Certot

Terima Kasih, Ayah

Hasil nukilan Afiqah Nur Aqilah Mso 2 years agoSuperhero 20

             

   Hati Encik Tarmizi begitu terluka. Ketika Encik Tarmizi memandu pulang dari tempat kerja,  pihak sekolah telah menelefonnya. “Encik Tarmizi Ali, encik diminta oleh pihak sekolah untuk datang ke sekolah anak encik secepat yang mungkin kerana ada masalah yang perlu kami bincangkan.” Encik Tamizi segera memecut lagu ke sekolah anaknya. 

Di dalam bilik kaunseling…. 

Encik Tarmizi melangkah bilik kaunseling itu dengan perasaan yang berdebar-debar. Dia segera duduk di atas kerusi yang berhadapan dengan pengetua sekolah anaknya. Ketika suasana sunyi melanda di bilik kaunseling itu buat seketika, pngetua sekolah, Puan Aminah segera memberitahu tujuan dia dipanggil ke situ.  

“Encik Tarmizi dipanggil ke sini kerana anak encik telah membuat kes disiplin yang amat berat iaitu menumbuk rakan sekelas sehingga terpaksa dimasukkan ke dalam hospital. Saya sudah mencuba untuk bertanya kepada anak encik, tetapi tiada sebarang jawapan yang keluar dari mulutnya.” Apa yang dikata oleh Puan Aminah membuatkannya seperti hendak pitam. Lidahnya kelu. Dia tidak sangka anaknya sanggup melakukan sebegitu. 

“Disebabkan anak encik telah membuat banyak rekod disiplin, saya terpaksa membuang anak encik dari bersekolah di sini lagi. Encik juga terpaksa menanggung kos rawatan rakan sekelas anak encik.  Setelah berbincang dengan ibu bapa kepada rakan sekelas Taufiq, kami tidak ingin merumitkan keadaan dan tidak akan melaporkan kepada pihak yang berkuasa walaupun kami tahu ini termasuk dalam kes juvana. Jadi encik perlu bersabar atas kenyataan ini. Kami pihak sekolah memohon maaf atas salah silap dalam mengajar Taufiq,” ujar Puan Aminah dengan nada tegas.

***** 

“Dengar sini Taufiq, mengapa kamu buat begini kepada ayah? Ayah malulah Taufiq buat begini kepada ayah! Ayah setiap hari bekerja kuat untuk tampung kita sekeluarga, mengapa Taufiq tidak mahu belajar dengan bersungguh-sungguh? Mengapa Taufiq terikut-ikutkan kawan Taufiq yang nakal? Ayah malulah dapat anak macam Taufiq! Ayah malu! Taufiq sudah menconteng arang di muka ayah! Kalau umi tahu akan hal ini, mesti umi sedih! Lebih sedih daripada ayah tahu? Taufiq mahu apa lagi? Semua barang yang Taufiq mahu, ayah belikan! Mahu kata ayah tidak luangkan masa dengan Taufiq, ayah luangkan! Apa yang tidak cukup lagi? Mengapa Taufiq tidak boleh seperti Abang Taqif dan Kak Taqiyah? Banggakan ayah dam umi. Taufiq kamu sudah tahun enam. Lagi beberapa bulan lagi UPSR hendak menjelang. Balik ini ayah mahu kamu kemaskan semua barang kamu! Ayah sudah tidak mahu melihat muka kamu lagi, kamu bukan anak ayah dan umi!” kata Encik Tarmizi dengan perasaan yang berbaur. Keletihan yang ditanggung selama ini masih belum surut, tetapi anaknya sudah membuat perangai yang menyebabkan dia berasa sungguh aib.

***** 

Atas kesedihan dan perasaan aib yang memuncak, Encik Tarmizi dan Puan Malaika telah bersetuju untuk menghantarnya ke sekolah Tahfiz Al-Quran yang terletak jauh di luar bandar. Mereka sudah tidak kisah akan anaknya itu. Apa yang Taufiq mahu buat, semua dia tidak kisah. Encik Tarmizi dan Puan Malaika tidak kisah Taufiq jauh dari mereka. Mereka mahu Taufiq terus bersekolah di situ sehingga Tingkatan lima.  Biar Taufiq periksa UPSR tanpa nasihat dan dorongan mereka. 

Mereka segera menghantar Taufiq ke sekolah Tahfiz. Setelah mereka mendaftarkan Taufiq, mereka segera meninggalkan anak mereka. Mereka sudah tidak mahu melihat muka anaknya. Perasaan kesal, aib, sedih, dan marah masih bersarang di lubuk hati masing-masing. Mereka sudah tidak kisah akan perasaan anaknya lagi.

*****

  Hari demi hari, minggu demi minggu ], bulan demi bulan. Kerinduan seorang ibu kepada anaknya kian menebal, tetapi mahu tidak mahu dia cekalkan hati dia untuk tidak menemui anaknya. Walaupun kerinduan semakin menebal, tetapi perasaan aib masih memuncak.  Keputusan UPSR telah berlalu, tetapi Encik Tarmizi dan Puan Malaika masih tidak tahu akan keputusan anak mereka. Pada suatu hari, Puan Malaika ditelefon oleh pihak sekolah tahfiz. 

“Puan Malaika, ini Tuan Bukhari. Saya mahu maklumkan yang cuti semakin hampir dan puan diminta mengambil anak puan. Nanti pada 1 Januari 2016, sekolah ini baru buka. Jikalau ada kem tahfiz, kami akan beritahu puan,” ujar Tuan Bukhari kepada Puan Malaika. Setelah lima minit, Puan Malaika segera memutuskan panggilan. 

***** 

Di sekolah tahfiz Al-Quran…. 

Puan Malaika dan Encik Tarmizi segera keluar dari kereta. “Malaika, awak pergi ambil anak awak. Saya tunggu di sini,” ujar Encik Tarmizi kepada Puan Malaika. Puan Malaika segera pergi ke aspura dan mencari bilik anaknya. Kelihatan dalam bilik anaknya itu, seorang budak lelaki yang memakai jubah putih bersila di atas katil sambil membaca sebuah surah. Kelunakan suara budak itu mengalunkan surah memecah kesunyian bilik itu.

“Maaf mengganggu, adik kenal tidak Taufiq Malique? Dia duduk di bilik inikah?” tanya Puan Malaika kepada budak itu. 

Serta-merta budak itu menamatkan ayat yang dibacanya dan terus memeluk Puan Malaika. 

“Umi, ini Taufiq. Taufiq dapat 5A. Taufiq sudah menjadi hafiz. Umi maafkan Taufiq. Taufiq janji tidak nakal-nakal lagi,” kata Taufiq kepada Puan Malaika sambil menangis.

“Sudahlah Taufiq, umi memang maafkan kamu. Jom turun ke bawah. Ayah, adik, kakak, dan abang semua ada di bawah. Jom Taufiq,” ujar Puan Malaika sambil melepaskan pelukan dari anaknya. Dia segera mengangkat beg anaknya dan membawanya menuju ke kereta. 

Sesampai sahaja mereka di kereta, adik-beradik Taufiq segera memeluknya. Rindu yang dirasakan segera dilepaskan dalam dakapan itu. Dia segera berbual kosong buat seketika bersama adik-beradiknya.

 Tiba-tiba ayahnya segera memeluknya. “Taufiq, ayah amat rindu sekali kepada kamu. Ayah sudah maafkan kamu. Tahniah, tidak sangka kamu dapat 5 A dan menjadi hafiz. Ayah sangat bangga nak. Tahun hadapan kamu tidak perlu sekolah di sini, ya?” ujar Encik Tarmizi dengan nada yang lembut. 

“Ayah, maafkan Taufiq. Taufiq tahu yang Taufiq nakal. Mudah terpengaruh dengan kawan. Taufiq minta maaf. Terima kasih, ayah!” kata Taufiq sambil mengucup pipi ayahnya yang tersayang.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: