Certot

Aku Yang Istimewa

Hasil nukilan Aisyah 7 years agoSukan 162

“Yeay, esok cuti penggal!” sorak Aizat.

“Seminggu selepas cuti penggal, ada marathon yang dianjurkan sekolahkan?” tanya Aizat.

“Ya, kenapa?” tanya Hakimi.

“Awak mesti tak tahu apa hadiahnya, kan?” pancing Aizat.

“Apa hadiahnya?”

“Wang tunai sebanyak RM600 bersama hamper!” kata Aizat penuh teruja.

“Wow, hadiah yang lumayan! Saya akan menang,” janji Hakimi pada dirinya sendiri.

“Namun awak tidak akan ada peluang langsung, kerana ramai atlet sekolah yang akan turut serta dalam marathon itu,” hujah Aizat untuk mematahkan semangat Hakimi.

“Saya takkan mengalah,” tegas Hakimi dengan penuh bersemangat.

“Ikut suka hati awaklah,” sindir Aizat.

*****

Di rumah Hakimi.

“Mari mulakan latihan!” kata Hakimi dengan penuh bersemangat.

“Sebelum itu, cari dalam Google dahulu cara bagaimana berlatih marathon.”

Selepas itu, Hakimi memulakan latihannya.  Dia berlari keliling padang sebanyak lima kali.

“Huh, penatnya. Inilah akibatnya jika jarang bersukan.” Hakimi mengeluh sendirian sambil tercungap-cungap.

“Baru pusing padang lima kali dah penat? Baik kau tarik diri sahajalah daripada marathon itu,” sindir seorang lelaki dari belakang. 

Apabila menoleh, dia mendapati lelaki yang menyindirnya itu adalah rakan karibnya, Aizat.

“Nah.” Aizat menghulurkan sebotol air minuman.

“Kau perlu kekal hidrasi kalau nak berlari,” nasihat Aizat.

“Baiklah,” kata Hakimi.

“Kalau penat sangat nak berlari, baik berjogging sahajalah,” cadang Aizat.

Hakimi akur, lalu dia pun perlahan-lahan berjogging mengelilingi padang.  Mereka bersama-sama berlatih.  Mereka juga tidak lupa mengulang kaji pelajaran bersama-sama.

*****

Pada pertengahan cuti penggal….

Kelajuan Hakimi meningkat.  Ternyata remaja itu mempunyai potensi yang hebat. 

“Tidak sangka.  Walaupun kami berdua berlatih bersama-sama, namun kelajuan aku tak dapat nak mengatasinya.  Berkemungkinan dia mampu menang marathon,” Aizat mengomel sendirian.

“Hei Aizat, apa yang awak termenungkan tu? Jomlah kita berlatih,” ajak Hakimi.

“Tunggu saya,” sahut Aizat. 

Sewaktu mereka berdua berlatih, mereka didatangi seorang remaja lelaki yang sebaya dengan mereka.

“Awak takkan ada peluang,” remaja lelaki itu mencebik.

“Kenapa pula?” Hakimi terpinga-pinga.

Aizat berbisik kepada Hakimi, “Hakimi, itu adalah Aziz.  Seorang atlet lari jarak jauh yang terhandal dan tersohor di daerah kita ini, Sungai Petani.”

Hakimi sedikit terkejut.

“Saya tidak akan kalah,” kata Hakimi bersemangat.

“Kalau begitu, mari berlumba dari palang ini sehingga tiang gol itu,” cabar Aziz sambil tersenyum sinis.

“Baiklah,” Hakimi bersetuju. 

Aizat menepuk dahinya.  Mereka pun memulakan perlumbaan.  Aizat memulakan kiraan 1… 2… 3.  Lalu mereka berdua memecut.

“Pasti dia tidak dapat mengejar aku,” Aziz berkata dengan penuh bangga.

  Tiba-tiba Hakimi memecut semakin laju sehingga menghampiri Aziz.  Aziz dan Aizat terkejut dengan apa yang berlaku.  Namun begitu, dia masih tidak dapat memintas Aziz sehingga ke palang gol.

Mereka berdua tercungap-cungap selepas berlari.  “Dia agak hebat, namun dia takkan dapat memintas aku langsung,” Aziz mengomel dan terus berlalu pergi.

“Dia sangat hebat.” Hakimi mengeluh.

“Awak pun apa kurangnya? Awak hampir berjaya memintasnya tadi,” puji Aizat.

“Stamina awak rendah, sebab itulah awak tewas. Jadi, sekarang awak mesti berjoging keliling padang 10 kali,” arah Aizat, berlagak seperti jurulatih.

“Baiklah.”

*****

Dua hari sebelum marathon….

Kelihatan Hakimi sedang berlari keliling padang.  “Hah… hah, cukuplah keliling padang.  Sekarang aku nak uji kelajuan,” Hakimi mengomel. 

Hakimi pun berlari pecut dari satu palang gol ke palang gol yang berada bertentangan padang.  Namun dia tidak sedar ada orang sedang memerhatikan dia.

“Wah, kelajuan dia bertambah dengan mendadak.  Lebih laju berbanding ketika dia berlumba dengan aku dahulu.” Aziz merasa kagum bercampur cemburu.

“Nampaknya aku ada pencabar yang hebat,” Aziz merungut.

*****

Hari marathon….

“Berdebarnya,” Hakimi memberitahu rakannya.

“Relakslah kawan, aku yakin kau mampu menang,” kata Aizat. 

Kali ini Aizat tidak menyertai pertandingan kerana cedera.  Tetapi semangat yang diberikan Aizat amat bermakna.  Hakimi mengangguk faham.

“Perlumbaan akan dimulakan sebentar lagi. Peserta diminta berada di garisan permulaan,” kata pegawai pelepas.

“Semoga berjaya,” kata Aizat. 

Hakimi mengangguk.

“Hei, aku pasti akan tewaskan kau,” kata Aziz untuk menggerunkan Hakimi.

“Peserta ke garisan….”

“Sedia….”

“Mula!” Peserta terus berlari selepas pegawai pelepas meniupkan wisel.  Pelbagai kelajuan ditunjukkan oleh para peserta. 

*****

Pada penghujung perlumbaan marathon….

Kelihatan dua peserta paling hadapan, iaitu Aziz dan Hakimi.  Namun begitu, Hakimi dapat memintas Aziz.

Tiba-tiba beberapa meter sebelum garisan penamat, kelajuan Hakimi merosot sehingga menyebabkan Aziz dapat memintasnya.

*****

Acara penyampaian hadiah.

Selepas pemenang tempat ketiga mengambil pialanya, semua penonton memberi tepukan gemuruh.

“Juara marathon tahun ini ialah… Mohd Aziz bin Ridwan! Dan tempat kedua dimenangi oleh Ahmad Hakimi bin Mustaqim.”

*****

Selepas acara penyampaian hadiah.

“Aah….” Hakimi mengeluh kerana hanya menjadi naib johan.

“Hei!” Aziz memanggil Hakimi.

“Awak lawan saya yang terhebat.  Namun stamina awak kurang. Awak gagal mengawal kelajuan sendiri,” nasihat Aziz. 

Tiba-tiba seorang lelaki datang ke arah mereka.  Rupa-rupanya itu adalah Cikgu Farid, cikgu pendidikan jasmani mereka.

“Cikgu sudah lihat perlawanan tadi.  Cikgu rasa kamu berdua berpotensi untuk menjadi atlet acara balapan.  Kamu nak tak?”  tanya cikgu Farid.

“Pasti nak!” jawab mereka serentak.

Kedengaran bunyi loceng menandakan waktu persekolahan telah berakhir. Seperti biasa Hakimi balik ke rumah menaiki basikalnya. Tiba-tiba dalam perjalanan, dia merasakan dunianya gelap.

*****

“Hakimi dah sedar mak cik,” kata Aizat kepada ibu Hakimi.

“Saya di mana ni? Apa dah jadi pada kaki kiri saya?” Hakimi yang telah sedar, tiba-tiba menjerit.

“Hakimi dilanggar oleh kereta semasa balik dari sekolah. Sudah hampir seminggu Hakimi tidak sedarkan diri. Doktor terpaksa memotong kaki kiri Hakimi kerana hancur akibat kemalangan itu,” perlahan Aizat menyusun ayatnya satu per satu.

*****

Sebulan selepas keluar dari hospital, Hakimi menjadi pendiam. Dia lebih banyak menghabiskan masanya menyendiri dan melayari media sosial seperti Facebook dan Whatsapp. Dia berasa masa depannya dalam bidang sukan sudah gelap.

Tiba-tiba semasa dia sedang melayari Facebook seperti lazimnya, dia terbaca kisah Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, seorang atlet paralimpik negara yang telah memenangi emas dalam Kejohonan Dunia di Qatar baru-baru ini.

“Jika dia boleh, kenapa aku tidak boleh?” Hakimi bercakap sendirian.

“Ya, inilah semangat yang kita mahukan!” Aizat tiba-tiba menyergah dari belakang.

“Saya akan melatih kamu sampai berjaya, Hakimi. Aziz juga bersetuju untuk menjadi rakan sepelatih kamu,” jelas Cikgu Farid yang berada di belakang Aziz semasa lawatan mengejut mereka di rumah Hakimi.

Tiba-tiba semangat Hakimi datang kembali. Hakimi sedar orang kurang upaya seperti dirinya juga adalah istimewa. Dia yakin dia juga pasti berjaya dalam bidang sukan seperti atlet yang normal. Di mana ada kemahuan, disitu ada jalan.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: