Rania budak nakal. Umurnya sembilan tahun, tetapi dia sudah pandai berbohong. Papanya, Pak Mail bekerja di bandar. Mamanya, Mak Yah tidak bekerja.
Suatu hari, Rania menipu. “Mama, kakak telefon suruh mama ambil dia kat sekolah. Semua orang dah balik.”
Mak Yah yang sedang memasak cepat-cepat bersiap. Rania ketawa apabila mama mempercayai kata-katanya. Nenek menggeleng-geleng kepala melihat Rania yang nakal.
Mak Yah menunggu kakak di pintu pagar sekolah selama sejam, tetapi kakak tiada. Tiba-tiba, Mak Yah teringat yang kakak ada kem pengawas selama tiga hari. Rania sudah berbohong!
Rania berlari ke luar rumah dan bermain basikal di sekeliling kampung apabila Mak Yah menegurnya supaya tidak berbohong. Kawan-kawannya sedang bermain di padang. Dia memberhentikan basikal dan mahu bermain sekali.
“Kami tak nak main dengan awak. Awak suka menipu. Kami tak nak kawan dengan awak,” kata mereka lalu tidak mempedulikan Rania.
“Saya pun tak nak kawan dengan awak semua. Saya boleh main seoranglah,” marah Rania.
Keesokkan harinya, Mak Yah menghantar Rania ke sekolah. Cikgu kelas Rania memandang Mak Yah sambil tersenyum.
“Semalam Rania beritahu yang mama dan papanya bergaduh. Katanya sebab mama tak bagi nenek makan,” adu Cikgu Nabila.
Mak Yah terperanjat. Rania tidak sepatutnya menipu begitu. Pak Mail mengamuk apabila mendapat tahu Rania mereka-reka cerita. Rania tidak dibenarkan keluar bermain sebagai denda.
Suatu hari, Pak Mail dan Mak Yah tiada di rumah. Mereka menghantar kakak ke klinik kerana demam panas. Pak Mail meminta Rania menjaga nenek di rumah dan tidak ke mana-mana. Sebaik sahaja melihat Pak Mail pergi, Rania keluar bermain. Tidak lama kemudian, dia pulang semula ke rumah sambil menangis kerana tiada orang nak berkawan dengannya. Tiba di rumah, dia ternampak kelibat dua orang lelaki menceroboh masuk ke dalam rumahnya. Dia terjongket-jongket mendekati pintu rumah dan mengintai mereka. Dia ternampak mereka mengikat tangan dan mulut nenek.
Rania berlari mendapatkan pertolongan penduduk-penduduk kampung. Namun, tiada seorang pun yang mempedulikannya. Malah, menghalaunya pulang. Dia sedih. Dia kembali semula ke rumahnya. Dia ternampak telefon mama di atas meja di dapur. Dia berlari masuk ke dapur melalui pintu belakang.
“Papa! Ada orang masuk rumah kita! Mereka ikat nenek!” beritahu Rania perlahan.
“Papa dah cakap jangan menipu!” Pak Mail berasa geram.
Rania menangis. Tiada siapa pun yang mempercayainya. Dia hanya mampu biarkan barang-barang kemas mama dilarikan. Kerana selalu bercakap bohong, tiada siapa yang mempercayainya walaupun bercakap benar. Dia menyesal dan berjanji tidak akan berbohong lagi.