Certot

Superhero Itu Ayahku!

Hasil nukilan Krystal Zafirah 2 years agoSuperhero 24

“Identiti Hiroman masih menjadi tanda tanya sehingga kini. Apa pun, kita terhutang budi pada Hiroman kerana dengan kemunculannya sejak minggu lalu, kes-kes jenayah sudah semakin berkurangan di Kuala Lumpur”

Tap!

Alif menukar ke siaran lain. Malas mahu mendengar berita yang membosankan itu. Dia lebih rela menonton rancangan memasak daripada terpaksa menghadap wajah pemberita yang serius dan tidak berperasaan itu.

“Along, kenapa tukar? Adik nak tengoklah!” marah Mimi yang sedang asyik mengunyah keropok berperisa jagung yang dibelinya. 

Alif menayang muka selamba. Keropok di tangan adiknya dirampas kemudian dimasukkan ke dalam mulutnya tanpa mempedulikan pandangan Mimi yang tajam itu. 

“Apa yang adik nak tengok? Bukannya ada yang penting pun. Setiap hari, Hiroman, Hiroman, Hiroman.” 

“Huh! Malaslah cakap dengan along!” 

Mimi terus mendekati ayahnya yang sedang membaca surat khabar. Dia mengambil tempat di sebelah ayahnya. 

“Ayah rasa kan, Hiroman itu manusiakah?” tanya Mimi sambil memandang ke atas. Seolah-olah membayangkan sesuatu. Membayangkan wajah sebenar Hiroman mungkin.

Encik Azmi tersentak. Dia melipat surat khabar yang dibacanya lalu diletakkan di atas meja. Cermin matanya dibetulkan kedudukannya. “Mestilah manusia.” 

“Mimi teringin nak lihat wajah sebenar Hiroman!” 

Encik Azmi tersenyum penuh makna.

“Nanti ayah bawa Mimi jumpa Hiroman.”

Mata Mimi terbuntang luas. “Betulkah, ayah? Wah, seronoknya! Mimi nak berbual panjang dengan dia. Mimi nak suruh dia ajar Mimi cara nak lawan orang jahat.” Mata Mimi bersinar seolah-olah terlihat wang berjumlah satu juta di hadapannya.

Encik Azmi tersenyum lagi.

*****

“Mimi dah bersedia?”

Mimi mengangguk laju. Hari itu, dia mengenakan gaun berwarna merah jambu yang diberi oleh sepupunya ketika hari jadinya yang kelapan. Dia juga menggayakan rambutnya dengan comel sekali. Semuanya kerana hendak berjumpa dengan Hiroman.

“Jom!” Encik Azmi menghidupkan enjin.

“Jom!” Mimi menjulang penumbuknya ke udara. 

Encik Azmi sekadar ketawa kecil.

*****

“Kita nak buat apa kat sini?”

Mimi memandang sekeliling. Hairan. Kenapa ayah membawanya ke sini?

“Hiroman tinggal di sini,” terang Encik Azmi sambil memegang tangan anak bongsunya itu. Senyuman penuh makna masih tertampal pada bibirnya. Namun Mimi tidak menyedari akan senyuman ayahnya yang pelik itu.

Mimi sekadar mengangguk walaupun dia berasa sedikit curiga.

“Jom masuk!”

Encik Azmi mengetuk pintu rumah teres itu diselangi dengan memberi salam. Setelah beberapa ketika menunggu, keluar seorang lelaki dalam lingkungan umur 40-an. Melihatkan tetamunya, lelaki itu tersenyum lebar. 

“Eh, Azmi! Masuklah.”

*****

“Pak cik ni Hiromankah?” tanya Mimi sambil menghirup air teh yang dihidang.

Serta-merta Pak Cik Hadi tergelak besar. Diikuti dengan Encik Azmi. Mimi hanya mampu memandang dengan penuh hairan dan tanda tanya.

“Kamu nak tahu siapa Hiroman?” tanya Pak Cik Hadi.

Mimi mengangguk laju. “Nak sangat! Mimi nak jumpa Hiroman! Mana dia, pak cik?” dia bertanya. Tidak sabar-sabar hendak bertemu dengan hero pujaannya.

“Jangan terkejut pula,” tambah Pak Cik Hadi. Sengaja ingin melengah-lengahkan masa. Suka melihat Mimi yang sudah tidak betah menunggu itu.

“Kenapa pula Mimi nak terkejut?” Hairan dia dibuatnya.

“Hiroman sedang duduk di hadapan kamu sekarang ini.”

Mata Mimi terbuntang luas. Buat beberapa saat, dia kaku.

“Ayah?”

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: