Certot

Tuan Azmi Mikael

Hasil nukilan Yaya Madzlan 2 years agoSuperhero 58

             

Nama aku Daiyan Putri. Aku berusia 12 tahun dan merupakan anak tungga .Aku berasal daripada keluarga berada. Akan tetapi, papa dan mama masih belum berpangkat Dato’ dan Datin. Datuk dan nenek ada pula berpangkat Dato’ dan Datin.

Pembantu rumah di rumah aku selalu melarikan diri akibat tidak tahan dengan perangai papa dan mama. Sementara mencari pembantu yang baru, akulah yang kena mengemas rumah. Penatnya!

Papa aku, Azmi Mikael bekerja sebagai seorang usahawan yang berjaya. Produk papa sangat terlaris di pasaran. Terlajak laris!

Papa seorang yang sangat sibuk. Dia kurang mempunyai masa bersama keluarga. Kadangkala sahaja. Walaupun dia berada di rumah, papa tidak membawaku bersiar-siar kerana kepenatan bekerja. Aku berasa sangat sedih dan sunyi.

Akan tetapi, papa seorang yang sangat tegas dan garang. Aku ini tidaklah sepandai mana. Jika markah keputusan peperiksaanku rendah, nahaslah aku kena marah dengan papa.

Mama pula yang bernama Ayuni Maisarah, bekerja sebagai seorang pelakon. Mama memang cantik, langsing, dan berkulit putih. Mama sangat terkenal. Akan tetapi, mama seorang pelakon yang lebih berlakon di negara China. Ia membuatkan mama jarang pulang ke rumah. Aku pun tidak selalu berjumpa dengan mama. Kadangkala sahaja mama berlakon di Malaysia. Mama pandai berbahasa Mandarin. Aku amat kagum dengan mama!

*****

Kring! Kring!

“Ishh… bisingnya!” marah aku lalu mematikan jam loceng. Kemudian, aku mencapai tuala untuk membersihkan diri.

Usai mandi, aku turun ke bawah untuk bersarapan. Aku berasa sangat gembira kerana hari ini mama dan papa kata mereka akan bersarapan bersamaku.

“Mama! Papa!” jeritku sambil berlari ke arah dapur. Aku hairan. Dapur sunyi. Tiada bunyi hirupan kopi papa. Tiada bunyi kamera mama yang obses akan selfie. Tiada sesiapa pun di dapur itu!

Aku mengeluh kecil. Aku cuba menahan air mataku yang mahu keluar. Aku terlihat sehelai nota yang ditampal pada peti sejuk. Aku terus membacanya.

Selamat pagi, Daiyan!

Tiga bulan ini mama perlu pergi ke China semula. Kita jumpa tiga bulan yang seterusnya, ya?Mama sudah pergi ke lapangan terbang. Papa yang hantarkan. Papa kata dia pulang lewat malam hari ini.

Sayang Daiyan,

Mama.

Mataku terbeliak besar.  “Tiga bulan?” jeritku. Aku terus menangis. Nota yang dipegang kuat terus aku koyak.

Aku tidak terasa hendak makan roti sandwich yang sudah disediakan di atas meja. Aku hanya menjeling roti itu lalu berjalan sambil menghentak kaki dengan kuat pergi ke arah pintu utama rumah.

Selepas memakai kasut, aku mencapai beg sekolahku lalu mengunci rumah. Alahai, tak dapatlah aku menaiki kereta untuk ke sekolah!

Jika papa tidak dapat hantarkan, aku perlu menaiki bas sekolah. Aku tak sukalah hendak bergaul dengan orang bertaraf biasa. Hmm… mungkin aku ini terlalu sombong. Tapi, aku tak naklah disebabkan aku menaiki bas, semua pelajar mula bergosip tentang anak orang kaya menaiki bas ke sekolah. Malu!

Pin! Pom!

Lamunanku terhenti sebaik sahaja terdengar bunyi hon bas sekolah yang berwarna jingga itu. Bas itu betul-betul berhenti di hadapan pintu pagar rumahku. Para pelajar yang berada di dalam bas memanjangkan leher melihat kecantikan rumah banglo tiga tingkatku.

Mulut masing-masing terlopong .Hidungku semakin kembang kempis melihat telatah mereka. Bila sudah rasa bangga, aku pun berjalan ke arah bas sekolah dengan gaya ala-ala catwalk untuk menunjukkan sikapku yang seperti anak orang-orang yang berada.

Ketika aku masuk ke dalam perut bas, pelbagai pujian yang aku terima. Betapa seronoknya perasaanku. Rasa seperti hari-hari mahu menaiki bas untuk pergi ke sekolah pula!

*****

Hari ini di sekolah,  aku telah mendapat keputusan untuk percubaan UPSR. Aku hanya mendapat 1B 3C 1D. Aku perlu menyembunyikan kertas peperiksaan itu dengan betul. Aku tidak mahu papa tahu akan hal ini.

Pada malam itu, aku cepat-cepat masuk tidur supaya papa tidak akan bertanya adakah aku sudah mendapat markah kertas ujian.

Tok! Tok!

Jantungku berdegup laju apabila terdengar pintu bilikku diketuk. Aku tahu itu mesti papa. “Daiyan, jangan hendak menipu lagi! Papa tahu kamu masih belum masuk tidur,” kata papa dengan nada yang kuat.

Aku menelan liur yang pahit rasanya. Akan tetapi, aku perlu mengaku kalah. Aku perlahan-lahan berdiri. Perlahan-lahan memandang muka papa.

“Cikgu kamu sudah menelefon papa pagi tadi dan memberitahu tentang markah percubaan UPSR kamu. Kenapa sangat teruk? Macam mana boleh gagal?” soal papa bertalu-talu mengalahkan polis trafik.

Aku tertunduk. Aku tak mampu hendak menjawab soalan. “Papa tanya, jawab!” marah papa.

Aku mendongak. Air mataku sudah mula berlinang.  “Papa! Papa juga salah!” kataku.

“Papa tak pernah ada dengan Daiyan! Papa sibuk dengan kerjaya Papa. Papa tak pernah nak luangkan masa dengan Daiyan! Papa… papa… tak pernah ada masa Daiyan sedang belajar….”

Aku menekup muka menyembunyikan tangisan. Papa pula terdiam.

“Daiyan tak pandai. Ya, Daiyan mengaku Daiyan memang tak pandai! Daiyan perlukan seorang pemimbing untuk mengajar Daiyan di rumah. Daiyan tak boleh,” jelasku panjang lebar. Aku terduduk.

“Daiyan…,” panggil papa lembut lalu mencangkung di hadapanku.

“Daiyan ini anak yang teruk, papa! Kalau papa tak suka ada anak yang macam ini, hantar saja ke rumah kebajikan,”k ataku.

“Daiyan, jangan cakap macam itu! Papa sayang kamu. Tapi Daiyan nak tahu tak? Papa berjaya seorang diri dalam bidang akedemik. Papa anak tunggal. Papa tiada ayah. Papa cuma ada ibu. Papa belajar seorang diri tanpa bantuan sesiapa dan akhirnya, papa berjaya memperoleh keputusan yang paling cemerlang di sekolah,” jelas Papa panjang lebar.

Aku tersedu-sedan lalu berkata, “Papa memang sudah pandai.”

“Daiyan, mana ada orang yang lahir sahaja sudah pandai! Adakah bayi yang baru sahaja lahir sudah pandai membaca? Ada?” tanya papa garang.

Aku menggeleng lemah. “Tahu pun! Semuanya tidak mustahil jika bermula daripada hati. Jika hati Daiyan ikhlas hendak berubah, Insya Allah lancar sahaja Daiyan berubah,” jelas Papa lalu mengusap rambutku.

Aku mencebik .Betul juga kata-kata papa.

“Tapi Daiyan hendak papa ada dengan Daiyan untuk memberikan Daiyan semangat. Ini tidak! Bila dapat keputusan teruk saja, kena marah! Kena marah, marah, marah,” kataku yang masih belum berpuas hati.

Papa mengeluh perlahan melihat kedegilanku. “Papa marah sebab papa ambil berat. Tolonglah faham, Daiyan. Papa ada syarikat yang besar. Mama itu seorang pelakon. Kami memang sibuk,” kata papa sambil mencekak pinggang.

“Tapi berilah Daiyan kasih sayang penuh seorang keluarga. Kawan-kawan Daiyan semuanya ada masa terluang dengan keluarga mereka. Daiyan pula macam tiada keluarga,” kataku perlahan. Sempat juga menjeling ke arah gambar keluargaku yang diletakkan di atas meja.

Papa terlopong. “Daiyan…  papa minta maaf. Papa tak tahu yang papa juga ada silapnya!” kata papa. “Papa berjanji yang papa akan sentiasa bersama keluarga!” bagitahu papa sambil tangannya membuat simbol ikrar.

Aku tersenyum lebar lalu memeluk erat Papa. “Terima kasih, papa! Daiyan juga berjanji akan rajin berusaha selepas ini!” janjiku bersungguh-sungguh.

*****

Hari ini aku ada Peperiksaan Gerak Gempur Ketiga. Aku berasa amat yakin untuk menjawab semua kertas soalan. Tibalah untuk ujian penulisan.

“Tuliskan karangan yang bertajuk ayahku,” kataku perlahan lalu mengukirkan sebuah senyuman.

Usai menulis karangan, aku membaca perlahan semula karangan itu.

“Nama ayahku Azmi Mikael. Ayahku mempunyai sebuah syarikat yang amat besar. Ayahku seorang usahawan yang amat berjaya. Di pejabat,s emua staf memanggil ayahku Tuan Azmi Mikael. Ayahku seorang yang amat tegas dan garang. Beliau amat mementingkan akan pelajaranku. Ayahku mahu aku menjadi seorang insan yang amat berguna dan….” Bacaanku terhenti kerana tiba-tiba sahaja aku menangis. Aku sangat terharu dengan papa yang amat menyayangiku.

*****

Tok! Tok!

“Maafkan saya, Tuan Azmi Mikael. Ada orang hendak berjumpa dengan Tuan,” jelas seorang pekerja sebaik pintu pejabat Papa dibuka.

“Siapa pula hendak berjumpa dengan saya?” tanya Papa kehairanan.

“Saya tak pasti, tuan. Boleh saya benarkan dia masuk?” tanya pekerja itu.Papa mengangguk.

“Kejutan!” jeritku selepas mendapat lampu hijau untuk masuk ke dalam pejabat papa. 

“Eh, Daiyan datang?” tanya papaku seolah-olah terkejut.

“Ya, Daiyan minta pemandu bas sekolah hantarkan Daiyan ke sini,” jelasku sambil tersengih macam kerang terlebih busuk. 

“Ada apa datang ke sini?” tanya papa.

Aku terus duduk di atas kerusi lalu menyatakan hajatku. “Sebenarnya pagi tadi Daiyan sudah mendapat markah keputusan Gerak Gempur dan Daiyan, peroleh 4A 1B!” jeritku keriangan.

Papa terkejut. “Wah, hebatnya prestasi Daiyan! Walaupun tidak dapat 5A, tetapi ini sudah cukup membuatkan papa bangga,” jelas papa lalu memeluk eratku.

Begitulah kisah aku bersama dengan Tuan Azmi Mikael, papa kesayanganku. Terima kasih, papa! Papalah idolaku! Papalah superheroku!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: