Certot

Umiku Super Guru

Hasil nukilan Afia 8 months agoSuperhero

‘‘Ya Allah, kakak! Bersepahnya bilik kamu,” marah Puan Asiah pada Maisarah yang sedang menulis di atas katil dengan buku-buku dan kertas-kertas yang berselerak di dalam biliknya.

“Bagaimanalah adik-adik mahu ikut kalau begini perangai kamu,” marah Puan Asiah lagi.

“Umi mahu kamu kemas bilik kamu sekarang!” suruh Puan Asiah dengan nada kesal.

‘‘Okey, umi,” rengus Maisarah sambil bangun untuk mengemas biliknya.

Maisara adalah anak sulung dalam keluarganya. Dia mempunyai lima orang adik. Tiga daripadanya lelaki bernama Zaid, Yasir, dan Abdullah, manakala adik perempuannya bernama Mariam dan Nailah. Ibu Maisarah, Puan Asiah seorang suri rumah dan ayahnya bernama Encik Fatih seorang guru di SK Merong.

Maisarah adalah seorang kakak yang tidak memberi contoh yang baik kepada adik-adiknya. Hobi Maisarah adalah menulis diari di buku kegemarannya setiap hari.

******

Suatu hari Maisarah telah pergi ke rumah sepupunya, Khatijah untuk bermain bersama. Kemudian, dia meluahkan masalahnya kepada sepupunya kerana sering dimarahi oleh ibunya.

‘‘Tijah, saya tidak sukalah jadi anak pertama,” adu Maisarah dengan muka masam.

‘‘Mengapa kamu rasa begitu?” tanya Khatijah dengan muka terkejut.

“Tetapi saya rasa jadi anak pertama lebih seronok sebab boleh suruh adik-adik dan boleh marah-marah lagi,” kata Khatijah sambil membayangkan dia memarahi adiknya.

‘‘Apalah kamu ini, ke situ pula. Mentang mentanglah kamu bukan anak pertama,” balas Maisarah yang tidak merasa kelakar dengan gurauan itu.

‘‘Maaflah Sarah. Saya gurau sahaja,” kata Khatijah sambil tersengih.

‘‘Saya tidak suka jadi anak pertama sebab saya selalu kena marah dengan umi. Baru sahaja tadi saya dimarahi umi,” adu Maisarah lagi.

‘‘Mengapa awak kena marah?” tanya Khatijah lagi.

“Umi saya kata saya tidak beri contoh yang baik kepada adik-adik saya. Mahu beri contoh apa lagi, saya sudah buat semua yang umi saya suruh,” jengkel Maisarah.

“Saya rasa umi saya sudah tidak sayangkan saya lagi atau saya ini bukan darah daging dia,” kata Maisarah seakan-akan ingin menangis.

“Mengapa kamu berfikir begitu? Tidak baik,” balas Khatijah sambil mengelus-ngelus belakang Maisarah.

‘‘Sebab saya selalu kena marahlah, tetapi adik saya tidak pula dimarahi. Saya rasa saya seperti anak angkat sahaja dalam keluarga ini,” tambah Maisarah lagi.

“Sarah, saya rasa umi kamu marah mesti ada sebabnya,” kata Khatijah.

“Tetapi mengapa perlu marah?” Maisarah tetap dengan fikirannya.

‘‘Supaya kamu tahu kamu ada buat silap,” balas Khatijah sambil menasihatkannya.

‘‘Apalah kamu ini, kamu suka kalau saya dimarahi oleh umi saya!”

‘‘Bukan, saya cuma nasihatkan awak,” kata Khatijah dengan lembut.

“Saya tidak akan ke sini lagi dan tidak mahu cakap lagi dengan awak,” berang Maisarah sambil bangkit dan keluar dari bilik Khatijah.

Khatijah hanya menggeleng melihat kelakuan Maisarah itu.

*****

Selepas pulang dari rumah Khatijah.

‘‘Kakak, mengapa bersepah rumah ini? Kakak sudah 12 tahun, takkan mahu disuruh suruh lagi. Kemas rumah cepat!” Marah Uminya yang sedang mendukung Abdullah, adiknya yang kecil.

‘‘Baik, umi’’ Maisarah menurut dengan malas.

Puan Asiah menggeleng dengan sikap anaknya itu.

******

Selepas selesai mengemas rumah Maisarah dipanggil oleh ibunya.

‘‘Kakak, sekarang kakak sudah 12 tahun, tahun depan sudah sekolah menengah. Kalau bukan kamu yang sulung menolong umi pada siapa lagi umi mahu minta tolong. Umi marah kamu kerana umi sayang kan kamu dan supaya kamu sedar kesilapan kamu,” Uminya menasihatkannya sambil menepuk-nepuk bahu anak sulungnya itu.

“Umi sayang semua anak-anak umi, lebih-lebih lagi kamu,” kata Puan Asiah lagi.

Tetapi nasihat Puan Asiah itu bagai air dicurah ke daun keladi. Maisarah tetap merasa uminya tidak menyayanginya. Dia merasa kata-kata uminya itu hanya untuk menyenangkan hatinya sahaja.

*******

Selang beberapa hari, Puan Asiah jatuh sakit dan mendapat demam yang tinggi. Disebabkan demam itu Puan Asiah terpaksa dimasukkan ke hospital. Selama Puan Asiah di hospital, Maisarah terpaksa membersihkan dan mengemas rumah yang seperti kandang haiwan sepahnya.

Maisarah pun sedar yang dia sahaja boleh membantu uminya. Oleh kerana itu, Maisarah telah menjadi kakak yang memberi contoh yang baik kepada adik-adiknya dan dia mula faham nasihat yang diberikan oleh uminya itu.

Seorang ibu memarahi anaknya kerana dia mahu mendidik anaknya supaya sesudah dewasa anaknya akan menjadi orang yang baik, berguna, dan mendengar kata ibu bapa.

Selepas hari di hospital, Puan Asiah dibenarkan pulang. Sejurus tiba di rumah, Maisarah segera meminta maaf kepada uminya dan berjanji akan menjadi anak yang baik.

Maisarah pun menulis di bukunya tentang uminya adalah ibu yang istimewa.  Uminya bukan sahaja melahirkan dan membesarkan, tetapi juga seorang guru kerana uminya yang mendidik Maisarah dan adik-adiknya tentang kehidupan. Uminya mengajarkannya agama dan akademik dalam masa yang sama memasak dan mengurus rumah. Umiku adalah super guru.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: