Certot

Supermama dan Konspirasi Oxados

Hasil nukilan I-man 2 years agoSuperhero

         

 “Hai! Sudah lama awak semua tunggu?” Imran berkata kepada Umar, Muthu, dan kawan-kawannya yang lain. Mereka berjanji mahu berjumpa di tepi Tasik Cempaka tempat mereka sering bermain bersama.

“Sudah lama juga, sempatlah kami ‘mengumpat’ emak awak yang ada kuasa istimewa tempoh hari,” jawab Umar dalam nada bergurau.

“Oh, maafkan saya. Hmm… kalian mahu tahu cerita tentang kuasa rahsia emak saya? Tetapi ini rahsia kita bersama, kamu mesti menyimpannya. Janji?” Tawar Imran pula. Dia rasa bersalah atas kelewatannya petang itu. Kasut rodanyanya digigit anjing yang mencuri masuk ke dalam pagar rumahnya, lalu dia terpaksa menyamaknya terlebih dahulu. Syukur kasutnya itu kalis air permukaan luarnya. Meter digital yang boleh mengesan jarak larian oleh kasut itu juga masih berfungsi sempurna.

“Mahu! Kami berjanji tidak akan membocorkannya kepada sesiapa,” jawab mereka semua sehati sejiwa sambil menghulurkan tangan masing-masing kepada Imran tanda janji setia.

Segalanya bermula pada tarikh keramat dua puluh satu April 2003. Nenek Imran iaitu Puan Zahrah sedang kesakitan di Hospital Tengku Ampuan Musfirah. Sudah sebulan beliau berkampung di situ. Semua kakitangan wad bersalin Kenanga juga telah mengenalinya. Kandungannya yang kembar dua itu semakin lemah. Sering sahaja beliau mengalami kontraksi yang kuat tidak semena-mena. Walhal, kandungannya itu baru berusia enam bulan.

*****

Petang itu selepas solat asar, darah keluar membasahi kain batik yang dipakai Puan Zahrah. Mujurlah ada butang kecemasan di ruang solat wad itu. Beliau segera menekannya, lalu muncul jururawat bertudung biru laut menjenguknya.

“Ya Allah! Puan mengalami tumpah darah. Biar saya ambil kerusi roda dan panggil doktor ya.” Lalu secepat kilat, Puan Zahrah di sorongkan ke bilik bersalin untuk pemeriksaan selanjutnya.

Doktor Aisyah, iaitu pakar sakit puan yang bertugas berusaha memberhentikan tumpahan darah. Ujian ultrabunyi dilakukan untuk mengetahui keadaan kandungan Puan Zahrah. Bilik bersalin yang sejuk dan sunyi itu menjadi kalut seketika.

“Kami terpaksa buat pembedahan untuk menyelamatkan bayi puan sekarang juga. Keadaan kandungan sedang kritikal,” kata Doktor Aisyah kepada Puan Zahrah.

Dokumen persetujuan pembedahan segera disediakan, lalu Puan Zahrah terus sahaja menandatanganinya tanpa sempat membaca. Tiada yang lebih penting baginya melainkan nyawa kedua bayi kembarnya itu. Suaminya pula dimaklumkan menerusi panggilan telefon bimbit. Beliau sedang bertugas sebagai sukarelawan di Syria.

“Doktor buatlah apa cara pun asalkan anak saya selamat,” bisiknya kepada Doktor Aisyah.

“Baiklah puan, kita usahakan yang terbaik untuk puan dan bayi kembar ini.  Selebihnya kita berdoa dan bertawakkal kepada Allah,” balas doktor muda berkaca mata itu.

*****

Tidak sampai tiga puluh minit, Puan Zahrah telah dibiuskan lalu pembedahan kecemasan pun dimulakan.

“Puan, ucapkanlah dua kalimah syahadah dan beristighfar sebanyak-banyaknya. Pembedahan akan dimulakan sekarang,” kata Doktor Aisyah.

Puan Zahrah akur. Airmatanya mengalir perlahan. Dia teringat tuan gurunya yang meninggal selepas pembedahan di Amerika seminggu sebelumnya. Hatinya sedih dan takut. Mungkin juga ini adalah saat terakhirnya, walaupun masih banyak kekurangan amalnya di dunia.

Apabila bayi pertama berjaya dikeluarkan dari rahim Puan Zahrah, Doktor Aisyah terkedu. Bayi lelaki comel yang sempurna sifatnya itu tidak menangis dan kaku. Sejurus kemudian, bayi kedua lahir ke dunia. Keadaan bayi perempuan itu lemah, tetapi lebih baik daripada bayi pertama. Dengan segera bayi itu diberi rawatan kecemasan. Doktor kanak-kanak yang bertugas iaitu Doktor Yasin terus sahaja melaungkan azan dan iqamat yang merdu. Suasana bilik pembedahan yang sunyi itu bertukar menjadi sayu.

“Puan dapat anak perempuan!” ujar Doktor Aisyah kepada Puan Zahrah. Dia tidak sampai hati memberitahu keadaan bayi lelaki.

“Ain! Hiduplah bahagia bersama ayahmu. Jadilah srikandi agama apabila besar nanti.” Itulah kata-kata terakhir Puan Zahrah kepada bayinya. Pendarahan yang dialaminya itu semakin serius, lalu dia gagal diselamatkan.

*****

Tiga puluh tahun berlalu.

Suatu petang sabtu, Ain membawa lapan orang anaknya membeli-belah di Pasaraya ECON bersama suaminya Muslim. Baru tujuh tahun mereka berkahwin. Kali pertama mengandung, dia melahirkan empat anak kembar perempuan. Setahun kemudian, dia melahirkan empat orang anak kembar lelaki pula.

“Ibu mahu beli apa di sini?” tanya Imran.

“Ibu mahu beli barang-barang keperluan rumah yang telah habis,” jawab Ain sambil tangannya kemas menolak troli yang masih kosong. Matanya pula sentiasa mengawasi pergerakan lapan orang anaknya yang masih kecil itu.

“Ibu, Imran hendak beli kasut roda itu!” teriak Imran sambil menunjuk ke arah kedai mainan di sebelah kanan mereka .

“Lain kalilah kita beli, ibu pun tidak cukup duit ini! Imran bersabar dan berdoalah. Semoga Allah menunaikan hajat Imran itu,” jawab Ain. Bukan mudah baginya menunaikan hajat setiap anak. Dia perlu bersikap adil. Jika seorang dibelikan hadiah, yang lain juga perlu diberikan sama. Pasti banyak belanjanya.

Mendengar kata-kata ibunya, Imran terus menadah tangan berdoa. “Ya Allah, ya Razzaq! Kau kurniakanlah kasut roda itu kepadaku.”

*****

Di Taman Cempaka terdapat dataran luas yang baru sebulan siap diubahsuai. Ramai kanak-kanak bermain kasut roda di situ. Dia juga mahu bermain bersama kawan-kawannya.

Tanpa disedari, seorang wanita cina berbaju kurung coklat cair telah mendengar doa Imran lalu menghampiri Ain.

“Puan, saya Mei Ling. Bolehkah saya hadiahkan anak-anak puan kasut roda itu? Saya sebenarnya tiada anak walaupun sudah lapan tahun saya berkahwin.”

Ain pun tersenyum dan menjawab ringkas. “MasyaAllah, puan sungguh baik hati. Sudah tentu boleh!”

Mei Ling pun mengajak kesemua lapan orang anak Ain mencuba dan membelikan kasut roda yang mereka sukai di kedai mainan itu. Hampir sejam mereka menghabiskan masa memilihnya bersama. Mei Ling melayan karenah mereka dengan penuh kasih sayang dan gembira. Setelah Mei Ling selesai membuat bayaran, Ain dan anak-anaknya bersalaman serta mengucapkan terima kasih kepadanya.

Selepas empat minit berjalan, mereka masuk ke kedai aiskrim berhampiran untuk menghilangkan penat dan dahaga. Sambil duduk menunggu pesanan, Ain mengingatkan anaknya tentang doa Imran tadi.

“Nampak apa yang baru terjadi? Jika kita impikan sesuatu, mintalah daripada Allah. Dialah Yang Maha Mendengar segala permintaan kita!”

Dari jauh, kelihatan Mei Ling sedang berjalan berseorangan. Tanpa sedar, seorang pemuda bermuka masam dan berseluar jean biru sedang mengekorinya. Dengan pantas, beg tangan kulit hitam kepunyaan Mei Ling diragut, lalu Mei Ling terjatuh ditolaknya. Sepantas kilat, pemuda tadi hilang dari pandangan.

Melihat kejadian itu, Ain menjadi naik darah. Tanpa kawalan, matanya tiba-tiba bersinar seperti kuasa mata helang untuk mencari peragut itu. Selepas lokasi persembunyiannya berjaya di kesan melalui pandangan infra merah, Ain pun berlari memecut dengan kelajuan 60km sejam. Ain berjaya mendapatkan peragut itu yang baru sahaja keluar dari pagar pasaraya lalu menendang jatuh kakinya. Beg tangan Mei Ling kini berada di tangan Ain.

Peragut itu kemudiannya mengacukan pistol ke arah Ain. Sesaat kemudian, pistol itu melayang ke tangan Ain lalu hancur digenggamnya. Peragut itu pucat kehairanan.

“B… b… bagaimana pistol aku boleh ada di tangan kau?” katanya tergagap-gagap.

“Wallahua’lam! Hanya Allahyang tahu!” jawab Ain bersahaja, sambil mendail nombor kecemasan polis dengan telefon bimbitnya.

Melihat kekecohan yang berlaku, dua orang pengawal keselamatan pun datang lalu merangkul kemas tangan peragut itu. Tiga orang polis segera tiba di tempat kejadian. Peragut itu digari

Seorang dari polis itu mendekati Ain untuk mengambil kenyataan.

“Ain?” Polis tersebut terkejut melihat wanita yang telah berjaya memberkas peragut itu.

“Sofia?” Ain hampir berteriak melihat wajah kawan lamanya yang lebih dua puluh tahun tidak ditemuinya. Hanya Sofia yang mengetahui kuasa rahsia Ain itu.

Sambil memandang kepada peragut itu, Sofia pun berbisik, “Sebenarnya dialah orang yang mencipta cecair Hormon Oxados iaitu cecair yang disuntik kepada awak semasa masih bayi. Namanya Doktor John. Hormon itu dicipta olehnya di sebuah makmal peribadi di Amerika. Dia datang ke Malaysia untuk mencari subjek yang sesuai untuk diujikaji. Cecair itu telah pun dilarang untuk diujikaji di Amerika. Di Malaysia, dia bekerja sebagai pembantu Doktor Yasin bagi menjalankan misi rahsianya. Awaklah satu-satunya bayi yang menerima suntikan Hormon Oxados itu, kerana dilahirkan tidak cukup bulan.”

Sofia menambah lagi, “Doktor John mahu mengkaji sama ada hormon ciptaannya itu mampu merpercepatkan tumbesaran manusia atau tidak. Setelah rahsianya menggunakan Hormon Oxados yang terlarang itu terbongkar, dia dibuang kerja. Akhirnya Doktor John menjadi tertekan, lalu mencipta sejenis lagi hormon yang menjadikannya awet muda. Disebabkan tiada pekerjaan untuk menampung hidupnya, dia mula menjadi pencuri dan peragut. Syukurlah ada kuasa kamu. Hormon Oxados telah memakan diri penciptanya!”

Rupa-rupanya Sofia yang merupakan anak Doktor Aisyah telah mengetahui segalanya tentang sejarah kelahiran dan punca kuasa rahsianya. Barulah Ain faham semuanya sekarang. Mungkin kesan Hormon Oxados juga yang menyebabkannya mengandung kembar empat!

Selepas semua urusan selesai, Ain segera kembali mendapatkan keluarganya. Melihat wajah isterinya yang tersenyum ceria, Muslim bertanya, “Dapat tangkap?”

“Dapat, alhamdulillah!” sambil memulangkan beg tangan kepada Mei Ling yang sejak tadi menunggu di situ bersama anak-anaknya.

“Terima kasih, Ain. Kamu telah bersusah payah menolong saya,” kata Mei Ling gembira sambil memeriksa beg tangannya itu.

“Tidak mengapa, mak cik. Budi yang baik dibalas baik!” jawab Imran membuatkan mereka semua tertawa.

Di Taman Tasik Cempaka, Imran dan kawan-kawannya mula bermain kasut roda.

“Bagaimana? Hebatkah cerita emak saya? Seperti kisah superhero, bukan?” tanya Imran sambil tersenyum.

“Untunglah awak, ada supermama!” jawab Umar lalu disambut dengan gelak ketawa mereka bersama.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: