Certot

U.P.S.R.

Hasil nukilan E_man AliFFa 2 years agoFiksyen 7

UPSR, ujian penilaian yang amat penting untuk menamatkan persekolahan sekolah rendah. Ia juga boleh mengubah hidup serta merta. Ramai pelajar berusaha mendapat keputusan yang baik untuk mencapai impian. Namun begitu, masih ada pelajar yang ambil ringan.

Amelyn atau nama mesranya, Amy. Pelajar perempuan yang ayu pada luaran. Lain benar sifatnya yang dalaman. Dia adalah anak tunggal kesayangan ibu bapanya. Amy memang keras hati. Pelajaran tidak memberi sebarang makna kepadanya. Ibu bapanya kaya-raya, senang sahaja jikalau mahu masuk asrama, kemudian kolej dan selepas itu, melanjutkan pelajaran di oversea. Tetapi pendirian keluarga itu agak tegas, susah benar mahu melepaskan diri dari belenggu syarat yang ditetapkan ibunya, Mrs.Perfect. Amy juga sering ponteng sekolah tanpa pengetahuan keluarganya. Kelicikannya itu setanding si kancil. Ada sahaja rencana ponteng sekolah.

Masuk hari ini, sudah kali ke-7 dia bercuti sekolah. Keluarganya masih belum dapat mengesan tingkah laku anaknya. Nampaknya sekolah masih belum mengambil tindakan. Pelbagai spekulasi wujud, ada yang mengatakan Amy bercuti bersama keluarga dan ada yang kata dia terlibat kemalangan. Oh! Celupar benar mulut pelajar yang menyebarkan andaian itu. Semua itu dusta belaka. Cuti itu memang keinginannya sendiri.

Tok! Tok! Tok!

Kedengaran seseorang mengetuk pintu rumah Amy. Ketika itu, hanya Amy berseorangan di rumah kerana ibu bapanya sibuk bekerja. Dia juga bebas ponteng sekolah kerana ibu bapanya masih belum dapat menghidu perlakuan jahatnya. Amy sengaja menyarung pakaian sekolah pada pagi hari sebelum ibu bapanya ke tempat kerja. Sedangkan dia hanya mengelabui mata ibu bapanya.

“Ya, saya datang! Sabarlah!” jerit Amy. Kasar benar suaranya. Memang boleh mengguris hati. Satu sahaja perkataan yang dikatanya boleh membuat luka yang kritikal pada sesiapa.

Pintu lantas segera dibuka. Kelihatan budak perempuan yang lebih kurang sebaya Amy tersenyum seperti kerang busuk. Ya! Inilah kawan yang dipergunakan Amy. Tetapi pelajar perempuan yang agak clumsy itu masih tidak menyedari apa-apa hingga kini. Lihat sahaja gayanya sudah tahu yang dia ini cemerkap.P elajar perempuan itu dikenali sebagai Durrah, dan nama gelarannya perempuan bermata empat. Gelaran itu diberi sendiri oleh Amy si pemalas. Memang padan kerana Durrah berkaca mata.

“Awak nak apa? Kacau daun betul!” kata Amy dengan nada agak tinggi.

“Saya nak beritahu bahawa esok ada program motivasi untuk pelajar tahun enam. Ini persedian berhadapan dengan UPSR,” terang Durrah. Ayatnya disusun penuh rapi supaya Amy tidak naik amarahnya. Gerun apabila mengingatkan wajah Amy ketika marah.

So?” kata Amy ringkas.

“Semua pelajar tahun enam wajib hadir esok. Awak perlu datang atau saya ambil tindakan!” Nampaknya Durrah mula bertegas.

“Awak siapa mahu ugut saya?” gelak Amy dengan jahat.

“Saya baru dilantik sebagai pengawas. Awak tidak tahu kerana awak sudah lama tidak hadir. Esok awak perlu hadir juga. Hadir!” jerit Durrah kerana hilang sabar. Dia terus berpaling wajah dan bergerak meninggalkan perkarangan rumah Amy.

***

“Ibu dan ayah baru balik? Jemput makan. Amy ada buat nasi goreng setaraf hotel lima bintang!”  terang Amy.

“Sempat pula kamu masak? Bukankah kamu ada kelas tambahan? Kamu mesti baru pulang,” soal ayah Amy.

Tembelang bakal terbongkar! Amy lupa yang hari ini ada kelas tambahan hingga pukul 4.00 dan ayah serta ibunya memang sudah biasa pulang pada waktu itu. Durrah yang datang sebentar tadi juga berpakaian sekolah. Tidak perasan pula.

“Ibu dan ayah mahu jemput kamu pulang, tetapi kamu tidak ada di sekolah. Puas kami tunggu. Disebabkan itulah kami pulang lewat sedikit. Rupa-rupanya kamu sudah tiba di rumah,” kata ibundanya Amy.

“Amy jalan kaki sahaja, jemputlah makan,” pelawa Amy.

“Apa yang kamu belajar di sekolah?” tanya ayah Amy dengan nada yang agak tinggi.

“Erm… Amy lupalah,” Amy sengaja berdolak dalih.

“Lupa atau kamu tidak tahu? Cikgu kamu baru hubungi ibu. Katanya kamu sudah tujuh hari tidak hadir ke sekolah! Bijak benar kamu sembunyikan helah ya! Tiada jejak langsung!” marah ibu Amy.

Rupanya soalan yang ditanya itu hanya satu perangkap khas buat Amy. Alamak! Perang dunia ke-3 bakal terjadi! Soalan bertalu-talu datang hingga telinganya terasa kebas.

“Amy sudah tidak tahan! Ibu dengan ayah kan kaya! Boleh biaya kolej Amy bila-bila masa sahaja. Amy juga boleh bekerja di syarikat ayah. Itu pun kedekut!” jerit Amy tanpa ragu-ragu.

Hati keluarga mana yang tidak sedih apabila anaknya berani melawan begitu sekali.

“Kamu mahu jadi anak derhaka, ya!” jerit ayahnya. Tidak tahan dengan sikap anaknya yang keterlaluan itu.

“Kamu melampau!” kata ibu nya ringkas sambil diikuti tangisan ibu Amy.

Amy berlalu pergi meninggalkan orang tuanya. Dia menghentak pintu bilik sekuat mungkin tanda protes. Hatinya sedih apabila diingatkan kembali kata-kata keluarganya. Benar juga. Dia takut mahu jadi anak derhaka. Dia tidak sanggup menanggung dosa! Amy mengambil kesempatan pada waktu ini untuk meminta maaf. Dia takut dia tidak sempat memohon ampun.

Tempat yang dituju Amy ialah ruang tamu di mana ketika itu ibu bapanya sedang ralit menonton televisyen.

“Ayah, ibu. Amy mahu mohon ampun. Amy mohon maaf! Amy tidak mahu jadi anak derhaka! Maafkan Amy, ibu, ayah!” kata Amy sambil terketar-ketar. Air mata mula bercucuran jatuh.

“Ayah dan ibu sudah lama maafkan Amy, cuma satu je syarat yang akan kami tetapkan,” kata ayah Amy.

“Syarat? Syarat apa?” Amy kebingungan. Persoalan mula muncul memenuhi ruang otak Amy.

“Kamu tidak boleh berbohong, dan tiada lagi istilah ponteng dalam hidup kamu. Esok ibu dan ayah sendiri yang hantar kamu ke sekolah. Kamu tidak dibenarkan berjalan kaki,” terang ibu Amy si Mrs. Perfect.

“Erm… hmm… okey,” jawab Amy yang sedikit ragu-ragu.

Tamat sudah perkelahian mereka. Syukur kerana Amy masih berkesempatan memohon ampun.

*****

Keesokannya di sekolah.

Durrah menggosok matanya sehabis boleh. Dilihatnya wajah itu memang sangat dikenali. Itu ialah Amelyn!

“Amy? Awak hadir ke sekolah? Awak mimpi apa semalam?” tanya Durrah yang kebingungan. Wajahnya sahaja sudah terbit pelbagai soalan.

“Adalah….” Ringkas sahaja jawapan Amy.

Semua pelajar tahun enam perlu berkumpul di dewan sebelum program motivasi bermula. Entah mengapa semua pelajar memandang Amy.

Aneh.

*****

UPSR sudah tamat tigaminggu yang lalu. Sudah separuh bulan. Hari ini, keputusan akan diumumkan. Ibu bapa pelajar dijemput bagi memeriahkan suasana majlis itu. Ibu dan ayah Amy sudah siap sedia mengambil cuti bagi majlis penting ini.

“Sekarang saya akan umumkan pelajar cemerlang 5A. Pelajar dikehendaki naik ke atas pentas diikuti ibu bapanya sekali.” Pengetua sekolah memulakan majlis itu selepas ucapan yang disampaikan sebentar tadi. Sungguh mendebarkan semua pelajar.

“Pelajar cemerlang pertama ialah… Nur Durrah Hana Binti Abdul Ghafar!”

Nama-nama pelajar 5A disebut rapi oleh pengetua sekolah. Namun begitu, nama Amy masih belum diumumkan. Debarannya hanya Tuhan yang tahu. Peluh mula membasahi wajah gebu Amy.

“Dan nama pelajar cemerlang yang terakhir ialah… Nur Amelyn Qhalisya Binti Fazrul Hakimi.”

Syukur! Usaha Amy tidak sia-sia!

“Semua pelajar cemerlang dan ibu bapa. Saya akan adakan fotografi ya. Buat posing lawa-lawa okey,” kata jurugambar yang ditugaskan untuk mengambil foto sepanjang majlis berlangsung.

“Senyum semua!” 

Klik! Klik!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: