Certot

Tok Wan dan Nek Wan

Hasil nukilan Nur Hidayah 3 years agoFiksyen 29

Namaku Nurul Aqilah binti Yusof. Aku tinggal bersama tok wan dan nek wan semenjak aku kecil lagi. Ibu dan ayahku pula tinggal di luar negara kerana urusan kerja. Kadangkala, aku berasa cemburu dengan rakanku kerana ibu dan ayah mereka selalu berada di sisi mereka. Aku pula hanya ada tok wan dan nek wan di sisiku. Aku rindu ibu dan ayahku.

“Aqilah, mari makan,” panggil Nek Wan ku.

Aku segera menurut arahan Nek Wanku. Aku melihat ada makanan kegemaranku, iaitu sayur masak lemak dan ayam masak merah. Aku menikmati masakan nek wan dengan penuh berselera sekali. Masakan nek wan memang tiada tandingan.

*****

Selesai makan, aku ke ruang tamu lalu duduk beralaskan sehelai tikar nipis. Aku melihat telefon bimbitku di atas meja. Tiba-tiba, hatiku tergerak untuk menelefon ibu dan ayahku. Rasa rindu pada mereka tidak dapat aku sembunyikan lagi. Aku segera mencapai telefon bimbitku dan mendail nombor mama.

“Assalamualaikum mama,” ucapku memulakan bual bicara.

“Waalaikumussalam. Kenapa Aqilah telefon mama?” soal Puan Hanis.

“Err… saja nak tanya khabar. Mama apa khabar?” balasku.

“Sihat. Aqilah, mama ada banyak kerjalah. Nanti kita berbual lagi ya,” kata Puan Hanis sebelum memutuskan talian.

Aku mula berasa sedih. Setiap kali aku menelefon mama, pasti tidak sampai lima minit.

“Aqilah telefon siapa?” soal tok wan.

“Telefon mama. Saja tanya khabar,” jawabku.

“Kenapa sekejap sahaja?” soal tok wan lagi.

Kali ini, aku hanya mendiamkan diri sahaja. Aku pasti tok wan tahu jawapannya.

“Aqilah, janganlah bersedih. Nek wan dan tok wan selalu akan berada di sisi kamu sebab kamulah satu-satunya cucu kami,” kata nek wan pula.

Aku terharu mendengar kata-kata nek wan. Lantas aku memeluk nek wan erat-erat. Air mata mula jatuh ke pipiku. Aku bersyukur kepada Yang Esa kerana menganugerahi aku tok wan dan nek wan yang amat menyayangi aku.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: