Certot

You Never Walk Alone

Hasil nukilan Arissa Homura 2 years agoFiksyen 43

Di sebuah kampung, terdapat seorang kanak-kanak yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah kaki. Kanak-kanak itu diberi nama Nurul Haidatul Bai’yah. Selalunya, kawan-kawan sekolah akan memanggilnya, Haidatul. Dia hidup dalam keluarga yang miskin. Setiap hari, dia akan pergi ke sekolah tanpa bantuan ibu bapanya. Sebaliknya, dia akan ke sekolah dengan menggunakan kerusi roda. Jarak antara rumahnya dengan sekolah lebih kurang 1.4 meter.

Haidatul sering dipandang remeh oleh rakan-rakannya di sekolah kerana sifatnya. Namun begitu, dia tidak pernah endahkan perkara itu. Yang dia tahu, dia mesti belajar bersungguh-sungguh demi membalas jasa kedua orang ibu bapanya. Bagi Haidatul, kecacatan tidak menghalang dirinya untuk belajar.

______________________________________________________________________________

Sewaktu pulang dari sekolah, Haidatul menerima khabar angin daripada rakannya, Nurzarina.

“Atul, saya mahu sampaikan berita yang mengejutkan. Ibu bapa awak meninggal dunia pagi tadi kerana terbunuh dalam satu kemalangan. Harap awak tabah, ya?”

Saat itu, Haidatul tidak mampu berkata apa-apa. Dia berasa dirinya tidak diperlukan lagi. Namun begitu, dia tabah menghadapi dugaan. 

“Aku sudah tidak berguna lagi!” raungnya.

“Haidatul, kami akan sentiasa berada di belakang awak. Awak jangan berputus asa, ya? Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Dan, you never walk alone,” pujuk Cikgu Asnida, guru kelasnya sambil memeluk erat tubuh Haidatul yang sedang menahan sayu.

Haidatul terfikir, jikalau dia berasa diri sendiri tidak berguna, adakah bermaksud dia tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah SWT berikan dan berputus asa dalam meneruskan kehidupan? Dia amat kecewa dengan kata-katanya sebelum ini.

Sejak hari itu, semangat dalam jiwa Haidatul membara. Setiap hari, dia akan mengulang kaji pelajaran tanpa mengingati kisah hidupnya yang sangat malang. Usahanya sentiasa disokong oleh para guru di sekolah. Berkat kegigihannya, dia berjaya mencapai keputusan yang cemerlang di sekolah. Semua guru amat terharu dengannya.

Walaupun dirinya tidak begitu sempurna, namun semangatnya tidak pernah luntur. Jika ibu bapanya masih berada ada, mahu sahaja dia memeluk mereka dengan penuh kasih sayang.

______________________________________________________________________________

Assalamualaikum, ibu dan ayah yang Haidatul rindui dan sayangi.

Nak tahu tak? Haidatul berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan baru-baru ini. Haidatul juga dapat menduduki kelas pertama di sekolah. Kejayaan ini tidak akan Haidatul capai tanpa sokongan daripada guru-guru di sekolah. Mereka tidak putus memberikan sokongan kepada Haidatul. 

Haidatul juga dapat banyak kawan di sekolah. Mereka mengucapkan tahniah kepada Haidatul atas kejayaan ini. Alhamdulillah… Allah masih sayangkan Haidatul. 

Itu sajalah yang Haidatul mahu sampaikan. Haidatul akan sentiasa berdoa agar ibu dan ayah berada di kalangan orang yang beriman.

Haidatul menyiram bunga mawar ke atas kubur kedua ibu bapanya. Dia melawati pusara ibu bapa tersayangnya sambil ditemani oleh Cikgu Asnida. Beliau mengesat air mata yang secara tiba-tiba mengalir di pipinya apabila melihat anak muridnya bercakap sendiri. Dalam fikirannya, mungkin Haidatul terlalu rindu akan kedua ibu bapanya.

Sebelum meninggalkan tapak perkuburan Islam, Haidatul meninggalkan sekuntum bunga ros ke atas pusara ibu bapanya. 

Jika kita berusaha dengan gigih, sudah tentu kita dapat mencapai kejayaan. Kejayaan tidak mengenal seseorang walaupun mereka cacat sekalipun.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: