Engku Muhammad Afiq

Aku Mahu Seoul Mate

Hasil kolaboratif novelis Ain Maisarah dan Rashiela Nurain, terhasillah novel Aku Mahu Seoul Mate yang telah pun berjaya mengambil tempat istimewa dalam hati saya. Sejujurnya, ketika membaca buku ini, saya masih belum terkena wabak Korea yang melanda negara saban hari! Namun begitu, entah mengapalah novel ini juga yang saya capai dahulu dalam banyak-banyak buku yang saya beli ketika PBAKL 2015.

Sudah setahun berlalu tetapi jalan cerita buku ini masih terlekat dalam minda. Paling teringat tentulah saat Shazarina, juga dikenali sebagai Ina, bergemerlapan di bumi Korea, sedangkan Fazura Hazura tenggelam penuh karam laksana Titanic! Siapa sahajalah yang dapat menarik perhatian Kim Jiwon, kalau bukan Ina. Yang menerima pujian mak cik-mak cik peniaga di Pasar Namdaemun pula, pasti sekali Ina. Paling teruja, Ina siap ditawarkan memasuki video muzik kumpulan Korea terbaharu! Semuanya kerana penampilan hijabnya yang kelihatan jauh lebih unik berbanding Fazura yang langsung tidak ubah seperti penduduk tempatan Korea ~ menayang mahkota seorang perempuan dengan bebasnya. Ya, tiada yang istimewa pada Fazura!

Fazura pula memang tidak patut. Tidak habis-habis menyalahkan biskut yang kononnya mengubah takdir hidupnya. Huh, kalau diri sendiri cuai dan tidak bertuah, tidak perlulah salahkan biskut tidak bernyawa pula! Mujur sahajalah Fazura ditimpa malapetaka sepanjang di sana. Bak kata pepatah, siapa makan cili, dialah terasa pedas. Itulah padahnya kerana menipu untuk melayakkan diri ke sana!

Paling buat saya tidak tentu arah seketika, tentulah apabila disebut berkali-kali nama Taylor Swift dalam buku ini! Lagu You Belong With Me menjadi latar belakang saat pertama kali Ina bersua muka dengan Kim Jiwon. 22 pula seakan-akan berkumandang tatkala Kim Jiwon tidak putus-putus tersenyum ke arah Ina. Lagu tema filem The Hunger Games, Safe and Sound pula melatari babak Kim Jiwon bersungguh-sungguh menolong Ina untuk menyelamatkan Fazura. Terkaraoke saya tanpa dijangka apabila bait-bait lirik lagu itu terpapar dalam novel ini!

Sebenarnya, novel ini dilengkapi dengan pakej yang lengkap! Selain dapat berhibur dengan adegan-adegan yang dipersembahkan, dapat dijadikan ala-ala pemandu pelancong kalau hendak ke Korea Selatan! Segala maklumat tentang negara itu diperjelas seperinci mungkin! Jadi, kalau hendak mengembara ke sana suatu hari nanti, pastikan Aku Mahu Seoul Mate terselit dalam bagasi, ya.

Mari menulis reviu buku PTS dan menang duit raya RM 100 dan beratus lagi hadiah untuk dimenangi.

Semua Orang Adalah Pemenang!

Sertai Peraduan Ini

Baca syarat-syarat, cara menyertai & hadiah yang boleh dimenangi

Dapatkan buku-buku PTS, Komik-M, PTS Junior, Tunas Super, Blink Book, Blank Book di kedai-kedai buku berdekatan anda dan tulis reviu sekarang!