Certot

Dia Adiwira

Hasil nukilan Hannah Nabilah 7 years agoSuperhero 26

             

Tok tok tok!

      “Faqihah sudah siap?” soal Encik Iqbal lembut. Tanpa menunggu balasan anaknya, dia terus memulas tombol untuk membuka pintu bilik tersebut yang dihiasi juraian manik dan kristal berwarna hitam dan putih.

      “Eh, ayah!” Faqihah yang sedang mengemaskan meja belajarnya tersentak. “Faqihah sudah lama bersiap, cuma tunggu ayah saja. Sambil menunggu, Faqihah kemas meja belajar ini. Petang tadi, selepas mengulang kaji, terlupa pula mahu kemas buku-buku rujukan yang bersepah ini. Hehehe.” Faqihah tersengih malu sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

      Encik Iqbal ketawa sambil menggelengkan kepala. “Yalah. Sudah habis kemas? Kata nak keluar makan,” usiknya.

      “Sebentar…,” balas Faqihah sambil meletakkan buku rujukan yang terakhir di atas rak. “Siap! Jom, ayah! Kita makan di mana?” soalnya teruja.

      “Ya Tuhan, anak ayah tidak tahu makan di mana? Makan di mulutlah, di mana lagi? Hidung?” usikan itu ternyata berjaya membuatkan pipi Faqihah berona merah.

      “Ayah ini, bergurau pula!” Serentak kedua-dua anak-beranak itu meledakkan tawa.

      “Ayah rancang mahu ajak Faqihah makan di Restoran D’ Rimba, restoran kegemaran Faqihah. Boleh?” ujar Encik Iqbal setelah tawa mereka terhenti.

      Faqihah tersengih lebar. “Boleh saja! Jom, ayah!”

      Encik Iqbal hanya mengukir senyum sambil memimpin Faqihah menuruni tangga bersama-sama.

                                      ****

      Ketika ibu Faqihah masih hidup, mereka sekeluarga sering menikmati makan malam di Restoran D’ Rimba. Walaupun jarak antara rumah mereka dengan restoran terkenal itu agak jauh dan memakan masa selama 30 minit perjalanan, ia berbaloi kerana hidangan yang disediakan di restoran itu sangat sedap sehingga menjilat jari! Dalam perjalanan, Encik Iqbal asyik bercerita tentang ibu Faqihah, Puan Rahimah yang telah meninggal dunia setahun yang lalu.

      “Faqihah masih ingat ketika ibu puas memujuk Faqihah untuk makan di Restoran D’ Rimba? Waktu itu, Faqihah mogok makan selama sehari kerana ayah dan arwah ibu tidak membenarkan Faqihah mengikuti rombongan ke Kuching kerana nenek sakit,” ujar Encik Iqbal, memulakan cerita.

      Faqihah kelihatan memejamkan mata, cuba mengingati memori indah ketika arwah ibunya masih hidup. Seketika kemudian, dia memetik jari. “Ingat! Ayah dan arwah ibu tidak benarkan sebab Maksu Siti berkahwin. Faqihah pula tidak pernah menjejakkan kaki di sana. Ish, malulah pula bercerita kisah lam..”

      Encik Iqbal meledakkan tawa. “Tidak perlu risaulah, Faqihah. Bukannya ada orang lain di dalam kereta ini, kita berdua sahaja.”

      “Ayah masih ingat kenangan kita sekeluarga ketika Faqihah masih kecil. Pada setiap hujung bulan, pasti Faqihah demam panas. Doktor kata, mungkin tahap imunisasi Faqihah belum tinggi. Faqihah ingat lagi? Ayah sanggup meredah hujan semata-mata memenuhi hajat Faqihah untuk makan mi segera.”

      “Yakah? Faqihah tidak ingat pula. Hmm… mungkin Faqihah terlalu kecil untuk memahami situasi ketika itu,” balas Faqihah perlahan.

      Encik Iqbal menarik nafas dalam-dalam sebelum menyambung ceritanya. “Ya, ketika itu kereta rosak. Hari yang berikutnya selepas Faqihah menjamah mi segera pada malam itu, demam Faqihah terus kebah. Anak ayah kempunan mi segera agaknya!” Di hujung kata, sedikit usikan diselitkan.

      “Ish, ayah ini… malulah Faqihah.” Jelas pipinya berona merah.

      “Ayah tidak tipu. Lagipun, ayah dan arwah ibu tidak kisah Faqihah makan mi segera pada waktu malam ketika itu, asalkan Faqihah segera pulih daripada demam. Mintalah apa saja, pasti dapat!” tambah Encik Iqbal lagi sambil memusing stereng. Kereta yang dipandunya perlahan-lahan memasuki lorong menuju ke restoran yang menjadi destinasi.

      Faqihah hanya mengukir senyum. Dia masih mahu mendengar cerita ayahnya. Teruja juga mahu tahu sikap diri sendiri ketika kecil!

      “Faqihah pun bukannya budak yang suka meminta-minta. Faqihah memang anak yang baik sedari kecil hingga dewasa, insya Allah. Sebab itulah, semasa kali pertama ayah dan arwah ibu melihat Faqihah, kami terus menerima Faqihah tanpa was-was. Semasa keluarga kita berpindah ke sini pun, Faqihah tidak kisah walaupun terpaksa berpisah dengan kawan rapat.”

      Entah mengapa, sebaik sahaja mendengar kenyataan ayahnya. Faqihah terdiam. Otaknya ligat menghadam kata-kata yang dilontarkan ayahnya sebentar tadi.

      Tidak dapat menahan rasa ingin tahu yang membuak-buak di dalam dada, lantas Faqihah mengajukan soalan. “Maksud ayah? Pertama kali melihat Faqihah, ayah dan ibu terus menerima Faqihah?”

      Giliran Encik Iqbal pula terkedu. Sedar mulutnya sudah terlepas kata, wajah Faqihah dipandang sekilas sebelum membalas ringkas, “Hah, sudah sampai! Ayah lapar sangat!”

      Faqihah tersenyum tawar. Ayahnya tukar topik perbualan, pasti ada apa-apa! Namun begitu, Faqihah hanya menyimpan perasaan ingin tahu itu dalam hati.

                                      ****

      Sambil menunggu hidangan barbecue yang dipesan ayahnya, Faqihah menopang dagu sambil memerhatikan segenap ruang restoran unik yang berkonsepkan rimba itu. Batang pokok yang besar dijadikan dinding restoran itu serta perabot seperti kerusi, meja, dan sofa dihasilkan daripada rotan dan kayu jati memang membuatkan pengunjung restoran itu terasa seperti berada di dalam hutan. Tambah-tambah lagi, terdapat air terjun buatan di salah satu sudut restoran tersebut. Daun rumbia pula digunakan sebagai bumbung restoran. Memang segar dan menyokong kempen mencintai alam sekitar!

      Encik Iqbal yang duduk di kerusi berhadapan dengan Faqihah pula lebih senang membaca surat khabar dalam talian menerusi laman web Berita Harian untuk mengetahui keadaan semasa. Maklumlah seharian bekerja, manalah sempat keluar membeli surat khabar di kedai.

      Ketika Encik Iqbal khusyuk membaca akhbar elektronik, tiba-tiba bahunya ditepuk perlahan. Lantas, kepalanya berpaling. Wajah yang dikenalinya menghiasi ruang mata.

      “Eh… makan di sini juga?” soal Encik Iqbal mesra sambil berjabat tangan dengan lelaki berusia lingkungan 30-an itu. Lagak mereka berdua seperti kawan rapat yang sudah lama tidak berjumpa.

      Faqihah tidak mengendahkan kelakuan ayahnya serta lelaki yang tidak dikenalinya itu. Dia masih leka memerhatikan hiasan restoran itu. Cantik.

      “Tidaklah selalu makan di restoran ini sebab agak jauh dari rumah. Hari ini pula perlu mewakili syarikat menghadiri mesyuarat, kebetulan pula lokasinya tidak jauh dari restoran ini. Alang-alang sudah dekat, singgahlah sekejap untuk makan malam. Tidak sangka pula kita berdua terserempak di sini pula,” jelas lelaki tersebut lalu ketawa kecil.

      Mendengar tawa kecil lelaki itu, spontan Faqihah mengalihkan tumpuannya kepada lelaki yang tidak dikenalinya itu memandangkan kelakuan mereka seperti kenalan rapat. Laju sahaja mulutnya bertanya, “Ayah, ini kawan ayah ya?”

      “Oh, ini….” Encik Iqbal menelan liur, mengingatkan kepada diri sendiri agar lebih berhati-hati apabila bercakap. Takut pisang berbuah dua kali!

      “Kawan ayah,” sambungnya selepas hampir lima saat terdiam. “Namanya Azri.”

      Faqihah tersenyum segaris lalu melirik kawan ayahnya yang bernama Azri itu sambil berkata, “Pak Cik Azri, boleh saya panggil dengan gelaran itu?”

      “Hmm… selalunya, budak-budak panggil Ayah. Lebih mesra,” ujar Encik Azri sambil mengukir senyuman, membuatkan Faqihah mengangkat kening sebelah.

      “Err… nama saya Faqihah. Faqihah panggil ayah Faqihah pun dengan gelaran ‘ayah’, jadi… bukan apa, nanti keliru pula.” Faqihah senyum lagi. Wajahnya jelas menunjukkan rasa bersalah yang teramat sangat.

      “Tidak mengapa… tidak mengapa. Masih boleh panggil Ayah Azri, bukan?” usik Encik Iqbal lalu mereka bertiga ketawa.

      “Ya… ya… Ayah Azri.”

      “Duduklah semeja dengan kami berdua. Sudah pesan makanan atau belum?” pelawa Encik Iqbal ramah sambil matanya dikerlingkan ke arah Faqihah.

      Menyedari kerlingan itu, segera Faqihah menukar tempat di sebelah ayahnya sambil mengambil isyarat itu sebagai arahan pertukaran tempat duduk.

      “Belum pesan lagi,” ujar Encik Azri sambil mengambil tempat Faqihah tadi. “Tadi mahu pergi ke kaunter pesananlah. Terserempak pula dengan kawan.”

      “Hah, baguslah! Boleh kongsi pesanan bersama-sama. Faqihah bukannya banyak makan, takut gemuk katanya,” usik Encik Iqbal lalu menyambung, “Lagipun hidangan barbecue selalunya dihidang dalam kuantiti yang banyak. Bagaimana? Boleh?”

      “Kalau begitu, baiklah… tetapi biar saya bayar, ya.”

      Encik Iqbal dan Encik Azri rancak berbual mengenai kerja. Puas bercerita hal kerja, mereka beralih pula kepada topik semasa selama hampir 15 minit sehinggalah hidangan yang dipesan siap.

      Hidangan barbecue tersebut tampak begitu lazat. Daging ayam empuk yang diperap sos lada hitam semalaman sudah mampu membuatkan air liur meleleh laju. Itu belum lagi daging lembu barbecue yang dibuat berpandukan resipi rahsia turun-temurun. Oh, jangan dilupa udang segar yang dipanggang bersama rempah-ratus beraneka warna yang turut membangkitkan selera.

      Dengan bacaan bismillah, mereka memulakan suapan pertama.

                                      ****

      “Ayah, itu kawan lama ayahkah?” tanpa ragu-ragu, Faqihah terus mengajukan soalan yang sejak tadi bermain dalam hatinya.

      “Ya,” balas Encik Iqbal pendek. Nampaknya dia lebih tertumpu pada tahap keselamatan pemanduannya memandangkan jalan raya agak licin disebabkan hujan yang turun tadi.

      Faqihah bersandar tenang. Walaupun dia masih tidak berpuas hati dengan jawapan ayahnya, dia hanya sematkan dalam hati. Semoga dia bertemu jawapan yang dicari suatu hari nanti.

                                      ****

      “Faqihah ingat lagi kawan ayah yang kita jumpa di restoran tempoh hari?”

      Pertanyaan ayahnya membuatkan Faqihah tersedar daripada lamunan. “Ingat, ayah. Mengapa?”

      “Dia bakal tetamu kita hari ini,” jawab Encik Iqbal. “Dalam pukul 10.00 pagi. Alah, lama lagi. Faqihah ulang kajilah dulu, ya. Jangan bazirkan masa mengemas rumah. Rumah ini bukannya bersepah sangat pun,” sambungnya.

      “Baiklah. Nanti Faqihah turun dalam pukul 9.45 pagi, ya.”

      Encik Iqbal hanya mengangguk kecil. Dalam diam, dia memandang wajah Faqihah dengan pandangan yang redup. Hari ini, Faqihah akan tahu segalanya.

                                      ****

      Faqihah mengemaskan lilitan selendang berwarna biru laut kegemarannya agar tampak lebih kemas. Sebenarnya selendang itu merupakan hadiah daripada arwah ibunya sempena hari lahirnya yang ke-8. Setiap kali dia memakai selendang itu, pasti dia terasa seakan-akan kehadiran arwah ibu di sekelilingnya.

      Al-Fatihah.

      Faqihah menarik nafas dalam-dalam. Entah mengapa, hatinya kuat mengatakan ada kejutan buat dirinya pada hari ini.

      “Mungkin mainan perasaan sahaja,” bisik Faqihah perlahan. Kakinya melangkah laju menuruni tangga menuju ke dapur.

      “Faqihah duduklah di ruang tamu. Ayah sudah buatkan air kopi. Janganlah risau,” tegur Encik Iqbal seraya mengacau kopi dan gula di dalam teko bagi mempercepatkan proses melarut.

      “Okey… nanti kawan ayah datang, Faqihah beritahu. Roger!” balas Faqihah riang sambil berlari-lari anak menuju ke ruang tamu di mana sofa kulit berbentuk L ditempatkan di situ. Sebaik sahaja sampai, dia terus melabuhkan punggungnya di situ.

      Telefon bimbitnya dikeluarkan lalu aplikasi Facebook disentuh. Baru sehari tidak online, sudah beratus-ratus notifikasi masuk, lima mesej diterima dan 20 permintaan menjadi ‘rakan’. Yalah, Faqihah sebenarnya bukanlah seorang yang gemarkan media sosial. Akaun Facebook itupun dibuat oleh rakannya memandangkan guru kelasnya hanya memberikan tugasan cuti sekolah melalui media sosial itu. Pada ketika itu pula, hanya dia seorang yang tidak mempunyai akaun Facebook.

      Tatkala Faqihah leka membaca cerpen yang dihantar rakannya di Facebook, tetamu yang ditunggu-tunggu kini tiba.

                                      ****

      Ting tong! Loceng rumah itu ditekan untuk memaklumkan ketibaannya pada lewat pagi itu.

      Helaan nafas berat dilepas perlahan. Hari ini hari yang penting.

      “Ayah… Ayah Azri sudah sampai!” laung Faqihah sambil memanjangkan kepalanya untuk melihat rakan ayahnya itu. “Sebentar, ya!” ujarnya kepada lelaki yang digelar Ayah Azri itu.

      Geek… geek… pintu pagar automatik yang berkerawang itu bergerak perlahan, memberi laluan untuk lelaki itu. Hanya dengan satu pergerakan jari, itulah keistimewaan teknologi masa kini.

      “Assalamualaikum,” ucap Encik Azri sambil mengukir senyuman. Dapat dilihat, tangan kirinya menjinjing beg kertas bersaiz agak besar.

      “Waalaikumussalam… masuk,” pelawa Encik Iqbal mesra. “Awal sampai,” usiknya.

      Encik Azri tersenyum segaris. “Awal sebab ada hal penting. Takut tidak sempat pula….”

      “Faqihah, mari duduk sebelah ayah,” panggil Encik Iqbal perlahan. Matanya redup memandang gadis sunti itu.

      Tanpa berkata apa-apa, Faqihah lantas mengambil tempat di sebelah Encik Iqbal.

      “Bukan di sini, tetapi di sana. Di sebelah Ayah Azri,” ujar Encik Iqbal lalu menghela nafas. “Ayah Azri itulah ayah kandung Faqihah, bukan ayah….”

      Faqihah tersentak! Inikah ‘kejutan’ yang sejak pagi tadi dia tunggu? Inikah kenyataan yang perlu dia terima? Ataupun….

      “Ayah… bergurau, kan?” Faqihah memandang wajah ayahnya dengan penuh harapan bahawa ayahnya hanya bergurau.

      “Faqihah anak ayah…,” jelas Encik Azri perlahan setelah mendiamkan diri buat beberapa ketika.

      “Apa… apa maksud ayah? Kejap, Faqihah tidak fahamlah! Ayah Azri kawan lama ayah. Setelah tidak berjumpa dalam jangka masa yang agak panjang, akhirnya terserempak ketika di Restoran D’ Rimba tempoh hari. Hari ini pula, Ayah Azri merupakan tetamu rumah ini, dan tiba-tiba menggelarkan diri sebagai ayah kandung Faqihah?” Faqihah mengetap bibir. Dia memandang wajah Encik Iqbal selama 10 saat sebelum menatap wajah Encik Azri pula.

      “Begini ceritanya….”

      Lalu Faqihah menadah telinga seluas-luasnya. Sepatah kata pun dia tidak lepaskan daripada bibirnya yang terkunci rapat.

      “Nama ibu kandung Faqihah ialah Zulaikha. Faqihah memanggilnya dengan gelaran mama. Mama meninggal dunia kerana lahirkan Faqihah. Sejak itu, ayahlah yang perlu menjaga Faqihah. Pada ketika itu, ayah bekerja di salah satu syarikat terkemuka Malaysia. Semua kehendak Faqihah ayah laksanakan dengan gaji yang bukan sedikit. Sehinggalah pada suatu hari, syarikat itu muflis dan kesemua pekerja dipecat. Ayah sangat risau. Ketika itu, dalam minda ayah, ayah hanya terfikir bagaimana mahu memastikan Faqihah tetap bersekolah dan menimba ilmu walaupun dalam keadaan sebegitu.”

      Encik Azri menghirup nafas dalam-dalam sebelum menyambung, “Tambahan pula, tiada jawatan kosong yang ditawarkan. Akhirnya, ayah memulakan perniagaan sendiri, menjual barang-barang sekolah seperti buku nota, buku tulis, pensel, pen, dan banyak lagi. Pada mulanya, ayah hampir berputus asa. Namun, setiap hari Faqihah memberi ayah semangat melalui wajah ceria Faqihah. Akhirnya, barang jualan ayah semakin laris memandangkan kualitinya yang bagus dan tahan lama. Pada suatu hari….” Sekilas, dia mengerling abangnya, Encik Iqbal.

      “Abang ayah atau Faqihah boleh memanggilnya Pak Long Iqbal, bercadang untuk mengkomersialkan lagi barang jualan ayah ke peringkat yang lebih tinggi, malah mungkin antarabangsa dengan bantuannya. Akhirnya, selepas menimbang baik dan buruk, ayah bersetuju. Dengan berat hati, ayah tinggalkan Faqihah untuk dijaga oleh Pak Long Iqbal dan arwah Mak Long Maria. Pada ketika itu, Faqihah masih belum memahami keadaan sebenar. Faqihah terus menganggap Pak Long itu ayah, memandangkan wajah kami hampir serupa. Untuk pengetahuan Faqihah, segala kos tanggungan Faqihah, ayah kirim duit dari jauh. Hm… minggu lepas, Pak Long Iqbal memaklumkan ayah bahawa sudah tiba masanya untuk Faqihah tahu kebenarannya. Jadi, ayah cadangkan kita ‘terserempak’ di Restoran D’ Rimba. Memang benar ayah ada mesyuarat di situ. Syukur, alhamdulillah. Betapa syukurnya hati ayah melihat anak ayah sihat dan selamat.”

      “Ayah minta maaf, Faqihah. Ayah tidak patut merahsiakan semua ini….”

      Air mata Faqihah yang tadinya bergenang di pelupuk mata, laju menuruni pipi mulusnya. Terharu hatinya mendengar pengorbanan ayahnya itu. Betapa banyaknya ranjau yang ayahnya lalui.

      “Tidak perlu minta maaf, ayah. Faqihah yang patut minta maaf,” ujar Faqihah tersekat-sekat. “Kiranya Pak Long Iqbal ini ayah angkat Faqihahlah, ya?”

      “Betul. Walau apa pun, Faqihah tetap anak ayah dan bukan anak Pak Long,” sampuk Encik Iqbal sambil tersenyum. Lega hatinya melihat jalinan anak-beranak itu.

      “Ini buktinya. Semua kenangan Faqihah semasa kecil, ayah simpan di dalam beg kertas ini. Walau ke mana jua ayah pergi, ayah akan membawanya bersama.” Encik Azri mengesat air mata Faqihah lembut lalu mendakap anaknya itu.

      “Faqihah tidak biasa dengan panggilan Pak Long Iqbal. Apa kata sekiranya Faqihah panggil ayah sahaja untuk kedua-duanya?” cadang Faqihah sambil tersenyum senget.

      “Apa-apa sahajalah, Faqihah. Asalkan kamu gembira,” balas Encik Iqbal lalu ketawa kecil.

      Faqihah tersenyum lebar. Hari itu amat bermakna buat dirinya.

      “Ayah, ayah tahu atau tidak? Sebenarnya superhero memang wujud dalam dunia ini,” soal Faqihah tiba-tiba.

      “Faqihah pasti? Yalah… tidak pernah pun dengar, orang ramai ternampak Superman, Spiderman, Batman, Ultraman dan pelbagai lagi di dunia realiti. Faqihah mimpi agaknya,” usik Encik Azri lalu ketawa kecil.

      “Tidaklah, Faqihah tidak bergurau pun.” Faqihah tersenyum lagi.

      “Haa… apa kata sekiranya Faqihah terangkan, superhero mana yang Faqihah nampak? Si labah-labah Spiderman? Si gagah perkasa Ultraman? Atau hero kecil, Boboiboy?” giliran Encik Iqbal pula mengusik Faqihah.

      “Ish, senang sahaja,” Faqihah berdalih. “Cuba ayah cakap, bagaimana seseorang itu boleh menjadi seorang superhero? Bagaimana Ant-Man dan lain-lain boleh kecapi gelaran superhero?”

      “Hurm… sebab mereka kuat?” teka Encik Azri.

      “Betul! 10 markah diberikan!” usik Faqihah di hujung kata. “Ayah tahu? Dari awal Faqihah dilahirkan, ayah besarkan dan jaga Faqihah sebaik-baiknya. Walaupun terpaksa berpisah buat seketika, ayah tetap mengambil berat fasal Faqihah, walaupun dari jauh. Terima kasih, ayah!”

      Kemudian, dia beralih kepada Encik Iqbal pula. “Ayah pula sanggup berkorban menjaga Faqihah walaupun Faqihah bukanlah anak kandung ayah. Betullah, kasih ayah membawa ke syurga. Terima kasih untuk ayah juga!”

      “Jasa kedua-dua ayah Faqihah tidak akan sekali-kali dilupakan, insya Allah. Terima kasih sekali lagi kerana kuat dan tabah membesarkan Faqihah. Ayah superhero Faqihah. Jadi Faqihah ada dua orang superhero! Untungnya Faqihah!” Lantas, Faqihah mencapai tangan Encik Azri dan Encik Iqbal untuk bersalaman.

      Sambil memandang antara satu sama lain, bibir Encik Azri dan Encik Iqbal masing-masing mengukir senyum bahagia.

      “Superhero tidak semestinya seseorang yang gagah perkasa. Asalkan sanggup berkorban demi kepentingan orang lain, sudah layak digelar superhero.” – Hannah Nabilah.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: