Certot

Terima Kasih, Ayah!

Hasil nukilan Aisyah 2 years agoSuperhero 88

Aku dan Komala berkawan baik sejak kami di tahun satu lagi. Komala adalah kawan aku paling ceria, peramah, dan periang. Sebab itu aku menjadikan Komala sebagai kawan baikku.

  Tetapi pagi ini aku berasa sedikit pelik. Aku tertanya-tanya. Aku tak pernah melihat Komala termenung sendirian dan kadangkala menangis. Aku teringin juga nak bertanya kepadanya, tetapi aku risau dia ingat aku ingin masuk campur urusan peribadinya. 

Semasa waktu rehat, seperti lazimnya aku mengajak Komala ke kantin.

“Komala,  jom pergi kantin,. Hari ni ada menu istimewa, nasi goreng ayam berempah,” ajak aku bersungguh-sungguh sambil mengosok perut yang sedang berkeroncong. 

“Awak pergilah dulu, saya dah kenyang,” balas Komala acuh tak acuh.

Aku tahu yang Komala tengah lapar, tetapi dia seperti jual mahal denganku. Aku sudah tidak tahan dengan Komala yang sudah berubah sikap.

“Komala kenapa dengan dengan awak ni?  Asyik-asyik termenung. Selepas tu, mula buat muka muram. Kadang-kadang menangis seorang diri,” tanya aku sambil melepaskan geram kerana sudah tidak tahan dengan perangainya.

“Aisyah Daniya. Sebenarnya, ayah saya sakit tenat. Dia perlukan kos rawatan pembedahan sebanyak 60 ribu ringgit. Setakat ini hanya RM40 ribu ringgit terkumpul, masih kekurangan RM20 ribu ringgit,” perlahan Komala menyusun ayat satu per satu.

“Pembedahan sepatutnya dijadualkan berlangsung dalam tempoh tiga minggu lagi.”

Aku terdiam seketika.

*****

Satu petang di rumah.

Aku termenung sendirian. Otakku ligat berputar seperti gasing memikirkan apa yang perlu dibuat. Aku runsing adakah ada jalan untuk menolong Komala, sahabat baikku. Aku seakan-akan buntu.

Petang itu,  aku bercerita kepada ayah tentang masalah Komala. Aku tahu ayahku juga berkawan baik dengan Saravanan, ayah Komala.

“Ayah, adik ada sesuatu hendak cakap,” kata aku memberanikan diri.

  “Ada apa?” ayah bertanya lembut.

“Ayah tahu tentang Pak Cik Saravanan? Sebenarnya Pak Cik Saravanan sakit tenat. Dia memerlukan kos rawatan sebanyak 60 ribu ringgit. Mereka cuma ada RM40 ribu ringgit. Yang selebihnya tak mampu,” kata aku bersungguh sungguh cuba memujuk ayahku. 

“Oh,” kata ayah selamba.

Aku jadi hairan kerana perkataan ‘oh’ sahaja keluar daripada mulut ayah. Selalunya kalau apa-apa berita tentang Pak Cik Saravanan, mesti ayah menjadi orang pertama yang cukup risau dan dia akan bertanya banyak soalan kepadaku.

*****

Sejak akhir-akhir ini, ayah jarang berada di rumah. Aku berasa hairan. Kalau dulu ayah akan banyak menghabiskan masa senggang dengan keluarga tetapi sekarang setiap waktu lapang, ayah mesti keluar rumah dengan kawan kawannya.

“Mama, kenapa ayah jarang ada dekat rumah masa cuti?” tanyaku kehairanan.

“Mama pun tak tahu.  Setiap kali waktu cuti dia mesti keluar dengan kawan-kawannya sambil bawa peralatan lengkap sukan,” jawab Puan Maria, mamaku yang sedang menonton TV di ruang tamu.

Pada malam itu, ayah balik pada pukul 9.00 malam. Keinginanku untuk bertanya kepada ayah membuak-buak. Baru sahaja aku hendak bertanya kepada ayah, tetapi sudah di potong oleh mama.

“Abang nak makan tak? Saya ada buat lauk kegemaran abang iaitu kari ikan talang masin.”

“Mestilah nak!”

Aku terkedu.

*****

Berita kemenangan ayah dalam pertandingan marathon tersebut cukup mengujakan. Nampaknya janji dia hendak membawa kami sekeluarga menghabiskan cuti di Disneyland, Hong Kong akan menjadi kenyataan. Ayah juga berjanji sebelum ini jika dia menang pertandingan itu, dia akan membawa kami sekeluarga bercuti di luar negara pada musim cuti sekolah. 

“Ayah, nanti Niya nak pergi Disneyland, sebab ramai kawan Niya dah pergi situ. Mereka cakap memang seronok,” kata aku bersunguh-sungguh. “Lagipun, ayah kan dah menang RM20 ribu, lebih dari cukup untuk kita sekeluarga bercuti, ayah,” aku terus memujuk ayah, tidak berputus asa.

“Tak boleh, Niya. Ayah perlukan duit ini,” jawab ayah perlahan kerana ayah tahu yang aku mesti sedih.

“Tak apalah, ayah.” Lalu aku terus masuk ke bilik. Aku sembamkan mukaku ke atas katil dan menangis semahunya.

Aku menutup pintu bilik. Seharian aku berkurung. Puas ayah cuba memujukku untuk turun makan, tetapi aku tetap berdegil.

“Niya, sudahlah tu. Lain kali kita pergi.” Berkali-kali ayah mengulangi skrip yang sama memujukku, tetapi aku masih membatu.

*****

Tiga minggu kemudian.

Hari pembedahan ayah Komala telah tiba. Aku berasa sangat gembira kerana kos rawatan tersebut telah berjaya ditampung sepenuhnya hasil sumbangan daripada seseorang yang tidak mahu dikenali. Syukur kepada Allah Yang Maha Esa. Semoga rezeki penderma tersebut terus diberkati. Kata-kata tersebut kuulang beberapa kali dalam hati.

“Komala, syukurlah ayah awak telah selamat menjalani pembedahan. Awak tahu tak siapa yang bagi sumbangan derma itu?” aku bertanya kepada Komala ingin tahu.

“Tak pastilah, Niya.” Komala sekadar mengangkat kening tanda tidak pasti.

Berita tentang kejayaan pembedahan ayah Komala kusampaikan kepada ayah. Ayah kelihatan cukup gembira.

“Syukurlah.” Ringkas jawapan ayah.

*****

Keesokan harinya, aku tidak sabar-sabar untuk melawat ayah Komala untuk bertanyakan khabar.

“Ayah, pergi mana mama?” aku seraya bertanya memandangkan kelibat ayah tidak kelihatan dari pagi.

Mama sekadar mengangkat kening menandakan dia tidak tahu.

Akhirnya aku ke hospital menaiki bas setelah dibenarkan oleh mama.

“Puan, tumpang tanya. Apakah nombor katil pesakit bernama Saravanan a/l Muniandy?”

“Bilik 5, tingkat dua, wad Kenanga,” jelas kakak jururawat tersebut.

Mataku melilau mencari di manakah bilik 5 tersebut.

Bilik 1, Bilik 2… aku mengira satu per satu.

Setibanya di bilik 5, sebelum membuka pintu bilik tersebut, aku berasa terkejut. Ayah?

Ayah kelihatan sedang berbual rancak dengan Pak Cik Saravanan. Kelihatan sesekali Pak Cik Saravanan mengesat air matanya. Aku cuba memasang telinga.

“Zaki, terima kasih kerana sanggup mendermakan wang kemenangan Zaki untuk kos pembedahan saya,” perlahan Pak Cik Saravanan mengatur kata-katanya.

“Tiada masalah. Itu sudah menjadi tanggungjawab saya. Tangan yang memberi kan lebih baik daripada yang menerima. Lagipun kita sudah lama berkawan,” terang ayah dengan nada yang bersungguh-sungguh.

Aku terus menerpa masuk dan memeluk ayah dari belakang. Air mataku mengalir laju. Tetapi kali ini, ia bukan tangisan kedukaan. Malah, ia adalah tangisan kegembiraan. Ayah sedikit terkejut, tetapi memelukku kembali.

“Maafkan Niya, ayah. Selama ini, Niya salah sangka kepada ayah,” kataku teresak-esak.

“Takpe Niya, sudah lama ayah maafkan Niya,” tenang ayah menyusun kata-kata.

Aku rasa sungguh terkejut dengan berita ini. Rupa-rupanya selama ini ayah berlatih bersukan untuk mendapatkan duit pembedahan untuk ayah Komala. Sebenarnya, ayah adalah superhero aku yang sebenar. Terima kasih, ayah!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: