Certot

Teruskan Usaha!

Hasil nukilan Widad Shahrir 3 years agoSukan 149

Zahra, seorang gadis yang bernasib malang. Kehilangan kedua-dua ibu bapanya memang sukar untuk dilupakan. Hidupnya serta-merta berubah setelah bergelar yatim piatu. Tiada tempat untuk dia berkasih sayang melainkan adik lelaki yang masih mentah.

Rumah kayu usang yang berada di hujung kampung merupakan aset yang paling berharga bagi Zahra. Di situlah tempat dia membesar selama ini. Namun, rumah itu telah pun diambil semula oleh pemilik tanah tersebut.

Kini, dia terpaksa berpisah dengan adiknya, Zul setelah Zahra mendapat tawaran untuk tinggal di asrama atas bantuan kerajaan. Adiknya yang tersayang pula memulakan hidup baru tanpa kakak di rumah anak yatim.

“Zahra, mari main di padang.” Fatimah, sahabat kepada Zahra, yang berdiri di pintu menuju ke arah Zahra lalu menarik tangannya.

“Ya, Sebentar.” Kasut Nike hadiah daripada rakannya dicapai dan disarungkan pada kaki. Perlahan-lahan Zahra mengatur langkah keluar dari biliknya yang terletak di tingkat tiga.

“Minggu hadapan sekolah kita akan adakan Hari Sukan Tahunan, bukan? Tidak silap saya, semua pelajar wajib masuk sekurang-kurangnya satu acara.” Fatimah memulakan sesi perbualan sambil mengunyah gula-gula getah.

“Ya,” Zahra menjawab ringkas. Anak matanya memandang padang sekolah yang hijau, tetapi fikirannya entah ke mana melayang.

“Jadi, awak mahu masuk acara apa?” Tanya Fatimah lagi.

“Mungkin acara larian.” Kali ini fokusnya tertarik kepada gadis yang berpakaian sukan yang sedang berlari di padang.

“Kenapa awak tidak beritahu saya yang mereka juga turut serta?” Belum sempat Fatimah menjawab pertanyaan Zahra, Zahra terus menghilang dari pandangan. 

Fatimah hanya menggeleng melihat gelagat rakannya yang kelam-kabut berlari ke arah seniornya, Kak Nurin yang sedang berlari di padang. Melihat Zahra yang sudah mula berlumba dengan Kak Nurin, cepat-cepat dia turun padang.

“Yeay! Alhamdulillah, saya dapat kalahkan Kak Nurin lagi!” Zahra menjelir lidah kepada Kak Nurin yang memang akrab dengannya. Tanpa dia sedari ada sepasang mata yang memerhatikannya di bangunan tingkat satu, berhampiran dengan bilik guru sambil tersenyum.

*****

“Awak pasti boleh, Zahra! Teruskan usaha!” Sokong Fatimah kepada Zahra di tepi trek larian. 

Zahra sekarang berada di garisan trek permulaan. Bila-bila masa sahaja wisel akan dibunyikan. Dia menggenggam tangannya sambil ibu jarinya ditegakkan tanda thumbs up ke arah Fatimah.

“Ke garisan, sedia, mula!” Wisel dibunyikan dengan kuat tanda perlumbaan larian bermula. 

Jeritan sokongan di sekitar padang kedengaran setelah melihat peserta larian mula memecut. Zahra terlebih dahulu meninggalkan rakan-rakannya di belakang. Dia menambahkan lagi kelajuan dirinya untuk sampai ke garisan penamat.

Hampir sahaja sampai di garisan penamat, tiba-tiba Zahra tersungkur di atas trek larian. Mungkin kepenatan? Perlahan-lahan dia cuba bangun. Namun, kakinya sakit untuk melangkah. Baru sahaja dia mahu berputus asa, beberapa peserta telah pun di hadapan Zahra.

‘Awak pasti boleh, Zahra! Teruskan usaha!’

‘Zahra, ibu mahu pesan. Jangan letakkan perkataan gagal dalam diri kamu. Kalau kamu awal-awal lagi berputus asa, kamu sudah sia-siakan peluang sejak awal lagi. Siapa yang berusaha, maka dia akan berjaya.’

‘Kakak, kejayaan seseorang itu terletak kepada usahanya. Kalau mahu berjaya seperti orang lain, jangan mengalah.’

‘Kak Zahra jangan risau akan Zul. Yang penting, kakak berjaya setelah berusaha! Cikgu kata, usaha tangga kejayaan!’

Kata-kata sahabat, arwah ibu, ayah, dan adiknya terngiang-ngiang di telinga. Benar! Jangan berputus asa!

“Aku okey! Aku takkan menyerah kalah!” Semangatnya kini berkobar-kobar lain daripada yang lain. Akhirnya dia dapat melepasi garisan penamat walaupun berlari dengan langkah kecil. Tetapi, sampai sahaja di garisan penamat, pandangannya mula kabur dan Zahra rebah.

*****

“Kakak….” Zul memeluk tubuh kakaknya yang terlantar di atas katil. Perlahan-lahan mata Zahra dibuka.

“Kakak! Ibu kan sudah pesan, jangan stres. Banyakkan berehat. Kalau kakak sakit macam mana? Nanti Zul yang susah.” Tangisan kanak-kanak itu makin kuat. Sayangnya dia kepada kakaknya.

“Kakak okey, Zul. Jangan risau.” Sedaya upaya dia cuba menahan sebak dalam hatinya.

“Zul sayang kakak. Zul tak mahu perkara yang terjadi pada ibu dan ayah menimpa kakak pula. Kakak tak tinggalkan Zul, kan?” Pelukannya semakin erat. Air mata Zahra laju membasahi pipi. Sungguh sebak perasaannya mendengar luahan adiknya.

“Nah. Hadiah untuk kakak.” Zul memberi sebuah piala beserta pingat emas kepada kakaknya.

“Apa ini? Untuk kakak?” Zahra hairan melihat piala dan pingat emas itu berada di tangannya. Bukankah dia lambat sedikit untuk sampai ke garisan penamat?

“Pada asalnya, memang awak lambat sedikit. Sepatutnya, awak mendapat pingat perak sahaja. Cuma ada penipuan dalam pertandingan ini yang dilakukan oleh peserta. Jadi, awak telah dinobatkan sebagai juara acara larian 200M dan piala itu, Olahragawati Terbaik!” terang Fatimah yang berdiri di sebelah katil.

“Alhamdulillah. Syukur!” 

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: