Certot

Tulip Untuk Ummi

Hasil nukilan Dina Izzati 3 years agoFiksyen 74

  Waktu persekolahan sudah tamat. Loceng sudah lama berbunyi. Murid-murid SK Kampung Bunga Raya berpusu-pusu keluar dari pagar sekolah. 

Sofea segera menunggang basikalnya yang berwarna biru muda keluar dari pagar sekolah. Dia tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya menuju ke Pekan Semarak yang tidak berapa jauh dari sekolahnya. Pekan Semarak, pekan yang terkenal dengan masakan yang sedap dan persekitarannya yang bersih.

Sofea memberhentikan basikal di hadapan kedai Mewangi Flowers, sebuah kedai bunga yang terdapat di pekan ini.

“Kak Lia, seperti biasa, ya,” ucap Sofea. Kak Lia, penjual bunga kedai tersebut tersenyum lalu pergi mengambil dua kuntum bunga tulip berwarna biru dan putih.

Sofea membayar harga bunga tersebut. Dia memberi salam terlebih dahulu sebelum keluar.

**********

Sofea memegang bunga tulip yang dibelinya dengan erat. Pintu wad bernombor 112 ditolak perlahan-lahan. Sofea memberi salam.

“Waalaikumussalam,” jawab satu susuk tubuh yang sedang terbaring lemah di atas katil. Wayar-wayar berselirat di tangannya. “Sofea bawa bunga tulip lagi?” 

Sofea mengangguk-angguk. Bunga tulip berwarna biru dan putih, warna kegemaran ummi. Bunga itu diletakkan di atas meja.

Sebenarnya, ummi Sofea menghidapi penyakit buah pinggang dan terpaksa dimasukkan ke hospital.

“Sofea, andai kata ummi pergi dahulu, selalulah Sofea sedekahkan Al-Fatihah untuk ummi. Belajarlah rajin-rajin. Hadiahkan kejayaan Sofea, ya. Ingat sayang, ilmu sahaja yang dapat mengubah nasib hidup kita.” Sofea mendengar dengan teliti.

“Ummi sayang Sofea.”

Ummi mengucapkan kalimah syahadah sebelum matanya tertutup. Tangannya yang tadi memegang tangan Sofea mulai longgar.

“Ummi? Dokto! Nurse!” jerit Sofea sekuat hati.

*********

Sofea menutup buku Yassin di tangannya. Matanya memandang sepi kubur arwah ummi.

‘Ummi, Sofea akan hadiahkan 5A untuk Ummi. Sofea akan ingat pesanan ummi. Sofea akan ingat ummi selalu,’ bisik hati kecil Sofea. Dia menyeka air mata. Dia memasang tekad.

“Ummi, damailah ummi di sana.”

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: