugut Nurin. 

Atul kelihatan sangat gelisah dan takut. Dia gelisah kerana rahsia itu akan terbongkar. Tetapi, dia lebih takut yang dia akan kehilangan kawan seperti Sofea. Tidak mahu! Atul hanya mampu membentak dalam hati. 

“Ba… baiklah,” ucap Atul dengan gagap. 

*****

“Huh…,” keluh Sofea. Hari ini, dia balik seorang  diri. Tidak seperti selalu, dia dan Atul  seperti digam dengan gam gajah! 

Sesampainya di rumah, Sofea terus masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu bilik. Dia menangis sepuas-puasnya. Ibunya yang mengetuk pintu tidak diendahkan. 

“Mengapa? Ada apa-apa yang terjadi?” tanya Mak Jah dalam nada kerisauan. 

“Tidak ada apa-apalah, emak,” bohong Sofea. Mana mungkin dia akan memberitahu ibunya tentang perkara itu.  

Baru Mak Jah ingin bertanya lagi, kedengaran orang mengetuk daun pintu rumah. Mak Jah terus membuka pintu bagi melihat siapakah gerangan orang yang bertandang ke rumahnya. 

“Sofea!” Mak Jah memanggil anaknya. “Kawan kamu datang ini,” beritahu Mak Jah. 

“Kawan? Aku mana ada kawan lagi?” omel Sofea. Sofea terus keluar bagi melihat siapa ‘kawan’ yang dimaksudkan itu.

“Atul?” Sofea meraup mukanya. Dia terus memeluk Atul. Dia sangat merindui temannya itu. Dia berjanji tidak akan memusuhi Atul lagi. Hatinya semakin dipaut rasa bersalah apabila mendengar penjelasan Atul. Nurin telah mengugut Atul. Ya Allah! 

*****

Keesokan harinya.

Atul dan Sofea berjalan seiringan menuju bilik kaunseling. Hari ini, mereka ada misi yang penting lagi mustahak. 

“Cikgu, saya ingin melaporkan kes di mana kawan saya telah diugut oleh seorang  murid bernama Nurin Kamarina,” Sofea melaporkan masalah itu dan menceritakan segala yang berlaku. Dari A hingga Z. 

Cikgu Ariana selaku guru bimbingan kaunseling mengangguk faham. Akhirnya, Nurin dihukum kerana mengugut dan juga kerana kesalahan mencuri barang rakan sekelas. Atul dan Sofea akhirnya kembali rapat seperti dahulu. Sofea akhirnya menyedari erti persahabatan yang lebih tinggi nilainya berbanding semua harta duniawi.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: