Certot

Terima Kasih Ayah Atas Segalanya…

Hasil nukilan Iesya 2 years agoSuperhero 9

Kuk! Kuk! Kuk! Kuk!

Tiba-tiba kokokan si Jalak kedengaran kuat di belakang rumah ayah. Matahari mula menyinsing di ufuk timur. Subuh-subuh lagi ayah dan Isya bangun untuk menunaikan perintah Tuhan dan berjemaah bersama-sama dengan Iman. Sesuatu yang afdal yang mesti dilakukan. Di sebuah rumah yang usang terletak dalam sebuah perkampungan kecil di Hulu Langat, Selangor.

Di hujung kampung inilah ayahku bernama Iskandar dan keluarga menetap dengan serba kedaifan. Nasib baiklah ada rumah peninggalan kepunyaan arwah ibu, Rogayah. Akan tetapi, malang sungguh rumah ini masih bergelap-gelita tiada bekalan elektrik, tiada bekalan air di mana masih menggunakan perigi lama yang terletak di belakang rumah. Apa sahaja yang dilakukan di waktu malam pasti bertemankan lampu minyak tanah. Bayangkan betapa susahnya hidup itu.

Seumpama samudera, ayahlah yang sebenarnya yang menampung keluh kesah segala muara.  Itulah arca kehidupan ayah sekeluarga sebenarnya. Tetapi ayah redha dengan nasib yang menimpa. Di samping bersyukur dengan apa yang ada. Keluarga ini tetap harmoni walaupun mereka sedar hidup tidak selalunya indah.

Sejurus itu, Isya tidak berlengah lagi menyediakan sarapan untuk sekeluarga. Itulah rutin hariannya di waktu pagi. Apa sahaja yang ada di dapur itulah yang disediakan dengan serba ringkas. Asal dapat menampal perut keluarga cukuplah baginya. Nak diharapkan ibu sudah lama pergi menemui Ilahi akibat kemalangan jalan raya. Sekitar tahun 1990 detik tragik itu berlaku. Tragedi ngeri menimpa ibu ketika berniaga bersama-sama ayah di pasar malam. Ibu dilanggar oleh sebuah kereta yang tidak dikenali dan terus lari begitu sahaja. Keadaan ibu teruk dan kelihatan begitu terseksa ketika itu. Darah berlinangan di atas jalan raya. Ibu hampir separuh sedar, lalu ibu terus dikejarkan ke hospital berdekatan dengan keadaan yang begitu cemas sekali.

Tinggallah anak-anak ayah yang terlalu kecil ketika masih dahagakan kasih seorang yang bernama ibu, yang masih tidak lagi mengenal erti derita dan nestapa. Terutama si bongsu Irin saban hari menangis memanggil ibu. Kekadang dia demam, kekadang dia rebah kerinduan kepada ibu yang teramat sangat. Ayahlah yang bersengkang mata menjaga siang dan malam. Melayan segala perasaannya. Sehingga kini perasaan itu masih menebal dan sering bermain-main di kelopak matanya terbayangkan seri wajah ibu yang tercinta. Ibu dan ayah adalah aset yang tidak ternilai harganya. Apabila mereka kembali ke alam barzakh bagai tertutup segala alam maya. Barulah terasa langit itu tinggi rendahnya.

Tatkala itu Isya baru sahaja menjangkau usia 14 tahun, Iman 10 tahun, Izam 8 tahun, Ika 6 tahun, dan si bongsu Irin berusia dua tahun. Masih belum akil balikhg lagi.

“Sabarlah ayah. Tuhan lebih sayangkan ibu. Kita sama-sama berdoa agar ibu ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman dan mudah-mudahan kita dapat berjumpa dengannya di sana nanti.” Dengan nada yang sayu Isya cuba menenangkan hati si ayah yang gulana. Isya sahajalah yang memahami perasaan ayah ketika itu.

Setelah kejadian itu, hampir setahun ayah menjaga ibu yang terlantar di atas katil. Kedua-dua belah kaki ibu semakin mengecil. Mengikut kata doktor ibu mengalami kekejangan saraf tunjang. Ya Tuhan! Betapa teruknya kesakitan itu dan betapa besarnya ujian ini. Segala kekotoran pada badan ibu harus selalu dibersihkan umpama menjaga bayi yang masih tidak mengerti.

Saban hari ayah terpaksa mencuci najis yang selalu terlekat di pakaian ibu, terpaksa mengangkat dan memapah ibu untuk dimandikan, terpaksa juga mengangkat air baldi demi baldi untuk disimpan di dalam rumah untuk keperluan memasak, memandikan ibu dan sebagainya. Ayah menanggung bebanan itu keseorangan, mana lagi hendak mencari nafkah, mana lagi hendak menjaga isterinya, mana lagi hendak membeli ubat-ubatan, mana lagi hendak menjaga persekolahan anak-anaknya. Namun begitu ayah tidak sekali-kali pernah marah, merungut apatalah lagi mengeluarkan bahasa-bahasa kesat.

Ayah tidak pernah menurunkan tangan kepada anak-anaknya. Ayah juga selalu berbaik-sangka terhadap orang-orang di sekelilingnya. Walau sesibuk manapun ayah tetap meluangkan sedikit masa untuk bermasyarakat dan mengeratkan silaturahim antara jiran. Mencurahkan tenaga apabila diperlukan dengan jujur dan ikhlas. Ayah memang berfikiran rasional dan prihatin terhadap jiran tetangga. Ayah tidak pernah menutup identitinya yang sebenar terhadap orang lain. Cukup ayah menjadi contoh terhadap anak-anaknya menunjukkan tatasusila terpuji.

Pernah kata ayah walau sesusah mana pun pelajaran harus diutamakan. Jangan sesekali diabaikan. Walaupun miskin harta, miskin rupa tetapi mesti kaya ilmu. Jangan suka menunjukkan sikap negatif. Sebab itulah ayah mahu anak-anaknya fokus kepada pelajaran. Bait-bait perkataan inilah yang selalu diingati oleh Isya dan adik-adiknya untuk menjadi seorang cendekiawan suatu hari nanti.

Ketika ayah berada di rumah ayah tidak pernah mengharapkan keringat anak-anak untuk membantunya. Ayah sedar anak-anaknya masih terlalu kecil lagi untuk berkongsi kesengsaraan dan masih tidak memahami erti kepayahan. Tulang empat keratnya itulah yang digagahkannya. Ayah bagaikan patah kandar tiada tempat untuk mengadu nasib, tiada tempat untuk berbicara, tiada orang untuk diharapkan sebagai peranan seorang isteri. Sudahlah miskin ditambah lagi dengan takdir yang tidak diduga. Bermula dari peristiwa itu semakin terungkailah babak kesengsaraan ayah sekeluarga.

Setelah pemergian ibu, serasa kehidupan keluarga terumbang-ambing umpama nakhoda tanpa layarnya. Hidup terlalu sunyi tanpa ibu di sisi. Air mata ayah selalu mengalir membanjiri wajah tuanya. Hari demi hari, tahun demi tahun ayah bertungkus-lumus mencari rezeki sesuap nasi untuk membesarkan anak-anaknya dan terus bangkit dengan meniup semangat kental dan anak-anak itulah yang menjadi pemangkin bagi dirinya. Semangat itu pasti kerana ayahlah ibu dan ayahlah segala-galanya dalam hidup anak-anaknya kini.

Hendak dikirakan ayah sebenarnya tidaklah begitu sihat sangat. Kesihatannya tidak begitu normal dan selalu terganggu. Dia yang begitu sensitif dengan cuaca sejuk. Penyakit asmanya terlalu mudah datang menyerang. Jangan terlalu pandang ringan kepada penyakit ini, kerana apabila ia datang pasti akan berasa terlalu penat tahap maksimum dan terlalu sukar untuk bernafas.

“Ayah, kenapa? Kenapa ayah tiba-tiba kejang macam ni?” Perasaan Isya begitu terperanjat sekali sambil duduk mengadap rapat-rapat pada ayahnya.

Muka ayah kelihatan pucat dan tubuhnya kejang buat seketika, dadanya berbunyi seperti burung. Sungguh panik Isya umpama telur di hujung tanduk. Menggelabah sebentar. Tidak tahu apa yang nak dilakukan. Adik-adik yang lain sedang lena tidur diulit mimpi ketika itu. Selalunya apabila asma ayah datang ada petandanya. Ini, tidak ada angin tidak ada badai tiba-tiba menyerang. Lalu dada ayah diurut perlahan-lahan oleh Isya dan barulah reda sedikit demi sedikit. Dengan keadaan yang lemah dan tidak berdaya, tidak memiliki kekuatan apapun hanya terdiam lelah di pembaringannya.

Isya mula risau pasti ayah tidak dapat keluar mencari nafkah kadang-kadang sampai seminggu lamanya gara-gara penyakit itu. Isyalah yang menggantikan sementara tempat ayahnya. Sudah terpaksa. Apalah yang terdaya sangat dilakukan oleh anak perempuan. Sebaik sahaja balik sekolah, Isya dan Iman keluar mencari barang-barang yang boleh dikitar semula. Terpaksa kerana bagi mereka kehidupan seperti kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Mahu tidak mahu mesti dilakukan juga.

Setiap dua atau tiga kali seminggu ayah pasti berniaga di pasar malam dengan hanya meniaga air minuman dan keropok lekor menggunakan sebuah motor roda tiga, itu pun motor karat yang diharapkan ayah yang di sewa daripada abangnya sendiri. Abangnya kaya-raya, tetapi sangat berkira. Itulah yang selalu ditanggung oleh ayah setiap hujung bulan, berhadapan dengan abangnya untuk menunaikan tuntutan hutang yang ditagih oleh kaum kerabatnya itu sendiri. Kalau tidak dapat pasti ayah akan menerima sepak terajang maut daripada abangnya.

Kadang kala begitulah kerana berniaga di pasar malam tidaklah menjanjikan pulangan yang diharapkan. Tambah-tambah lagi hujan. Mulalah kain kanvas pondok ayah bocor. Pernah sekali termasuk air hujan ke dalam tempat minuman jualannya. Cukup menyedihkan dan cukup merugikan. Namun ayah tetap menunjukkan dan memberi rangsangan yang terbaik untuk anak-anaknya.

Sungguh tersentuh hati Isya melihat ayah yang sentiasa bertungkus-lumus, berhempas-pulas demi mencari sesuap nasi untuk anak-anaknya. Maklumlah untuk memberi makan lima mulut. Biar ayah lapar tetapi mulut anak-anak perlu disuap dengan makanan. Bayangkan sahaja. Tidak mungkin hendak diharapkan anak-anak yang masih kecil. Isya selalu menitiskan air mata melihatkan adik- adiknya dan dirinya sendiri yang tidak semewah orang lain untuk merasai pakaian cantik-cantik, mainan yang mahal-mahal, apatah lagi bersiar-siar. Untuk menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

Apa yang mereka mampu hanya melihat KLCC dari jauh apatah lagi untuk menyentuh namun tidak sama sekali. Kekadang ayahnya pernah mengajak berjalan-jalan demi mengambil hati si anak tetapi Isya menolak kerana sedar akan kemiskinan diri. Seperti kawan-kawannya cukup bertuah namun Isya pasti lagi bertuah kerana mempunyai seseorang yang bergelar ‘super ayah’. Itulah satu-satunya hadiah yang paling berharga untuk Isya dan adik-adiknya.

‘Aku mesti kuat, aku mesti tabah dalam ujian tuhan ini..aku berazam aku mesti belajar rajin-rajin sehingga masuk universiti. Aku tidak sanggup melihat kehidupan yang sebegini dan aku mahu membalas segala jasa ayah walaupun tidak terbalas dengan berjuta-juta ringgit sekalipun. Aku tahu ayah sentiasa menangis sebelum melelapkan mata sebelum tidur. Aku pasti ayah mengenangkan ibu yang telah lama pergi tanpa kerelaan hatinya. Namun aku tahu ayah pasrah. Setiap kematian itu pasti,’ bisik hati Isya sambil mengelap air mata yang membasahi pipinya yang halus mulus itu. Lama Isya mengelamun dimuka pintu sehingga tidak sedar ayah memanggilnya.

“Isya! Isya! Ambil sekejap ubat urut kaki ayah di atas meja itu,” pinta si ayah. Tiba-tiba kaki ayah rasa kebas pula. Ayah melunjurkan kedua-dua belah kakinya dan mengurut-ngurut lembut sambil menyapa hatinya.

“Ya Tuhan… hentikanlah penyakitku ini untuk tidak menanggung seksa lagi. Cukup sudah aku dan anak-anakku menderita. Sesungguhnya ujianmu amat perit sekali.” Lalu mengalihkan pandangannya kepada anak-anak yang sedang tekun membuat kerja rumah di bawah nyalaan lampu minyak tanah.

Ternyata anak-anak ayah boleh dibanggakan dalam pelajaran. Akhlak mereka bagus, pelajaran pun bagus. Setakat ini anak-anak ayah semuanya menjadi. Si bongsu Irin ketika itu pun sangat menunjukkan reaksi positif terhadap buku. Pantang nampak buku dan pensel mulalah jari-jemarinya melakari sesuatu.

*****

Subuh datang lagi, seperti biasa mereka menunaikan solat bersama-sama. Kewajipan kepada Tuhan tidak dilupakan walau sesusah mana pun.

“Ayah nak pergi mana pula ni? Hari ni kan hari Ahad,” tanya Isya sambil melihat jam loceng di atas meja yang menunjukkan tepat pukul 6.30 pagi.

“Isya jaga adik-adik sekejap ya, ayah nak cari barang untuk dikitar semula.” Ayah mengemas motor buruknya dengan nada suara yang sayu. Inilah satu-satu alternatif yang dapat ayah lakukan untuk menambah pendapatan.

*****

Sehari suntuk ayah berada di luar mencari bahan-bahan terbuang yang boleh dikitar semula. Tidak kira hujan petir ayah akan tetap keluar mencari tin-tin kosong, kotak-kotak dan segala apa sahaja yang boleh dijual. Ayah juga sering mencari di lubuk-lubuk sampah walaupun baunya kurang menyenangkan. Ayah pernah berkata kepada anak-anaknya dipembuangan sampah itulah bagaikan rumah keduanya.

Apabila sampai di rumah, pasti baju ayah sangat kotor dan berbau, muka ayah berminyak dan badannya bermandi peluh. Sarat motor ayah dengan hasil kutipannya. Kadang-kadang sampai tidak nampak badan ayah yang sedang menunggang motor kerana terlalu penuh dengan muatan. Begitulah lazimnya. Kalau tidak berniaga di pasar malam pasti itulah kerja sampingannya.

Ayah hanya akan mengutip barang-barang terpakai itu setelah anak-anaknya balik daripada sekolah. Sudahlah hari-hari kewajipan menghantar dan menjemput anak-anak balik sekolah. Kemudian hantar pula ke sekolah agama. Ayah tidak akan membiarkan anak-anaknya comot, kusut-masai ke sekolah. Rambut sentiasa disikat rapi, pakaian sekolah digosok dengan licin di mana masih menggunakan seterika arang. Selalu juga enjin motor ayah rosak. Terpaksalah dibaiki sendiri dan terpaksalah berjalan kaki di tengah hari terik. Boleh dikatakan jauh juga jarak sekolah anak-anaknya daripada rumah.

“Aduh! Sabarlah! Nanti saya bayarlah! Abang tak kasihan ke melihat anak-anak saya? Abang sedar tak itu darah daging abang juga tau. Mana saya ada duit sekali RM2,000 abang minta. Janji RM250 saja sebulankan?” Ayah mengaduh kesakitan kerana telah hinggap satu tumbukan yang amat sangat daripada abangnya. Bibir ayah pecah berdarah dan kaki ayah bengkak disepak oleh abangnya. Ketika itu ayah sedang berniaga di pasar malam.

Rabak duit ayah pada malam itu diambil kesemua oleh abangnya. Berputih mata ayah. Rasa dia hendak memonopoli semua duit ayah. Sungguh tidak berperikemanusiaan. Kalau nak dibandingkan sikap ayah dengan abangnya bagai langit dengan bumi. Jauh sangat berbeza. Hanya sekadar motor karat itu sanggup menyakiti adiknya sendiri.

Dalam masa yang sama, berbagai cara abangnya membalas dendam sehingga suatu hari dia tergamak melanggar anak adiknya itu sendiri, ketika Iman baru pulang dari sekolah. Mujurlah tidak teruk hanya koyak sedikit di betis kanan kakinya. Sudahlah susah ditambah lagi susah. Ayah menangis merintis ketika itu. Namun ayah tetap sabar dan memberi ubatan apa yang mampu.

Hati ayah juga berasa tidak senang sekali kerana lain yang dijanjikan bayaran balik oleh abangnya lain pula yang dimintanya. Meminta yang bukan-bukan. Inilah yang selalu memeningkan ayah. Ayah sentiasa bermain dengan kepura-puraan abangnya sendiri. Cukup dramatik. Ayah pernah memberitahu bahawa abangnya adalah penagih dan pengedar dadah secara kecil-kecilan di kampung itu. Pernah dua kali merengkok dalam penjara. Namun tidak pernah insaf, dan hari ini dia bebas semula. Masih melakukan perbuatan terkutuk itu. Esok lusa akan tertangkap lagi. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya pasti ke tanah jua.

Pula itu, malang sungguh Iman mewarisi penyakit ayah, tetapi yang ini asmanya lebih teruk. Kalau penyakit itu datang hampir separuh nyawa melayang. Apa lagi ayah mulalah tidak dapat tidur menjaga anaknya itu. Jasad ayah semakin kurus, kerana melayan karenah dunia, menjalani ujian Tuhan yang maha esa.

“Biarlah Isya jaga adik pula ayah. Ayah tidurlah. Nampak ayah lesu sangat tu. Esok nak kerja lagi.”

Bukan apa, anaknya itu cuma risau kalau penyakit ayahnya datang lagi kerana terlalu stres.

“ Kalaulah ada ibu, pasti senang sekali. Sememangnya belaian kasih dan sentuhan seorang ibu tidak akan sama dibandingkan dengan si ayah.” Isya berbisik rindu yang amat sangat terhadap ibunya sambil mengenang seketika detik-detik indah ketika hayat ibunya masih ada. Malam itu sungguh hening, sehening air mata yang menitis satu per satu di pipinya.

“Ayah, pergilah masuk tidur.. ayah sendiri pun nampak macam tak sihat je tu,” pinta Isya sekali lagi.

Ayah sengaja tidak menghiraukan kata-kata anaknya itu, ayah tidak mahu anaknya itu susah-susah bersama menjaga, yang ayah mahukan anaknya itu fokus kepada pelajaran sepenuhnya. Itulah yang lebih mustahak baginya.

“Tak apa, Isya tidurlah dulu. Kan esok nak sekolah. Sekolah tu lebih penting. Jangan jadi macam ayah ni.. Berazamlah untuk membela hidup kita terutama adik-adikmu,” pesan ayah dengan hati yang pilu sekali.

Ayah sering memberi nasihat dan kata-kata perangsang agar anak-anaknya itu terus maju dalam penghidupan. Dengan kata-kata hikmah itulah Isya belajar dan terus belajar disamping selalu berdoa kepada maha pencipta. Isya sering menelaah pelajaran sehingga ke pukul 2 pagi.

‘Ayahku, sabarlah. Tunggulah masa dan saat itu, bahawa anakmu ini akan mencipta kejayaan suatu hari nanti. Apa yang kulakukan ini adalah semata-mata untukmu ibu, ayah, dan adik-adikku. Walaupun ibu telah lama pergi, namun semangat ibu bagaikan tak kunjung padam dan sentiasa berada bersamaku. Insya Allah,’ bisik hati Isya yang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.

Isya menanamkan di lubuk hatinya bahawa resipi kehidupan ayahnya itu pasti menjadi pembakar semangat sampai ke akhir hayatnya. Dia tidak mahu alpa disetiap tindak-tanduknya, juga dia tidak akan sekali-kali menconteng arang di muka keluarganya.

Ya, Isya bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, tiga tahun setelah pemergian ibunya. Sudah pasti memerlukan banyak duit untuk membayar yuran dan sebagainya. Isya cuba belajar berdikari untuk mencari duit bagi membantu ayahnya. Namun ayah tidak pernah membenarkan untuk melakukan semua itu. Bagi ayah, biarlah tanggungjawab itu dipikulnya sendirian. Ayah juga bertungkus-lumus untuk mencari duit bagi yuran sekolah, buku-buku, dan peralatan sekolah untuk persediaan di masa akan datang. Ya Tuhan… segala benda ayah harus lakukan. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Ayah tidak suka meminta-minta kepada orang, dia lebih suka berdikari. Itulah suatu sifat terpuji ayah yang harus diikuti.

*****

Pagi itu ayah seakan-akan buat kelakar tanpa ayah sedari. Anak-anaknya ketawa berdekah-dekah mentertawakan ayahnya, erutama sekali si bongsu Irin.

“Sekarang ni ayah nak keluarkan kutip barang-barang kitar semula. Tapi mengapa baju dan seluar ayah terbalik? Dahlah pesak seluar ayah kat belakang tu terkoyak sedikit. Ayah… ayah…,” kata anaknya Izam tertawa kecil melihat gelagat ayahnya sambil menutup mulut dengan tuala tangan yang hampir lusuh itu.

“Masha Allah. Ayah sibuk sangat sampai tak perasan,” kata si ayah. Sesekali ku lihat ayah tersenyum memperlihatkan sebaris giginya yang putih. Lalu ayah dengan pantas menukar seluar dan membetul-betulkan pakaiannya.

Bermulalah detik saspens. Isya hari ini bakal menduduki peperiksaan SPM dengan berbekalkan semangat dan kata-kata perangsang daripada ayah. Bagi Isya, ayah adalah idolanya dan sumber inspirasi buatnya. Isya sudah seratus peratus bersedia menghadapi ujian itu. Hanya tinggal kuasa pencipta yang menentukan segalanya.

Isya dengan penuh yakin melangkah masuk kedalam dewan peperiksaan sambil membaca sepotong surah Al-Quran buat bekalan. Baginya dia sudah lengkap untuk bertarung dengan diri sendiri. Dia dapat menjawab soalan-soalan dengan tenang sekali. Senyum kecil meniti di bibirnya apabila membaca setiap soalan yang diajukan. Lalu denggan pantas jari jemarinya menulis di atas sekeping kertas yang penuh bererti itu. Mencurah-curah idea bernasnya. Isya tahu peperiksaan ini adalah penentu buatnya.

“Pheeww!” Isya melahirkan rasa lega setelah tamat examnya. Dia berharap sangat agar dia sukses. Hampir dua minggu Isya bertarung demi peperiksaan. Akhirnya, tamatlah sudah peperiksaan.

“Insya Allah Isya. Ayah tengok Isya dah berusaha sedaya upaya.. Mana lagi nak menjaga adik-adik, ayah yakin pasti Isya berjaya. Bertawakallah nak, hanya Dia sahaja yang menentukan segala-galanya.” Ayah cuba memberi keyakinan penuh terhadap Isya dan mengusap-ngusap lembut rambut anaknya itu dengan penuh kasih sayang.

****

Dalam tidak sedar sudah tiga bulan berlalu. Hari esok adalah hari keputusan peperiksaan yang sekian lama ditunggu-tunggu. Tidak tidur malam Isya dibuatnya. Isya resah-gelisah sambil berdoa menunggu hari esok. Matahari mula menyinsing kembali menandakan hari beransur siang. Isya mula bersiap-siap untuk pergi kesekolah dengan hati yang penuh debaran dan harapan.

Ayah tidak keluar bekerja hari itu demi memberi semangat kepada anak sulungnya. Ya, benar kata-kata ayah. Isya mendapat keputusan yang amat cemerlang. Dia memperoleh 10A dalam SPM. Guru-gurunya menangis menumpang kegembiraan dengan kejayaan Isya. Isya bersyukur sekali. Inilah berkat sikapnya yang ulat buku dan suka bertanya guru. Ternyata dia tidak mengenal erti susah walaupun kehidupan realiti amat menyukarkan sekali. Segala perit getir dilalui bersama ayah dan adik-adiknya.

“Ayah! Ayah!” Isya menjerit dengan hati yang penuh gembira dan mencium-cium slip peperiksaannya sambil melompat-lompat menuju ayah. Segenap tubuhnya menunjukkan aksi keriangan.

“Yahoooo… Isya berjaya dapat 10A!’ Isya memeluk erat badan ayah yang ketika itu sibuk memandikan adik-adiknya. Sekali lagi Isya melihat ayahnya tersenyum sambil menitiskan air mata gembira. Senyum ayah adalah cahaya syurga baginya.

“Alhamdulillah. Bersyukurlah nak. Segala apa yang Isya harapkan sudah berada di tanganmu. Terima kasih ya Tuhan, Kau makbulkan doaku. Betapa kurasa kerdil di sisi Mu,” kata ayahnya dengan penuh syukur sekali. Kalaulah ada ibu ketika itu, betapa dapat disaksikan keceriaannya berkongsi bersama.

*****

Selang beberapa bulan, Isya mendapat tawaran untuk meneruskan pelajaran di Universiti Malaya dengan berbekalkan biasiswa yang ditawarkan oleh sebuah syarikat ternama. Isya cuba pastikan yang dia berjaya memegang segulung ijazah yang diidam-idamkannya selama ini dan menjadi seorang doktor suatu hari nanti. Ya, Isya sedar perjuangan itu masih terlalu jauh dan panjang lagi. Selama tujuh tahun dia harus melalui kesukaran sebelum memiliki segulung ijazah.

Pada mulanya berat hati Isya untuk melangkah pergi meninggalkan ayah dan adik-adik tersayang tetapi demi mengejar cita-cita dan tidak mahu melihat ayahnya hidup dengan penuh kesengsaraan lagi, Isya pasti boleh merubah segalanya.

Akhirnya Isya memperoleh keputusan yang cemerlang lagi dalam peperiksaan demi peperiksaan yang dilaluinya. Isya telah ditawarkan berkhidmat sebagai seorang doktor di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, Kuala Lumpur. Begitu juga satu demi satu adik-adiknya, kini semuanya telah membesar dan berjaya mengikut seperti jejak langkahnya. Memiliki kerjaya yang hebat-hebat. Tiga orang daripada mereka telah pun mendirikan rumahtangga. Adiknya si bongsu Irin masih melanjutkan pelajaran di Universiti Kyoto, Jepun.

Sekarang sudah dua puluh tahun lamanya segala onak dan badai dilalui. Ayah sudah pun terlalu berusia. Sudah tua, namun ayah mampu tersenyum lebar dan bangga dengan pencapaian anak-anaknya. Anak-anak sering mengunjungi ayah, di rumah yang tersergam indah yang telah dibina beberapa tahun lalu dengan hasil titik peluh anak-anak serta sentiasa menghulurkan wang kepadanya. Tinggallah si ayah lagi berseorangan meneruskan kehidupan dan terus meniti hari-hari tuanya tanpa isteri di sisi. Isya dan adik-adiknya berharap agar semangat ayah semakin kental dan terus menjadi super hero kini, esok, dan selamanya. Terima kasih ayah atas segalanya.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: