Certot

Surat Daripada Ayah

Hasil nukilan Aisya Safuraabout 3 years agoSuperhero 22

“Maafkan saya, encik. Anak encik menghidap penyakit yang amat serius.” Kata-kata doktor itu membuatkan Encik Zack hilang kata-kata.

“Apakah penyakit itu, doktor?” tanya Encik Zack dengan wajah kerisauan.

“Penyakit jantung berlubang ASD. Ia berlaku apabila satu keadaan di mana terdapat lubang antara atrium, menyebabkan oksigen dari bahagian kiri jantung masuk semula ke bahagian kanan. Oleh itu, bilik jantung bahagian kanan terpaksa mengepam dengan lebih kuat yang mengakibatkannya bengkak. Apabila pengaliran darah ke paru-paru menjadi bengkak, tekanannya meningkat dan merosakkan paru-paru. Ia juga dikenali sebagai sakit jantung tidak biru atau acyanostic congenital heart diseases,” terang doktor itu dengan lebih terperinci.

Encik Zack kaku mendengarnya. Anak yang diasuh, dilindungi, dan dijaga selama 11 tahun menghidap penyakit yang amat serius.

“Ada cara untuk anak saya sembuh?” tanya Encik Zack. Dia tidak sanggup melihat puterinya menderita akibat penyakit itu.

“Anak encik dan puan harus menjalani pembedahan pemindahan jantung, tetapi….” Kata-kata doktor itu mati di situ. Ia menambahkan lagi kerisauan Encik Zack dan Puan Haiza.

“Tetapi apa, doktor?” tanya Puan Haiza sambil memegang erat tangan suaminya.

“Kos pembedahan sangat mahal dan tiada orang yang ingin menderma jantung kepadanya. Pembedahan itu harus dilakukan secepat mungkin,” beritahu doktor itu.

Pasangan suami isteri itu diam sebentar. Memikirkan tentang pembedahan yang rumit itu.

“Baiklah, saya sanggup menderma jantung saya kepada anak saya,” Encik Zack menawar diri.

Puan Haiza terkejut mendengar kata-kata suaminya.

“Abang, bagaimana dengan kehidupan kami anak-beranak nanti? Abang tak fikirkah tentang Aira yang memerlukan kasih sayang seorang bapa?” Puan Haiza tidak dapat menerima kenyataan bahawa suaminya yang akan menderma jantung kepada anaknya.

“Demi Aira, abang sanggup lakukan apa sahaja. Lagipun, Aira mempunyai peluang yang cerah untuk berjaya. Dia masih kecil dan perlu menjalani asam garam kehidupan. Abang tidak mahu Aira menderita,” ucap Encik Zack, sayu.

Hati bapa mana yang tidak sedih apabila mengetahui bahawa anak yang dijaganya menghidap penyakit serius. Dia sanggup bergadai nyawa demi anak yang tercinta.

“Baiklah, saya sudi menderma jantung kepada anak saya,” putus Encik Zack.

Doktor itu mengangguk lalu membawa Encik Zack ke bilik pembedahan.

“Abang! Ampunkan Haiza. Halalkan makan minum Haiza selama Haiza menjadi isteri abang. Haiza nak abang tahu yang Haiza tetap setia dengan abang hingga ke Jannah,” Puan Haiza mencium tangan suaminya sepuas-puasnya. Air mata jatuh berguguran. Tiada yang dapat diungkapkan ketika itu.

Encik Zack tersenyum melihat isterinya. Dia redha dengan ketentuan Ilahi. Air mata yang ditahan akhirnya gugur jua.

*****

Perlahan-lahan kelopak matanya dibuka. Siling putih menjadi benda pertama yang dilihatnya. “Ibu, Aira di mana?” tanya Aira sebaik sahaja ternampak kelibat ibunya disisi katil. 

“Kamu di hospital, sayang. Alhamdulillah, kamu sudah sedar akhirnya.” Puan Haiza mengucup kedua-dua belah pipi anak tunggalnya. 

“Kenapa Aira berada di sini?” tanya Aira.

Puan Haiza terdiam mendengar soalan itu.

“Ibu?” Aira memegang tangan ibunya.

“Sebab kamu sakit,” Puan Haiza memberi jawapan yang amat ringkas. Dia tidak mahu anaknya risau.

“Ayah mana?”

Soalan Aira seakan-akan memanah hati Puan Haiza. Puan Haiza hanya memandang sayu anaknya.

“Ayah ada beri sesuatu untuk kamu. Bacalah.” Puan Haiza memberi sepucuk surat berwarna biru muda kepada Aira.

Aira membacanya dengan tekun. Gugur air matanya di saat membaca surat itu.


Kepada Aira,

Jika kamu membaca surat ini, maknanya ayah telah pergi menghadap Ilahi. Ayah redha dengan qada’ Allah.

Kamu tidak perlu berasa menyesal kerana ayah mendermanya dengan hati yang ikhlas. Ayah ingin lihat kamu berjaya kelak. Ayah tahu selama 11 tahun ini, kamu pasti ada rasa marah, benci, dan tidak puas hati dengan ayah. Ingatlah bahawa ayah marah kamu kerana ayah sayang kamu. Ayah mahu menyedarkan kamu.

Kamulah satu-satunya permata hati ibu dan ayah. Ayah ingin kamu menjalani kehidupan seperti kanak-kanak yang lain. Janji dengan ayah bahawa kamu akan menjaga dan hormat ibu. Capai impian kamu. Jadilah hamba yang taat kepada Allah.

Maafkan ayah jika ayah tidak dapat menjadi bapa yang sempurna di mata kamu. Ayah sayang kamu.

Daripada ayahmu,

Zack.


Aira menangis semahu-mahunya dipangkuan ibunya selepas membaca surat itu. Tika itu, dia berasa amat berdosa terhadap ayahnya. Puan Haiza memeluk erat anaknya. Dia faham perasaan anaknya yang telah kehilangan seorang bapa pada usia muda.

Selama ini, Aira sering meninggikan suara dan tidak hormat ayahnya. Dia berasa amat menyesal dengan perbuatannya itu.

Pengorbanan Encik Zack menyedarkan Aira. Aira ingin buktikan kepada ayahnya bahawa dia boleh mencapai impiannya.

Ayah adalah seorang insan yang istimewa. Jasa seorang ayah tiada tolok bandingnya. Hormatilah ibu bapa kita selagi mereka masih ada. Jangan menyesal di kemudian hari.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: