Certot

Thank You Papa!

Hasil nukilan Amira 2 years ago 7

Nama aku Melina. Umur aku 12 tahun. Aku menetap di Bangsar, Kuala Lumpur. Aku bersekolah di SK Bangsar. Aku mempunyai lima orang adik beradik. Aku adalah anak yang kelima, anak bongsu, dan anak yang paling manja sekali. Aku mempunyai kedua ibu bapa yang sangat baik orangnya. Sesibuk mana pun mereka, mereka tetap mengambil berat fasal kami.

Ayahku bekerja sebagai CEO di sebuah syarikat yang agak terkenal di seluruh negara. Ibuku pula adalah pensyarah di sebuah universiti yang berada di sekitar Kuala Lumpur. Mereka adalah orang yang amat disegani oleh masyarakat.

Pada hujung minggu yang lalu, kami bercuti di kampung. Seronok! Banyak pengalaman yang aku peroleh di sana. Antaranya ialah membuat ketupat, memasak, dan juga satu pengalaman yang amat pahit. Masih segar di ingatanku. Insiden yang amat mengerikan. 

Pada waktu itu, aku menemani ayahku ke rumah rakannya sewaktu kecil dahulu. Aku yang bosan di dalam rumah meminta izin bapaku untuk keluar mengambil angin seketika. Aku bermain seorang diri ataupun lebih dikenali sebagai ‘syok sendiri’. Aku menyanyi lagi Dato’ Siti Nurhaliza, dan juga penyanyi cilik baharu yang dikenali dengan nama Fikry. Beberapa motor yang lalu dikawasan aku bermain menjerit sesuatu namun aku buat tidak endah sahaja.

Bunyi salakan anjing kedengaran seperti binatang itu hanya disebelah aku. Aku memandang kaki kiriku kerana aku berasa ada sesuatu benda yang tajam mencengkamku. Hampir gugur jantungku apabila mendapati anjing liar sedang menggigit kakiku. Aku meraung dan menangis dengan kuat sekali. Darah mula terpancut dek kerana gigitan anjing liar itu. Ramai orang melihat kejadian itu namun mereka tidak dapat membantu diriku yang lemah ini. Mereka hanya dapat melihat aku kerana ada empat ekor anjing liar di situ. 

Aku menjerit dengan sepenuh tenaga yang aku ada untuk meminta tolong. Alhamdulillah, ada juga seorang insan yang menghalau anjing anjing itu daripada terus menggigit kakiku. Syukur anjing itu lari. Lebih terharu apabila insan itu adalah bapaku sendiri. Belum sempat aku mendapatkan bapaku, pandangan mataku kabur, dan aku terus rebah tanpa berkata apa-apa.

Bapaku terus membawa aku ke hospital bagi mendapatkan rawatan lebih lanjut. Aku dimasukkan ke dalam wad kecemasan dan akhirnya aku tersedar sewaktu kesemua ahli keluargaku menemaniku di hospital. Aku memandang bapaku yang sedang tersenyum manis memandang ke arahku.

“Thank you, papa.” Itulah kata-kataku yang aku berikan kepada insan yang berhati mulia itu. Ya, dialah bapaku! Superheroku dunia dan akhirat!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: