Certot

Yahoo! Kasut Sukan Baru

Hasil nukilan Aina Zahira 3 years agoSukan 20

KRING!

Loceng rehat telah berbunyi. Auni dan rakan-rakannya bergegas ke kantin. Auni bawa bersama bekalan nasi lemak yang dimasak oleh emaknya yang disayangi.

Sebelum makan, mereka semua menadah tangan membaca doa makan. “Bismillahhirrahmanirrahim.” Mereka makan dengan sopan.

“Auni, awak nak sertai tak marathon yang akan diadakan di pusat bandar nanti?” tanya Samira.

“Entahlah, saya pun tidak tahu. Saya tidak mempunyai kasut yang sesuai. Kasut sekolah saya pun sudah terkoyak-rabak,” jawab Auni dengan perasaan penuh hampa.

Mereka menyambung kembali makan makanan mereka sehingga habis. Membazir itu amalan syaitan. 

KRING!

Waktu rehat sudah pun tamat. Mereka naik ke atas kelas. Di dalam kelas, fikiran Auni sering terganggu dengan pertanyaan Samira itu tadi. 

‘Aku ni orang susah. Ayah dan emak tak cukup duit untuk beli kasut sukan untuk aku. Macam mana aku nak sertai marathon? Takkan aku nak pakai kasut sekolah aku yang buruk itu. Buat malu saja,’ kata Auni dalam hati.

“Auni, apakah jawapan untuk soalan 4?” tanya Cikgu Farid.

“Auni, saya tanya ni. Auni, Auni,” panggil Cikgu Farid sambil melambai-lambai tangannya di hadapan muka Auni.

Auni tersedar dari lamunannya. “Maaf, cikgu. Suara cikgu tak berapa jelas,” jawab Auni yang tersedar dari lamunan. 

“Apa Auni, kamu tak dengar? Kamu berangan kahwin dengan anak raja ke? Berdiri di atas kerusi sekarang,” kata Cikgu Farid yang marah akan perangai Auni

Semua rakan kelasnya mentertawakannya kecuali Samira. Auni berasa sangat malu.

Auni pulang ke rumah dengan perasaan kecewa. Seperti biasa , Auni akan menolong ibunya memasak makan malam. Sambil mengacau gulai, Auni bertanya kepada emaknya, “Emak , bolehkah mak belikan sepasang kasut sukan kepada Auni? Auni nak sertai marathon.”

“Nak, kita ni orang susah. Ayah kamu tak dapat gaji lagi. Kita pun kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bersyukur apa yang ada,” jawab emaknya.

*****

Pada keesokkan harinya, dia pun datang ke sekolah seperti biasa. Dia meletakkan begnya di atas kerusi. Dia mendapati bahawa ada sebuah kotak di dalam lacinya. Di atas kotak itu terdapat satu kad ucapan. 

“Sanah helwah, Auni. Semoga panjang umur dan murah rezeki. Saya lihat kamu sentiasa murung. Saya harap dengan hadiah ini, kamu akan ceria selalu.” 

Auni membuka kotak itu. Tangisan keriangan menitis membasahi kad ucapan itu. 

“Aku asyik murung saja sehingga lupa hari lahirku. Terima kasih, Samira,” ucap Auni.

*****

Hari yang dinantikan sudah tiba. Auni pergi ke marathon itu dengan memakai kasut barunya. Dia pergi bertemu dengan Samira. Senyuman terpancar di wajah Samira. 

“Akhirnya, kau datang juga,” kata Samira yang gembira.

PRIT!

Tiupan wisel sudah berbunyi. Auni dan Samira berlari sekuat hati. Mereka berlari beriringan. 

Akhirnya, waktu yang dinanti sudah tiba iaitu pengumuman nama pemenang. Tempat pertama telah jatuh kepada Auni manakala Samira mendapat tempat kedua. Auni menerima wang tunai sebanyak RM2,000 dan sebuah trofi. Wang itu digunakan untuk membayar yuran persekolahannya dan selebihnya menjadi wang simpanan Auni.

“Terima kasih, Samira. Tanpa awak, saya tidak akan dapat hadiah ini,” ucap Auni.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: