Certot

Super Papa!

Hasil nukilan Azim Hakimi 2 years agoSuperhero 9

             

“Papa, kali ini sahaja. Masakan papa asyik sibuk sahaja,” Safra Raniya memujuk papanya, Datuk Azhar dalam talian komunikasi.

“Papa kata tidak boleh! Papa sibuk sekarang, banyak urusan yang masih belum selesai. Begini, kamu beli sahaja apa yang kamu mahu di kedai buku, papa berikan kad kredit. Safra pergi sahaja dengan Mak Ani,” Datuk Azhar menenangkan puterinya itu.

“Tetapi….” Belum sempat Safra meneruskan pujukannya, Datuk Azhar terus mematikan telefon.

‘Maafkan papa,’ getus Datuk Azhar.

“Papa tiada masa untuk Safra, mama,” Safra mengeluh sambil menatap wajah arwah ibunya, Datin Safrina pada bingkai gambar. Safra menangis teresak-esak.

“Mama, jikalau mama ada, mama akan sayang Safra, kan?” Safra masih tidak dapat berhenti daripada menangis.

*****

Di sekolah….

“Safra! Ada berita tergempak!” Suara Ayu, rakan sejati Safra memanggilnya.

“Berita apa? Gempak sangatkah?” Safra hairan.

“Ikut saya sekarang.” Ayu menarik tangan Safra.

“Pergi mana?” tanya Safra.

“Papan kenyataan,” balas Ayu ringkas.

*****

 

“Pertandingan kasut roda bersama Super Papa. Super Papa?” Safra melihat sebuah poster gergasi di papan kenyataan.

“Ya, Super Papa. Kita akan berganding bersama ayah masing-masing dalam perlumbaan!” jelas Ayu.

“Tetapi… saya tidak mahu sertailah.” Safra berlalu pergi dengan selamba.

“Mengapa?” Ayu mengejar Safra dan menyekat kemaraan Safra.

“Papa saya sentiasa sibuk dengan kerjanya, tiada masa untuk saya.” Safra sedih.

“Saya juga tidaklah terlalu pandai bermain kasut roda,”  sambung Safra.

“Pujuk sahajalah papa awak,” kata Ayu.

“Walaupun sudah dipujuk, ayah saya tetap tidak boleh melepaskan diri dari kerjanya. Saya memang mahu masuk!” kata Safra.

“Baiklah, mari kita kembali ke kelas. Selepas ini matapelajaran Bahasa Malaysia, maksudnya….” Ayu teragak-teragak.

“Cikgu Maimunah!” Safra terus berlari.

“Safra, tunggu!” Ayu bergegas ke kelas.

Mereka berlari sepantas mungkin. Satu per satu anak tangga didaki. Namun, malang tidak berbau. Cikgu Maimunah telah tiba di kelas 6 Arif terlebih dahulu.

“Safra Datuk Azhar! Ayu Tan Sri Ayman! Kenapa kamu lambat? Berdiri di luar kelas selama 15 minit sekarang!” marah Cikgu Maimunah.

“Maafkan kami, cikgu. Kami ke papan kenyataan utama.” Safra teragak-agak.

“Saya tidak kira, berdiri di luar kelas sekarang!” Begitulah Cikgu Maimunah, jika dikata A, A lah jawapannya.

“Baik cikgu,” balas Safra dan Ayu ringkas.     

15 minit kemudian.

“Safra, Ayu! Masuk sekarang!” panggil Cikgu Maimunah.

“Terima kasih, cikgu.” Ayu dan Safra masuk ke kelas semula.

“Ambil kertas ini dan buat karangan bertajuk Ayah Hero Saya. Hantar karangan ini pada saya esok.” Cikgu Maimunah menghulurkan dua helai kertas kepada mereka.

“Baik cikgu, terima kasih,” ucap Safra. Mereka berdua kembali ke tempat duduk masing-masing.

‘Alamak, saya tidak tahu apa mahu tulis! Kenapa saya tidak boleh berimaginasi bahawa papa saya adalah hero saya.’ Safra bingung.

“Ayu,” Safra memanggil Ayu dengan suara bisikan.

“Kenapa?” tanya Ayu yang fokus menulis karangan.

Kring!

Loceng berdering menandakan waktu persekolahan sudah tamat. Bahasa Malaysia merupakan subjek terakhir pada hari tersebut. Cikgu Maimunah bangun dan melangkah keluar dari kelas 6 Arif.

*****

“Ayu, teruskan! Awak boleh! Laju lagi!” Ayu melaung kepada Safra yang sedang berlatih kasut roda di padang.

“Ya, lihat ini!” Safra membuat gaya pusingan.

“Wow! Marvelous! Awesome! Super!” Ayu tergamam.

“Hebat? Yang tadi itu hanya biasa-biasa sahaja,” kata Safra bergerak perlahan mendekati Ayu.

“Wah, awak pasti akan menang! Pasti!” kata Ayu teruja.

“Bagaimana hendak menang? Masuk pun tidak.” Safra mengeluh.

“Apa? Tidak masuk? What? Why?” Ayu terkejut mendengar keluhan Safra gaya orang kecewa.

“Papa saya tidak mahu sertai, dia ada program pelantikan di Bangkok pada hari pertandingan itu,” Safra sedih. Air mata menitik.

“Awak perlu pujuk lagi, pasti boleh! Atau kita lancarkan rancangan A,” kata Ayu.

“Saya akan pujuk papa saya. Jika papa saya berkeras juga, saya akan call awak untuk rancangan kita. Tetapi apa rancanganya?” tanya Safra.

“Rancangannya….” Ayu berbisik.

*****

Di ruang tamu….

“Papa, kali ini sahaja! Please,” Safra memujuk papanya.

“Tidak boleh!  Papa ada kerja,” kata Datuk Azhar, tegas.

“Papa, apa salahnya papa luangkan masa dengan Safra! Safra seperti… tiada papa,” kata Safra. Air mata mengalir di pipinya.

“Safra, papa kata tidak! Kamu fahamlah!” kata Datuk Azhar.

“Pertandingan ini adalah bakat Safra, please!” Safra masih tidak berputus asa.

“No!” tegas Datuk Azhar.

“Papa jahat,” Safra naik ke biliknya dengan tangisan.

“Papa tidak ajar Safra tinggikan suara,” tengking Datuk Azhar.

Safra masuk ke biliknya dan memeluk bantal busuknya. Dia menangis teresak-esak. Dia terlalu sedih dengann keputusan papanya.

“Mama. Papa bukan superhero saya. Papa gagal menunaikan janjinya pada mama untuk jadi superhero kepada Safra.  Setiap hari seperti ada orang ikut Safra,” kata Safra menatap gambar mamanya.

“Assalamualaikum Ayu, kita lancarkan rancangan A!” Safra menghantar mesej ringkas kepada Ayu.

‘Baiklah, rancangan kita bermula…..

*****

“Kenapa kamu berdua asyik ikut abang?” tanya Abang Faizal. Lelaki 35 tahun yang masih belum kahwin.

“Kami tidak minta banyak, bolehkah abang menyamar menjadi papa Safra dalam pertandingan kasut roda nanti?” tanya Ayu garang.

“Kalau abang menyamar, apa yang abang akan dapat?” Abang Faizal menggosok dagunya.

“Abang dapat ganjaran, kalau tentang duit abang jangan bimbang,” Safra memberi jaminan.

“Okey,” balas Abang Faizal ringkas.

“Okey? Betul?” tanya Ayu ingin mendapat kepastian.

“Okey, betul,” jawab Abang Faizal, selamba.

“Terima kasih, abang!” ucap Safra teruja.

“Cuma abang perlu usaha sedikit,” kata Safra.

“Beres. Semua okey!” Abang Faizal yakin. Safra dan Ayu memandang sesama sendiri dan tersengih.

*****

“Tolong! Tolong! Aaaaa! Safra, Ayu! Tolong hentikan benda ini!” teriak Abang Faizal ketakukan.  Dia dipaksa memakai kasut roda. Pada awalnya, Safra berniat mahu menerangkan satu per satu, namun Abang Faizal terlebih dahulu bergerak dan mula hilang kawalan.

“Ayu, habislah kita. Pertandingan sudah dekat.” Safra menepuk dahinya.

“Saya tidak tahu yang Abang Faizal seorang yang penakut,”  kata Ayu.

“Sewaktu hari pertandingan saya terpaksa menarik Abang Faizal, dia takut atau tidak saya perlu tarik juga kerana syarat pertandingan itu. Peserta dan ayahnya perlu tiba di garisan penamat bersama-sama,” jelas Safra.

*****

Hari pertandingan.

“Mana Abang Faizal? Katanya pukul 9.00, sekarang sudah pukul 10.00 pagi, pertandingan akan bermula 30 minit dari sekarang,” Safra risau.

Kring!

“Telefon Safra berdering.

“Apa? Abang tidak boleh datang? Tetapi….” Safra terkejut dengan kata-kata Abang Faizal. Abang Faizal terus meletak telefon.

“Ayu, sekarang bagaimana? Abang Faizal tidak dapat hadir kerana ada hal!” beritahu Safra.

“Awak jangan bimbang, awak teruskan pertandingan tanpa sesiapa, okey?” Ayu tenang dan rileks.

“Tetapi… baiklah jikalau awak sudah kata begitu.” Safra menurut sahaja rakannya.. Dia percaya tindakan rakannya itu.

30 minit kemudian….

‘Ke garisan sedia, mula! Kring!” bunyi wisel ditiup pengadil tanda perlumbaan sudah bermula! Safra memulakan pertandingan. Peserta lain bergerak laju bersama ayah masing-masing. Setakat ini, Safra bergerak laju di tempat kelima daripada 10 peserta.

Tiba-tiba….

“Aduh, sakitnya!” Safra tergelincir di selekoh tajam. Dia meraung kesakitan. Safra mellihat kelibat seseorang di belakangnya. Orang itu menghulurkan tangan kepadanya. Dia berpusing ke belakang perlahan-lahan.

“Papa!” teriak Safra.

“Bangun Safra, mari kita teruskan perlumbaan! Maafkan papa kerana tidak luangkan masa untuk kamu selama ini,” kata Datuk Azhar.

Mereka meneruskan perlumbaan dengan lajunya. Kaki Safra masih sakit, namun dia kuatkan hati untuk perlumbaan ini. Mereka kemudiannya menerajui perlumban dan menuju ke garisan penamat.

“Yeay, kita menang!” jerit Safra gembira.

“Alhamdulillah, Safra.” Datuk Azhar mengalirkan air mata.

“Papa, terima kasih!” ucap Safra.

“Safra, selama ini mungkin kamu rasa terabai, maafkan papa. Papa juga ada dengar aduan kamu diekori. Sebenarnya yang selalu mengekori kamu ialah pengawal papa yang sentiasa memastikan kamu selamat,” jelas Datuk Azhar.

“Saya juga mahu minta maaf, papa. Saya berkasar dengan papa.” Safra kesal.

“Papa, bagaimana dengan mesyuarat papa?” tanya Safra.

“Sewaktu di KLIA, papa mula sedar papa bersalah. Papa tahu Safra sayangkan papa. Papa mahu jadi superhero sebenar Safra,” kata Datuk Azhar.

“Papa sememangnya superhero saya, papa adalah papa saya dunia dan akhirat.” Safra memeluk Datuk Azhar.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: