Certot

Thanks Papa!

Hasil nukilan Yasmin Azzahraa 2 years agoSuperhero 71

“Wah, cuti sekolah dah dekat,” ujarku girang.

Walaupun aku gembira kerana sesi cuti sekolah yang bakal menjelma, tetapi aku tidak pasti jika ayah dapat meluangkan masa bersamaku dan keluarga. Aku faham dengan keadaan ayah yang sentiasa sibuk dengan kerjayanya dalam dan di luar negara. Aku cemburu dengan rakan -rakanku yang dapat meluangkan masa cuti dengan ayah mereka.

Masa persekolahan telah tamat. Ayah mengambilku di hadapan pintu pagar sekolah. Aku takut hendak memberitahu ayah tentang program cuti sekolah bersama keluarga. Aku risau jikalau ayah sibuk dengan kerjanya yang banyak. 

Sibuk berfikir bagaimana mahu memastikan ayah membawa kami bercuti, aku tidak sedar yang kami sudah sampai di rumah. Aku terus masuk ke rumah dan terus menuju ke bilik untuk mandi. Ibu sudah menyiapkan makanan tengah hari di ruang makan.

Kami sekeluarga menikmati nasi dan lauk-pauk yang disediakan oleh ibu. Aku masih menanti untuk memberitahu ayah tentang rancangan percutian. Ibu pula sudah tahu yang aku mahukan percutian bersama keluarga pada cuti sekolah, tetapi ibu mendiamkan diri sahaja.

“Ayah agak sibuk pada bulan ni dengan hal kerja,” kata ayah.

Aku berasa sedih kerana aku tidak dapat bercuti kemana-mana pada bulan ini. Aku menikmati makanan dengan perasaan suram. Kari yang pedas terasa tawar dan air yang manis terasa pahit. Begitulah perasaan aku. 

*****

Pada waktu malam, aku menonton televisyen bersama ayahku. Aku memberanikan diri untuk memberitahu ayah tentang percutian nanti. 

“Ayah, boleh tak kita bercuti pada cuti sekolah ini?” tanya aku.

“Kan ayah kata ayah sibuk bulan ni,”  jawab ayah.

Aku sangat sedih lalu aku terus masuk ke dalam bilik kerana dimarahi oleh ayah. Harapan aku untuk bercuti telah musnah disebabkan ayah terlalu sibuk. Aku menangis sehingga tertidur di atas katilku yang empuk. Ayahku tersentuh dengan tindakan aku. 

‘Aku mungkin tersangat sibuk dengan kerjaku hingga lupakan keluarga,’ kata hati ayah.

*****

Jam loceng mula berbunyi dan aku terbangun daripada tidurku yang nyenyak. Aku pergi ke meja solek untuk melihat cermin. Tiba-tiba aku terlihat sekeping tiket ke Jepun. Aku berlari dan terus memeluk ayahku yang sedang sarapan di ruang makan. 

“Terima kasih, ayah,” ucapku.

Ayahku tersenyum bangga. Aku berasa gembira kerana ayahku mahu bercuti bersama kami sekeluarga. Ayah sanggup mengorbankan kerjayanya untuk keluarga tercinta. Terima kasih, ayah. Saya sayang ayah!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: