Certot

Aku, Ibu dan Aiskrim Malaysia Oleh Muhammad Fakhrul-Aqilin Rizqy bin Rohidzir

Hasil nukilan Aqilin 6 years agoSuperhero

           

Namaku Aqilin. Tahun ini aku masih kekal bersekolah di Sekolah Islam Nur Al-Azhar (SINAR) yang berasrama penuh. Kini umurkucmencecah 13 tahun. Di sekolah ini, aku amat gembira bersama rakan-rakan, tetapi kadangkala aku berasa rindu kepada arwah ibuku. Namun itulah kehidupan.

Suatu hari pihak sekolah mengadakan lawatan sambil belajar ke Melaka. Yuran bagi lawatan tersebut ialah RM50. Aku amat teruja dengan pengumuman itu. Lantas aku bergegas ke dalam bilikku bagi mengambil duit walaupun aku tahu bahawa aku hanya mempunyai RM20 dan ia tidak mencukupi bagi membayar yuran untuk ke Melaka.

Dalam perjalanan pergi ke bilik, aku terdengar perbualan antara dua orang rakan seasramaku, Amirul dan Adib.

Adib berkata, “Tentu semua pelajar akan mengikuti lawatan itu nanti kecuali Aqilin.”

“Ya betul, kerana dia miskin dan tidak ada ibu,” balas Amirul pula.

Kemudian aku terdengar mereka ketawa terdekah-dekah. Berdesing telingaku mendengarnya.

Aku menangis lalu berlari ke dalam bilikku dan menghempas pintu sehingga tombol pintu hampir tercabut. Aku baring di atas katil sambil melepaskan kemarahan dengan menumbuk bantal beberapa kali. Selepas itu, aku menyelongkar bagasiku bagi mencari duit.

Tiba-tiba aku terjumpa zip tersembunyi di dalam beg. Apabila aku membukanya dan menyelukkan tangan ke dalamnya, aku mendapati terdapat sekeping gambar. Menatap gambar ini, tiba-tiba mataku bergenangan dengan air mata kerana gambar itu adalah gambar arwah ibuku yang sangat aku hormati dan aku cintai.

Masih segar di ingatanku kisah bersama ibuku. Pada waktu itu aku berumur enam tahun.

Aku bertanya kepada ibuku selepas kami selesai menunaikan solat fardu maghrib, “Ibu mengapa kita perlu bersolat? Mengapa kita perlu berpuasa dan baca Al-Quran?”

Lalu ibuku tersenyum dan berkata, “Aqilin, solat itu tiang agama dan puasa itu banyak manfaatnya. Begitu juga dengan Al-Qquran. Apabila kamu sudah dewasa, kamu carilah sendiri jawapanya dengan lebih terperinci,“ jawab ibuku dengan panjang lebar.

Itu hanya secebis dari kisah manis dari hidupku namun hidup ini bukan sentiasa manis adakalanya semanis kurma adakalanya sepahit peria .

Peristiwa ngeri itu masih segar di ingatanku. Ketika itu aku berumur sembilah tahun. Pagi itu ibuku seperti biasa menyidai pakaian di belakang rumah, manakala aku pula sedang membaca komik kegemaranku di atas sofa. Tiba-tiba aku terdengar jeritan yang kuat dari belakang rumah. Aku bingkas bangun dan meluru pintu belakang.

Setibanya aku di belakang, aku melihat ibu terbaring di atas tanah sambil meronta. Aku segera berlari mendekati ibuku, tetapi ibu yang melihat aku menghampirinya melarang aku daripada mendekatinya.

Dia menjerit, “Aqilin jangan dekat! Lari!’’

Namun kerana khuatir dengan keadaan ibu, aku tidak mengendahkan larangan ibu dan terus mendekatinya. Sebaik sahaja aku sampai ke sisi ibu, tiba-tiba langkahku terhenti. Mataku terbeliak melihat apa yang berada di hadapanku. Tanganku menggigil kuat. Lidahku menjadi kelu walau sebenarnya aku mahu menjerit sekuat hati. Tiba-tiba lututku berasa sunguh lemah sehingga menyebabkan aku terduduk.

Di hadapanku ialah seekor ular yang sebesar betisku. Ular itu berwarna coklat berkilat dan sepanjang kira kira lima meter itu memanggungkan kepalanya lebih tinggi daripada aras kepalaku. Matanya bagaikan merenung dan menentang mataku hingga menyebabkan gigilku bertambah kuat.

‘Ular tedung selar,’ getus hatiku.

Ular paling berbisa yang terdapat di Asia. Aku mengetahuinya kerana pernah melihat dokumentari mengenai haiwan ini. Menurut dokumentari ini satu patukan ular ini boleh membunuh seekor gajah yang besar atau 20 atau 30 orang sekali gus. Aneh kerana fakta- fakta ini boleh muncul dalam mindaku sedangkan aku dalam keadaan yang cemas.

Dalam ketakutan itu, aku pasti ular ini akan menyerangku. Gigitannya pada ubun-ubunku pasti melumpuhkan seluruh otot-otot tubuhku. Pernafasanku seakan terganggu. Mataku menjadi kuyu dan pandanganku menjadi kabur. Tubuhku berpeluh dan aku diserang sawan yang teruk sehingga menyebabkan mulutku berbuih putih. Nyawaku seakan melayang.

Ular itu menyerangku. Aku hanya mampu menutup mata dan segala-galanya menjadi gelap.

*****

Ketika membuka mata, aku dapati matahari sudah berada tegak di atas kepala. Aku terperanjat melihat tubuh ibu beradad di sampingku. Kaku. Tidak bernyawa. Apabila membangunkannya, aku mendapati mukanya pucat dan mulutnya berbuih. Aku pasti dia sudah dipatuk ular tedung selar tadi. Menambahkan lagi keyakinanku apabila aku melihat kesan patukan pada bahu ibu.

Pada ketika itu aku pasti bahawa dia telah mengorbankan nyawanya demi aku. Ibu yang kukasihi telah menjadikan badannya sebagai perisai bagi melindungi aku. Ibuku telah menyelamatkanku daripada dipatuk ular itu. Ketika itu nyawa ibuku telah ditarik keluar dan ibuku telah pegi meninggalkanku untuk menghadap ilahi.

Aku tidak dapat menerima kenyataan aku berdoa kepada Allah semoga dia kembalikan semula ibuku. Namun apabila Allah menghendaki sesuatu tidak ada siapa yang dapat menghalangnya. Aku diselubungi kesedihan.

Petang itu, jasad ibu dimandikan dan ditanam di tanah perkuburan Islam. Aku tinggal berseorangan, hidup sebatang kara tanpa peneman namun aku tahu Allah akan sentiasa melindungi hambanya yang lemah. Aku sedang duduk termenung melihat tumbuhan yang menghijau dan langit yang biru.

Tiba-tiba aku teringat pesanan arwah ibuku, “Wahai anakku ,Aqilin ingatlah pesanan ibu in.i Kamu carilah rezeki yang halal dan sentiasa mencari jalan keluar apabila sesat, jalan keluar sentiasa ada. Allah bersama orang yang berusaha.”

Terima kasih ibu pesanan ibu itu akan aku jadikan sumbu usahaku.

Tiba tiba aku tersedar daripada lamunan itu sekarang aku baru perasan bahawa air mataku tidak menitis lagi. Pesanan ibu yang lembut masih terngiang-ngiang di telingaku. Ia bagaikan baru sahaja dilafazkan semalam seringkali aku berfikir bagi mentafsirkan ungkapan ibu. Tiba tiba aku teringat satu lagi pesanan ibu.

Ibuku pernah berpesan, ‘’Apabila kamu jatuh, kamu perlu sentiasa bangkit jika tidak berjaya dengan satu percubaan, cuba untuk kali kedua, ketiga, dan seterusnya.”

Akhirnya selepas berhempas pulas mentafsirkan pesanan ibu, aku mendapat jawapannya lalu aku tersenyum sekali lagi. Aku mengucapkan terima kasih kepada ibu dan juga kepada Allah.

Aku berkata sendirian, ‘’Akhirnya aku dapat caranya.”

Kini aku sudah tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini. Aku meminta bantuan Ustaz Zuhdi untuk membawa aku ke kedai runcit bagi membeli serbuk milo, gula, susu tin, dan plastik aiskrim. Bahan-bahan ini adalah modal untuk menghasilkan Aiskrim Malaysia.

Aku memulakan operasi menjual aiskrim. Allhamdulillah usaha aku diberkati Allah. Operasi itu berjalan dengan lancarnya atas usaha aku itu. Akhirnya aku mendapat keuntungan sebanyak RM80. Aku dibenarkan mengikuti lawatan tersebut.

Kini aku tidak henti-henti mengucapkan syukur kepada Allah dan juga mengucapkan terima kasih kepada ibu.

“Terima kasih ibu.”

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: