Certot

Suri Hero Durrah

Hasil nukilan Nurul Hazirah 2 years agoSuperhero 23

           

“Tak! Durrah sayang mama!” teriak Durrah di hospital.

 

*****

 Beberapa tahun kemudian.

 

“Durrah, papa nak pergi kerja ini. Duduk baik-baik dengan Mak Jah, ya?” kata Encik Shariff, seorang akauntan di sebuah bank di Bandar. 

“Pergilah. Mak Jah boleh jaga Durrah,” jawab Durrah selamba, di depan televisyen. 

Encik Shariff keluar dari rumah dengan muka yang muram. ‘Apa salah papa, Durrah sampai benci sangat dengan papa?’ bisik hati Encik Shariff. Dia memandu perlahan ke tempat kerjanya.

 “Durrah, tak baik cakap begitu dekat papa. Kecil hati papa,” nasihat Mak Jah yang dari tadi menjadi pemerhati. 

“Ala Mak Jah ini, sama saja dengan papa,” ujar Durrah, terus berlalu pergi dari ruang tamu. Mak Jah hanya menggelengkan kepala.

*****

 

“Durrah, papa nak tanya sikit boleh?” Encik Shariff memandang tepat muka Durrah. 

“Apa dia?” tanya Durrah kembali sambil menatap telefon bimbitnya. 

“Kenapa Durrah dah tak rapat dengan papa macam dulu? Durrah dah tak sayang papa” tanya Encik Shariff, lembut dalam sendu. 

“Kalau ya?” balas Durrah, masih menatap telefon bimbitnya. 

Encik Shariff terkejut dengan jawapan Durrah. “Durrah anak papa. Kenapa dah tak sayang papa?” tanya Encik Shariff dalam menahan sedih. 

“Tak! Durrah bukan anak papa! Durrah anak mama!” bentak Durrah tiba-tiba. 

“Apa yang Durrah cakap ini?” Sekali lagi Encik Shariff terkejut dengan tindakan anaknya. 

“Papa sebab mama mati. Kalau papa tak ajak mama pergi jumpa klien papa, mama takkan mati!” jerit Durrah sepuas hati. 

Mak Jah yang dari dapur berlari ke depan untuk melihat apa yang terjadi. 

“Papa bunuh mama!” sambung Durrah lalu berlalu ke biliknya. Encik Shariff hanya membatukan diri. Sungguh, dia berasa sedih dengan anaknya.

*****

 

Hari itu, Encik Shariff ingin menjemput Durrah pulang dari sekolah. Dia harus menjelaskan semuanya kepada anaknya. Telah sampai waktunya untuk Durrah tahu hal ini. Encik Shariff menunggu di depan pintu pagar sekolah. 

Kring! Loceng tamat sesi persekolahan pada hari itu berbunyi. 

“Durrah, esok ada latihan sorak. Jangan tak datang,” Abel, teman sekelas Durrah mengingatkan. 

“Ha, yalah. Mesti aku datang. Don’t worry lah, Bel. Inikan Durrah,” ujar Durrah sambil menepuk bahu Abel, lantas ketawa. 

Mereka menuju ke luar sekolah bersama-sama. 

“Durrah,” Durrah dan Abel menoleh. 

“Ehm, Durrah. Aku gerak dululah. Takut nanti hujan pula,” ujar Abel dan melambai ke arah Durrah. 

“Okey, bye. Jumpa esok.” Durrah membalas lambaian Abel. 

“Apa papa buat di sini? Durrah boleh balik dengan Abel,” tanya Durrah dengan tidak memandang muka papanya. 

“Papa ada benda nak cakap dengan Durrah. Ikut papa balik,” jawab Encik Shariff. 

“Tak payahlah. Papa baliklah dulu.” Durrah terus berlalu meninggalkan papanya. Encik Shariff memerhatikan Durrah. 

Tiba-tiba, beliau ternampak sebuah kereta menyusur laju ke arah Durrah. Encik Shariff berlari ke arah Durrah dan menolak anaknya ke tepi. 

Dush! 

Durrah menoleh. “Papa!” teriak Durrah. Dia berlari ke arah papanya yang berlumuran darah itu.

*****

 

“Papa, Durrah minta maaf. Cepatlah sedar. Durrah rindu papa.” Durrah menangis teresak-esak sambil memeluk papanya yang terbaring di hospital. 

“Cik Durrah?” Durrah menoleh. 

“ Boleh saya berjumpa dengan cik sebentar?” pelawa Doktor Fuad, doktor yang bertugas merawat papa. 

“Ada apa ya, doktor?” tanya Durrah semasa di bilik Doktor Fuad. 

“Kamu tahu tentang penyakit papa kamu?” tanya Doktor Fuad sambil memandang tepat muka Durrah. 

“Penyakit apa, doktor?” tanya Durrah, cemas. 

“Setelah menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap papa kamu, kami mendapati papa kamu ketiadaan sebelah buah pinggangnya. Boleh saya tahu papa kamu mendermakannya kepada siapa?” tanya Doktor Fuad dengan panjang lebar. 

Durrah terdiam sebentar. “Maaf, doktor. Saa… ya… saya tak tahu tentang hal ini,” jawab Durrah, panik sebentar. 

Doktor Fuad berfikir sebentar. “Kalau begitu, tidak mengapalah. Terima kasih,” ujar Doktor Fuad sambil tersenyum kepada Durrah. Durrah membalas senyuman itu tetapi tawar.

*****

 

Semasa Durrah menuju ke wad papanya, dia terserempak dengan Mak Jah yang kebetulan baru sahaja sampai untuk melawat papanya. Semasa Mak Jah sedang mengelap badan papanya, Durrah mengajukan soaln kepada Mak Jah. 

“Mak Jah, papa pernah dermakan buah pinggangnya pada sesiapa?” tanya Durrah, spontan.

 Mak Jah tersentak dan menoleh keaarah Durrah. “Emm, dari mana Durrah tahu ini?” tanya Mak Jah semula. 

“Ala, adalah. Durrah tanya ini,” jawab Durrah lalu bingkas bangun dan berdiri di sebelah Mak Jah. 

“Emm, mana Mak Jah tahu. Ini hal keluarga kamu.” Mak Jah kembali melakukan tugasnya supaya Durrah tidak mengesyaki apa-apa. 

“Ala Mak Jah, tak payah tipu Durrahlah. Mak jah ini bukan pandai tipu pun.” Durrah memandang tepat muka Mak Jah, mengharapkan jawapan. 

Mak Jah mengeluh berat. Dia menarik Durrah duduk di sisi katil Encik Shariff. “Durrah, bukan niat papa dan Mak Jah untuk tipu Durrah.” Mak Jah menghentikan bicaranya. 

Durrah memandang muka Mak Jah dengan perasaan ingin tahu bercampur cemas. 

“Durrah, sebenarnya mama Durrah meninggal bukan kerana pembedahan. Dia meninggal ketika pembedahan buah pinggang. Mama Durrah mengalami kerosakan buah pinggang dan sangat memerlukan penderma. Kebetulan, buah pinggang papa kamu sepadan dengan mama kamu. Jadi, papa kamu telah mendermakan sebelah buah pinggangnya kepada mama kamu,” terang Mak Jah panjang lebar. 

Durrah terdiam seketika. “Habis yang papa cakap mama kemalangan itu… tipu?” tanya Durrah lagi.

“Papa kamu tak nak kamu sedih dengan penyakit yang melanda mama kamu. Sebab itu, Encik Shariff terpaksa membohongi Durrah,” jawab Mak Jah lagi. Tangannya menggenggam erat tangan Durrah yang menggigil. Durrah memandang papanya yang terlantar di sebelahnya. Tanpa disedari, air matanya menitis laju. Sungguh, hatinya berasa marah akan dirinya sendiri.

 

*****

 Setelah dua bulan berlalu….

 

Setelah pulang dari sekolah, Durrah terus bergegas menuju ke hospital. Mulai dari kemalangan yang menimpa papanya, hospital telah menjadi rumahnya yang kedua. 

“Assalamualaikum, papa. Hari ini Durrah bawa makanan untuk papa. Mak Jah masakkan makanan kegemaran papa. Pa, cepatlah sedar. Durrah rindu nak makan sama-sama dengan papa.” Kendur suara Durrah. Air matanya jatuh sekali lagi. 

‘Ya Allah, aku tidak sanggup lagi kehilangan papa. Cukuplah dengan pengorbanan papa untuk mama. Ya Allah, sedarkanlah papa,’ doa Durrah dalam hati.

*****

 

Malam itu, selepas menunaikan solat fardu maghrib, Durrah menadah tangan memohon pada Yang Esa. “Ya Allah, hanya padamu aku memohon pertolongan. Ya Allah, kau sedarkanlah papaku dari koma dan maafkanlah diriku yang terlalu banyak menderhakai papa, Ya Allah,” rintih Durrah dengan penuh sayu. 

“Durrah….” Setelah mengaminkan doa, Durrah menoleh. 

“Papa!” Durrah meluru ke katil papanya. “Papa dah sedar? Alhamdulilah Ya Allah,” ucap Durrah penuh syukur. 

“Durrah, papa sebenarnya….” Belum sempat Encik Shariff menghabiskan ayatnya, “No papa. Durrah dah tahu segalanya. Maafkan Durrah sebab dah terlalu banyak derhaka pada papa,” tangis Durrah dan memeluk papanya. 

“Papa maafkan sayang.” Encik Shariff membalas pelukan anaknya. 

And you know what….” Durrah meleraikan pelukannya. 

 Walaupun tanpa mama di sisi Durrah, Durrah dah rasa bahagia sebab masih ada suri hero di sisi Durrah.” Durrah memeluk papanya semula. 

“Adakah itu papa?” tanya papa, sengaja menguji anaknya. 

“Of courselah. You’re the best dad in million!” balas Durrah kembali. Sejak peristiwa itu, Durrah dan Encik Shariff menjadi sangat akrab.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: