Certot

TIADA LAGI

Hasil nukilan Ain 2 years agoSuperhero 5

             

Namaku Tengku Raysha Emira binti Tengku Emran. Umurku 16 tahun. Aku ialah seorang anak yatim. Mamaku, Tengku Rossa sudah lama meninggal dunia sejak aku berumur lima tahun lagi. Tetapi, papaku telah berkahwin dengan seorang wanita ketika aku berumur tujuh tahun. Kini wanita tersebut, iaitu Sharifah Nur Zafira telah menjadi ibu tiriku. Dia tidaklah sejahat ibu tiri seperti dalam cerita animasi Cinderella. Malah, dia seorang yang penyayang. Dan, aku memanggilnya mummy. 

Papaku pula seorang ahli perniagaan, selalu ke luar negara. Tetapi, papaku tidak pernah melupakan kami di Kuala Lumpur. Aku mempunyai seorang abang, Tengku Rayyan Emir, dan dua orang adik tiri, Tengku Zafrina Ezlyn dan Tengku Zafran Ezlan. Aku amat menyayangi keluargaku kini dan selama-lamanya.

Selepas sahaja aku dan seluruh ahli keluargaku makan malam, kami pun duduk bersama-sama di ruang tamu sambil menonton televisyen. Ketika papaku membaca surat khabar, aku pun bertanya tentang percutian kami sekeluarga.

“Papa….”

“Ya, Raysha,” kata papaku sambil memandangku.

“Bila kita mahu pergi bercuti?” aku bertanya.

“Oh! Kamu mahu pergi bercuti di mana?” papa melontarkan soalan tersebut kepadaku.

“Saya mahu pergi Seoul, Korea,” jawabku.

“Rayyan?” tanya papa kepada abangku.

“Kalau abang, mesti mahu pergi Madrid,” kataku sebelum abangku, Rayyan menjawab.

“Ya, betul, Raysha!” kata abangku Rayyan. Aku mencebik, kerana abangku suka benar ke Madrid disebabkan dia peminat kepada sukan bola sepak. Padahal, kami sekeluarga pernah ke sana.

“Kembar papa?” tanya papaku pula kepada dua orang adik tiriku yang kembar, iaitu Zafrina dan Zafran.

“Zafrina mahu pergi Paris!” jawab adik perempuanku yang berumur sembilan tahun itu.

“Zafran mahu pergi Brazil!” kata adik bongsuku, Zafran.

Papaku pun berfikir sambil surat khabar berada di pahanya.

Mummy mahu bercuti di mana?” tanyaku kepada ibu tiriku.

“Terpulang pada anak-anak,” katanya dengan lembut.

“Papa pula?” aku bertanya papaku pula.

“Papa mana-mana sahaja. Okeylah, tahun ini kita pergi Seoul, Korea. Percutian akan datang kita ke Paris, Brazil, Madrid, and lain-lain. Okey?”

“Okey!” Jawabku dan dua orang adik kembarku serentak! Kecuali abangku Rayyan, hanya menjawab dengan lemah. Lagipun, kami bertiga memang kpopers! Kami bertiga bersama-sama memeluk papaku dan mengucap terima kasih.

“Rayyan, dua tahun lepaskan kita sudah pergi Madrid. Tahun ini, kita pergi Korea. Cuti sekolah akan datang, kita pergi ke Madrid, ya!” pujuk mummy kepada abangku yang berumur 20 tahun.

“Okey, mummy!” kata abangku dengan nada yang sedikit lemah. Sekurang-kurangnya nada lemahnya yang tadi kedengaran sudah berkurangan.

“Kita pergi Seoul, Korea hari Rabu. Kita berada di sana 10 hari, okey?” kata papaku setelah dua minit berfikir. Aku dan adik-adikku sekali lagi bersorak keriangan.

“Maknanya, ada masa tiga hari lagi! Yeah! Terima kasih. Sayang papa!” Aku segera memeluk papaku dengan gembira. Aku berasa amat tidak sabar untuk menjejaki bumi Korea.

*****

13 hari telah berlalu….

Aku berasa amat gembira sepanjang berada di Korea. Hari ini, aku dan keluargaku akan pulang ke Malaysia kecuali papaku. Ini kerana, papaku ada kerja di New York. Jadi, papaku akan ke New York dari Korea, dan papaku akan berada di New York selama tiga hari. Aku kagum dengan papaku kerana sanggup terus bekerja walaupun baru sahaja habis bercuti. 

Sebelum menaiki kapal terbang, aku sempat menghantar pesanan ringkas. ‘Terima kasih, papa! Raysha sayang papa sangat-sangat!’. 

Dan papaku membalas mesej ringkasku selepas seminit lalu aku menghantarnya. ‘Papa pun sayang Raysha. Jaga diri!’

Tiba sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), kami disambut oleh pemandu papa iaitu Pak Hamid. Selesai mengangkat barang ke dalam kereta, kami pun meneruskan perjalanan pulang ke rumah.

Ketika dalam kereta, aku pun melayari ke dalam laman akaun Facebook. SAku tertarik pada satu tajuk berita iaitu ‘Pesawat Korea ke New York Terhempas’ yang dikongsikan oleh laman akaun Facebook Berita Harian. Aku pun menekan link berita tersebut, lalu segera membacanya dengan teliti. Selesai membacanya, air mataku mengalir laju. 

Abangku yang duduk bersebelahan denganku bertanya, “Raysha? Kenapa menangis ni?”

Mummy yang duduk di kerusi hadapanku segera menoleh dan bertanya, “Raysha, kenapa menangis?” Mummy memandang abangku dan menunggu jawapan, tetapi abangku menggeleng tanda tidak tahu.

Aku yang menangis teresak-esak, memberi telefon pintarku kepada abangku. “Abang baca ini.”

Abangku pun mengambil telefon pintarku dan membaca isi berita yang aku baca tadi. 

“Mummy, kapal terbang Korea ke New York terhempas!” kataku kepada mummy sambil menangis. 

“Apa?” tanya mummy, terkejut. Selesai abangku membaca berita yangku minta dia baca, dia pun turut mengalirkan air mata, lalu segera memberi telefon pintarku kepada mummy untuk mummy membacanya.

“Ya Allah!” ucap mummy selesai membaca berita yang aku dan abang baca tadi.

“Mummy, papa… papa macam mana?” tanyaku kepada mummy, sebaik mengambil telefon pintarku daripadanya.

“Raysha, Rayyan, jangan menangis! Insya Allah papa selamat. Kamu berdoa, ya! Sudah, jangan menangis,” pujuk mummy kepada aku dan abangku. Aku menangis dan terus menangis, sehinggalah aku tertidur di bahu abangku yang tidak tidur sepanjang perjalanan.

*****

Tibanya kami sekeluarga di rumah, aku diangkat oleh abangku ke bilik tidurku. Ketika aku tidur, aku dibuai mimpi indah. Aku termimpikan tentang papaku. Mereka berkata kepadaku, “Raysha,jaga diri ya? Raysha kena kuat! Janji dengan papa, Raysha akan jadi anak yang solehah, kuat, dan selalu menjaga diri. Janji?” 

Aku pun berkata sambil memeluk papaku, “Janji! Raysha janji akan jaga diri, seorang anak yang solehah, dan kuat! Raysha sayang papa.” 

Selepas itu, papaku semakin hilang dan menghilang. Lama-kelamaan papaku hilang, dan aku pun bangun dari tidur. Siapa sangka, yang aku telah tertidur selama satu hari. Aku bangun dari katil dan aku ke bilik mandi untuk mencuci muka.

Selesai mencuci muka, aku pun keluar dari bilik dan memeriksa bilik mummy, abang, dan adik-adikku. Semua bilik yangku periksa, aku dapati kosong. Aku pun turun ke tingkat bawah untuk ke ruang tamu.

Tiba di ruang tamu, aku dapati semua orang berada di situ. Dua orang adik kembarku sedang duduk bersama-sama sambil bermain, manakala mummy dan abangku Rayyan sedang menonton berita di saluran Astro Awani yang bertajuk ‘Pesawat Korea ke New York Terhempas’, iaitu tajuk berita yang sama seperti dengan yang aku baca ketika di dalam kereta tadi.

Aku pun bersuara, “Mummy….”

“Eh, Raysha sudah bangun! Lama juga kamu tidur. Raysha mahu makan?” kata mummy setelah menoleh ke arahku dengan mata yang mempunyai kesan menangis.

“Raysha tidak lapar. Mummy…,” aku berkata sebaik saja duduk di kerusi sofa yang berwarna kelabu.

“Ya?” tanya mummy sebaik aku memanggilnya.

“Papa…. papa macam mana?” Aku bertanyakan soalan tersebut lalu memandang mummy yang tertunduk dengan sehelai tisu di tangannya. Aku tidak mahu tanya mengapa mummy menangis, aku tidak mahu! Nanti, mummy akan menangis dan aku juga turut menangis. Entah mengapa, jika aku melihat salah satu ahli keluargaku menangis kerana benda yang penuh dengan kesedihan, aku akan turut menangis!

“Papa, papa kamu sudah tiada!” kata mummy sambil mengesat air mata yang mengalir deras. Aku terkejut, lalu aku memandang abangku Rayyan dan dia pun mengangguk tanda mengiyakan apa yang mummy cakap adalah benar.

Abangku pun menunjukkan laman web Berita Haria’ dengan tajuk Semua Penumpang Korean Air ke New York Disahkan Terkorban Aku membaca kesemua kandungan berita tersebut sambil mengalirkan air mata yang semakin deras mengalir.

Setelah membaca, aku berdiri untuk menuju ke dapur untuk mencuci mukaku dan berhenti mengalirkan air mata. Aku kena kuat! Ketika menuju ke dapur, aku pengsan.

Abangku Rayyan segera mengangkatku sekali lagi ke bilikku. Mummy pun mengikuti abangku yang menuju ke bilik sambil mengangkatku. Kasihan abangku, dua kali dia terpaksa mengangkatku walaupun menanggung penuh kesedihan.

Tiba di bilikku, abangku membaringkan aku ke atas katilku. Mummy memegang dahiku dan mendapati dahiku panas kerana demam. Mummy meminta pembantu rumah kami, Mak Cik Siti untuk membawa sehelai kain dan sebesen kecil air suam. Lalu, mummy pun merendam dan memerah kain tersebut dan meletakkan di bahuku. Mataku terus terpejam.

Setelah berjam-jam mataku terpejam, akhirnya aku tersedar. Apabila aku melihat tingkap bilikku, aku dapati malam telah menjelma. Aku memegang kain di dahiku sambil berkata, “Terima kasih, mummy.” 

Aku meletakkan kain tersebut di atas meja kecil bersebelahan katilku. Aku bangun, lalu aku pergi ke meja belajarku. Aku segera duduk di kerusi belajarku dan memegang gambar aku dan papaku ketika berada di Pulau Nami, Korea. Aku menatap gambar tersebut dengan begitu lama. Kemudian, air mataku mengalir lagi.Aku pun bermonolog sendiri.

“Papa, dulu Raysha tiada Mama. Hampir dua tahun, Raysha kehausan kasih sayang daripada seorang ibu. Papa cari pengganti, iaitu mummy untuk Abang Rayyan dan Raysha. Tapi, mummy tidak sama dengan arwah Mama. Papa tidak kisah, asalkan Raysha dan Abang Rayyan tidak kehausan kasih sayang daripada seorang ibu. Papa, mummy, Abang Rayyan, Zafrina, Zafran, jadi pelengkap hidup Raysha. Sekarang, tiada lagi jejaka hebat yang bernama Tengku Emran Ibrahim, tiada lagi orang yang akan Raysha gelar ‘papa’,  tiada lagi superhero Raysha. Raysha redha. Papa, pengorbanan papa tidak terkira. Terlalu banyak pengorbanan, jasa yang papa beri. Terima kasih banyak-banyak, papa! Sekarang, papa tidak perlu berkorban apa-apa lagi. Dengan izin Allah, papa tenanglah, rehatlah di sana bersama Mama. Papa, tunggu Raysha di sana, ya.”

Aku mengalirkan air mataku sepuasnya sambil menatap dan memeluk gambar tersebut. 

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: