Certot

You Can Do It, Aina!

Hasil nukilan Ft. nur aina 3 years agoSukan 35

Aku termengah-mengah mengejar pelari yang berada di depanku. Walaupun sekadar latihan, aku mahu mendapat tempat pertama. Aku laju menghayun kakiku agar dapat melajukan kadar kelajuan. Tiba-tiba, kedengaran bunyi wisel yang menandakan pelari tempat pertama sudah pun sampai di pengakhiran litar. Aku mengeluh kecil.

Pelari pertama yang bernama Nuriesya tadi menghampiriku. Aku tersenyum lemah. Rakan baikku, Farihah yang baru menamatkan larian berada di sampingku. 

“Wah, bagusnya awak, Aina! Tidak sempat saya mengejar. Awak terlalu laju!” kata Farihah. Aku tersenyum nipis lalu menggeleng. 

“Tidak sehebat Nuriesya.” Nuriesya yang sedang meneguk air mineral terhenti. Dia mengusap bahuku perlahan. 

“Tidaklah, Aina. Saya lagi tidak sehebat awak. Saya hanya boleh memasuki acara larian sahaja. Tetapi, awak boleh lompat tinggi, lompat jauh dan macam-macam lagi. Saya cemburukan awak, Aina.” Aku tersenyum sekali lagi. Ya, memang diakui aku hebat bermain apa sahaja acara padang. Dari lontar peluru sehinggalah ke acara lompat tinggi. 

Tetapi, hanya acara larian sahaja aku tidak menguasai. Walaupun aku berada di posisi pemain terbaik bagi rumah sukanku, aku tidak pernah mendapat tempat pertama dalam acara larian. Jika aku dalam kumpulan, sudah pasti rumah sukanku mendapat tempat pertama dalam acara larian. Tetapi, jika individu sudah pasti aku mendapat tempat kedua atau ketiga. Lebih malang, mendapat tempat keempat! 

“Ya, betul cakap Nuriesya. Awak beruntung kerana dapat memasuki apa sahaja acara setiap kali sukan tahunan. Bukan macam saya. Hanya satu acara iaitu lontar peluru.” Suara Farihah bertukar nada. 

Aku memeluk bahunya. “Tetapi, awak hebat bermain lontar peluru! Awak memang daebak!” kata-kataku mengundang ketawa kami bertiga. 

“Awak jangan risau, Aina. Saya pasti awak akan mendapat tempat pertama dalam acara larian. You can do it, Aina!” Aku menggenggam tangan rakan-rakanku. Aku nekad. Aku ingin mendapat tempat pertama! 

*****

Hari Sabtu. Menentukan rumah sukan mana yang akan menang. Kini tibalah masanya. Aku memandang ke kiri dan kanan. Kelihatan rakanku, Farihah, Ain-Lin, Fatin, Iwani, dan Nuriesya. Aku berada di litar 200 meter. Aku memberi semangat kepada rakan-rakanku. 

Aku menunggu bunyi wisel. Sebaik sahaja bunyi wisel kedengaran, aku pantas berlari. Aku mendengar sorakan dari rakan-rakan dan penonton. Aku sekali lagi berada di kedudukan kedua. Tetapi kali ini, aku berada sedikit ke belakang dari Nuriesya yang mendahului di tempat pertama. Aku tidak boleh kalah. Dengan semangat yang membara, aku laju berlari meninggalkan Nuriesya. Sekarang, aku mendahului kedudukan acara larian ini. Sedikit lagi dan ya! Aku mendapat tempat pertama! 

Aku memeluk rakan-rakanku. Rakan-rakanku mengucapkan tahniah. Dan pada hari itu, aku mendapat anugerah olahragawati. Aku berasa sangat gembira! Ya, you can do it, Aina! 

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: