Certot

Terima Kasih Terakhirku

Hasil nukilan Farra Dieba about 2 years agoSuperhero

             

“Sadaqallahulazim.”

Isma menutup perlahan Yasin yang baru habis dibaca lalu diletakkan ke tepi. Air bunga di dalam jug dituang ke atas pusara di hadapannya. Begitu sayu sekali terasa tatkala menyirami pusara milik orang kesayangannya, iaitu pusara ibunya. Batu nisan diusap lembut, umpama mengusap kulit ibunya. Kenangan demi kenangan bersama ibunya kembali menjengah fikiran.

“Maafkan Isma, emak. Isma yang bersalah. Kalau bukan sebab Isma, emak pasti hidup lagi, bernafas, dan terus berdiri di sisi Isma.” Beberapa titisan air mata sudah jatuh menitik di pipi Isma. Kalau boleh diputarkan masa, mahu sahaja Isma merubah sikapnya dahulu. Sikap yang membuatkan nyawa ibunya tergadai. Peristiwa minggu lepas merambat segenap pemikiran.

                                                                                                    ***

“Emak, mahu duit,” pinta Isma sebaik melangkah ke dapur. Ibunya, Mak cik Mon yang sedang membuat kuih terkejut kecil dengan sergahan Isma.

“Mahu duit buat apa? Emak tiada duitlah,” kata Mak cik Mon lembut. Kepala digeleng beberapa kali melihat anaknya itu. Sikap kurang ajar disertai pakaian yang tidak menutup aurat. Sedih Mak cik Mon melihat akan anaknya yang makin hari makin teruk itu. Bukan tidak pernah ditegur. Tetapi, sekali ditegur, pasti akan melentinglah mulut anaknya itu.

“Tipulah! Emak jual kuih hari-hari, mustahil tidak ada duit!” Isma seakan tidak berpuas hati dengan jawapan ibunya. Tangan mula mengibas rambut yang sengaja dilepaskan. Hendak mengikuti peredaran fesyen katanya.

“Betul, emak memang tiada duit. Duit yang dapat tadi pun cukup-cukup untuk beli bahan masak.” Mak cik Mon mengeluh sambil kening berkerut seribu. Ekonomi gawat yang melanda Malaysia menyebabkan keluarga daif seperti Mak cik Mon bertambah melarat.

“Tipulah!” Isma terus merentap beg tangan ibunya yang berada berdekatan. Zip dibuka selamba lalu beberapa not wang diambil sesuka hati.

“Janganlah, nak. Emak mahu beli sayur guna duit mana?” Permintaan Mak cik Mon tidak berguna apabila yang dipulangkan hanyalah beg tangan kosong tidak berduit.

“Pandai-pandailah. Okey, Isma mahu keluar dengan teman lelaki Isma. Oh, satu perkara lagi. Jangan berani-berani hendak jemput Isma besok, ya? Isma malulah kalau kawan-kawan tahu Isma ada emak sebegini,” kata Isma lalu laju meninggalkan ibunya yang terguris sanubari.

Mak cik Mon hanya mampu mengeluh berat mengenangkan nasibnya. Baginya, kematian suami setahun yang lepas sudah cukup membebankan buat dirinya. Namun, tidak disangka pula datang ujian yang begitu berat buat dirinya.

Anaknya yang dahulu baik dan solehah kini mula berubah. Tiada lagi tudung menutup kepala. Tiada lagi ibadah dalam aktiviti seharian. Semuanya disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya yang hebat mengubah gaya hidup Isma. Pergaulan bebas mula menjadi rutin sehariannya. Sudah berbuih mulut Mak cik Mon menasihatkannya. Namun, setiap nasihat pasti diendahkan. Lebih teruk, Mak cik Mon pula yang dimarahi kembali.

*****

Keesokkan harinya, Isma bangun awal seperti biasa untuk ke sekolah. Dia perlu hadir ke sekolah lebih awal daripada rakannya supaya mereka tidak tahu di mana rumahnya. Begitulah Isma, sanggup membohongi rakannya bahawa dia merupakan anak orang kaya supaya status hidupnya yang miskin tidak diketahui.

“Isma, berhati-hati jalan. Belajar elok-elok, ya?” pesan Mak cik Mon di hadapan pintu tatkala Isma memakai kasut.

“Tahulah! Ingat Isma ini bukan budak kecik mahu dipesan-pesan bagai,” kata Isma sebelum terus laju melangkah meninggalkan rumah. Ibunya yang menghulur tangan untuk bersalam tidak diendahkan.

Sebaik sampai di perkarangan sekolah, Isma lega kerana tidak ramai pelajar yang sudah datang. Langkah terus dibawa menuju ke kelas. Kelas 5 Enga, kelas terakhir darjah lima masih kosong kecuali Isma. Isma seperti biasa, menunggu rakan-rakannya untuk bergosip dan berseronok. Belajar tidak pernah wujud dalam kamus hidup Isma. Sebenarnya, hanya Isma dan segelintir pelajar sahaja yang kurang gemar belajar. Pelajar lain tetap menumpukan perhatian pada pelajaran walaupun mereka kelas terakhir. Namun, entah mengapa, sikap mahmudah rakannya itu langsung tidak mempengaruhi Isma.

Kring! Bunyi loceng, bunyi yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh setiap pelajar sekolah. Bunyi yang menandakan sesi persekolahan sudah tamat. Bunyi loceng itu telah mengejutkan Isma dan rakan-rakanya yang telah terlelap sewaktu sesi pembelajaran sebentar tadi. Maklumlah, waktu Sejarah. Penerangan cikgu Khairi tentang fakta-fakta penjajahan dan campur tangan British yang sukar difahami sentiasa kedengaran seakan mendodoi para pelajar untuk tidur.

Isma segera mengemas beg dan berjalan menuju ke luar sekolah. Sambil berjalan, gossip hiburan menjadi rencah perbualannya bersama rakan-rakan sekelas. Langkah kaki digerakkan perlahan bagi membenarkan para pelajar yang bersesak-sesak untuk berlalu dahulu. Tidak sanggup rasanya hendak berhimpit dengan pelajar lain yang dirasa jijik dan tidak setaraf.

Sebaik mendekati kawasan pagar sekolah, satu susuk tubuh yang seakan dikenali menghiasi pemandangan. Susuk tubuh itu melambai-lambai kepada Isma sambil tersenyum. Isma segera berlari ke arahnya.

“Emak! Emak buat apa di sini? Bukankah Isma sudah pesan jangan jemput Isma! Malulah!” luahan kata Isma berbunyi seakan berbisik supaya tiada siapa tahu status dirinya dengan perempuan tua di hadapannya itu.

“Begini, tadi emak ke pasar. Alang-alang lalu jalan ini, baik emak jemput kamu terus. Mari cepat naik basikal ini.” Basikal tua di sebelah dipegang kemas Mak cik Mon.

“Malulah! Emak baliklah cepat, Isma tahulah balik sendiri nanti!” kata-kata Isma lebih ke arah menghalau. Secara tiba-tiba, rakan sekelas Isma datang kepada mereka.

“Isma, ini ibu kau?” tanya rakannya sambil memandang Mak cik Mon atas bawah. Hendak tergelak rasanya melihatkan pakaian baju kurung, kain batik, dan tudung bawal yang selekeh dipakai Mak cik Mon.

“Siapa? Mak cik ini? Entah, aku tidak kenal. Pengemis rasanya.” Isma berlakon di hadapan rakan-rakannya demi menyembunyikan identiti. Sikap Isma itu menggores hati tua Mak cik Mon.

“Isma, sampai hati kamu buat emak begini. Emak besarkan kamu penat-penat bukan supaya kamu berperangai sebegini,” Mak cik Mon berkata sambil memegang bahu Isma. Namun, Isma terus sahaja menepis tangan ibu kandungnya sendiri itu.

“Tolonglah! Saya tiada ibu seperti kamu. Sudahlah, saya mahu balik. Bye, guys!” Isma pantas melangkah meninggalkan tempat kejadian. Takut rahsianya yang disimpan bertahun-tahun akhirnya terburai di hadapan rakannya. Jalan tar dilintas selamba bagi menuju ke seberang jalan.

Pon!

Malang tidak berbau, sebuah lori yang sedang laju bergerak kini begitu pantas bergerak menuju ke Isma. Isma yang mengalami kejutan seakan terpaku dan terdiam. Otot kaki terasa begitu lemah dan pasif hendak bergerak menyelamatkan diri. Akhirnya, Isma redha sahaja dirinya dilanggar lori.

Namun, sebelum sempat tubuhnya dilanggar, terasa seperti sesuatu benda telah menarik dirinya keluar. Pemandu lori itu terus memberhentikan lorinya terus berhenti setelah insiden pelanggaran melibatkan dirinya itu berlaku.

Alangkah terkejutnya Isma apabila melihatkan sekujur tubuh yang berada di atas jalan tar itu. Segera Isma berlari bagi mendapat tubuh berdarah itu.

“Emak!” Isma menjerit mendapatkan ibunya. Pangkuan kepala ibunya yang berdarah teruk diletakkan di atas peha. Air mata merembes laju tanda menyesali perbuatannya sebentar tadi.

“Emak! Bangunlah, emak! Isma minta maaf! Isma minta ampun!” Tubuh ibunya digoncang kuat bagi menyedarkan ibunya.

“Isma,” Mak cik Mon berkata perlahan. Matanya juga sudah kuyu, hanya terbuka sedikit. Nafasnya berat diiringi aliran darah di seluruh badan tanpa henti. Isma yang mendengar terus mendekatkan kepala kepada mulut ibunya.

“Emak… sudah lama memaafkan kamu. Sejak kamu lahir lagi, kamu tidak pernah melakukan dosa terhadap emak. Emak yang sepatutnya minta maaf kerana melahirkan kamu dalam keadaan daif. Emak bersyukur sangat melahirkan kamu ke dunia ini. Kamulah penyeri hidup emak. Kamulah peneman sejati emak. Terima kasih, Isma. Ter… terima kasih.” Mata Mak cik Mon perlahan-lahan tertutup. Nafas terakhirnya juga dapat dirasai Isma. Maka, semakin kuatlah raungan Isma. Dia berasa sangat berdosa dan bersalah terhadapa ibunya. Namun apakan daya, nasi sudah menjadi bubur. Ibunya telah kembali ke rahmatullah, tidak akan kembali lagi ke sisinya.

                                                                                                    ***

Isma mengelap air mata yang mengalir dengan hujung tudungnya. Semenjak kehilangan ibunya, Isma kembali ke jalan yang diredhai Allah. Tudung kembali tersarung dan akhlak muslimah kembali di diri. Pusara ibunya diusap buat kali terakhir.

“Terima kasih kerana selamatkan Isma, emak. Emaklah… superhero sejati buat Isma!”

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: