Certot

Tae Kwan Do vs UPSR

Hasil nukilan Hannah Nabilah 1 year agoSukan 1660

             

Namaku Aleesya Raihana. Berumur 12 tahun, lebih senang dipanggil Isya. Sejak kematian emak saudaraku, Makcik Zara yang sememangnya agak rapat denganku dua tahun lalu, aku yang dahulunya peramah kini bertukar menjadi pendiam.

Pada suatu hari, sedang aku menikmati roti telur keju sebagai sarapan, ayah memaklumkan kepadaku bahawa beliau telah mendaftarkan namaku untuk Kejohanan Tae Kwan Do peringkat Negeri Sembilan. Walaupun agak terkejut dengan berita itu, aku cuba berlagak biasa. Lagipun, ayah mengambil keputusan tersebut atas faktor diriku yang sangat meminati sukan tae kwan do. Pernah sekali, aku mogok selama dua hari di dalam bilik hanya kerana kedua-dua ibu bapaku tidak membenarkanku untuk menyertai kelas tae kwan do, namun akhirnya mereka mengizinkan jua.

Pada perhimpunan hari Isnin hari ini….

“Murid-murid, tarikh peperiksaan UPSR semakin hampir. Jadi saya harap, kamu semua lebih fokus untuk membuat ulang kaji berbanding melakukan aktiviti lain. Bagi pelajar Muslim, saya harap kamu semua mengisi masa yang terluang dengan menunaikan solat hajat, solat dhuha dan sebagainya.”

Kata-kata Cikgu Rosli, guru yang menguruskan pelajar tahun enam itu membuatkan aku tersedar dan kembali ke dunia nyata. Namun, pesanan jurulatih tae kwan do, Sir Tengku membuatkan aku berfikir semula.

“Kejohanan tae kwan fo akan berlangsung tidak lama lagi, iaitu 6 September 2015. Cubalah buat yang terbaik, ya! Go go go!”

Sesungguhnya aku dalam dilema!

*****

“Ayah harap Isya membuat satu keputusan yang bijak. Ingatlah, kejayaan seorang anak merupakan kebanggaan dan kegembiraan ibu bapa.”

“Isya ialah satu-satunya anak ayah dan mama, jadi tenangkan fikiran dan buat satu keputusan yang bijak seperti yang ayah kamu katakan.”

Itu merupakan respons kedua-dua ibu bapaku apabila aku menyuarakan kebimbanganku. Ternyata mereka meletakkan harapan yang amat tinggi terhadapku.

Aku pula, semestinya… tidak akan mengecewakan mereka.

*****

“Mengapa kamu tidak hadir semalam?” tanya Sir Tengku sambil merenungku.

Aku menunduk sedikit. “Maafkan saya, sir. Saya perlu menghadiri kelas tuisyen di sekolah memandangkan peperiksaan UPSR akan berlangsung tidak lama lagi. Saya langsung tidak berniat untuk ponteng.”

Sir Tengku mengurut dagunya. “Baiklah, saya percaya. Tetapi Kejohanan tae kwan do akan diadakan pada 6 September, iaitu sebelum peperiksaan UPSR berlangsung. Mungkin awak perlu fokus dalam membuat latihan bagi kejohanan tae kwan do ini.”

Aku menghela nafas berat. Bagaimanakah caranya untuk aku memaklumkan padanya bahawa aku terpaksa berhenti mengikuti segala perkembangan kelas tae kwan do, termasuklah kejohanan tae kwan do tersebut?

*****

Dua bulan kemudian..

“Aleesya Raihana binti Anuar, mendapat 5A!”

Aku tersenyum tatkala mengenangkan peristiwa manis ketika ayah dan mama memelukku sebaik sahaja keputusan UPSR diumumkan.

“Isya… mari ke sini sebentar. Mama dan ayah ada sesuatu untuk dibincangkan,” panggil mama. Ketika itu, aku sedang membaca sebuah novel kegemaranku yang diterbitkan oleh syarikat PTS.

“Ya, ada apa ayah, mama?” soalku sambil mengambil tempat di antara kedua-dua ibu bapaku.

Ayah tersenyum. “Ayah ada berita baik. Cuba Isya baca mesej ini,” ujarnya sambil menghulurkan telefon bimbitnya.

“Eh? Ini mesej daripada Sir Tengku!”

Tadi saya menerima panggilan daripada pengurus Kejohanan Tae Kwan Do Negeri Sembilan. Beliau berkata bahawa tarikh pertandingan yang ditunda sehingga 11 September akan ditangguhkan lagi sehingga 25 November atas faktor tertentu. Beliau juga meminta maaf atas segala kesulitan yang dihadapi.

Aku tersenyum ceria. “Alhamdulillah! Ayah, mama… dapatlah Isya berlatih untuk kejohanan tae kwan do tersebut!”

Mama turut tersenyum ceria, begitu juga dengan ayah. Sambil mengusap kepalaku, mama berkata, “Betulkan cakap mama, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya? Mama yakin, Isya akan berjaya!”

“Insya-Allah….” Aku memeluk ayah dan mama, erat.

**

“Bismillah…,” ucapku perlahan sambil membuka kekuda.

Syukur, aku berjaya melakukan Taegeuk Pal Jang dengan baik sekali berbekalkan doa yang kutitipkan sebelum melakukannya.

Sekembalinya dari Senaling, aku menghamparkan diriku di atas katil sambil mengukir senyuman gembira. Bagaikan mimpi pula rasanya. Hanya kerana aku berkorban untuk mengabaikan kelas tae kwan do buat sementara waktu, aku menerima rezeki bertimpa-timpa.

Terima kasih, Ya Allah!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: