Certot

Super Gamer Itu Ibuku

Hasil nukilan Afia 10 months agoSuperhero

“Zaid! Zaid! turun sekarang, makan malam sudah siap,” jerit Puan Maryam sambil mencuci pinggan mangkuk di dapur.

Selepas selesai membasuh pinggan, Puan Maryam melihat makanan di atas meja masih utuh, belum di sentuh.

‘Ke mana budak Zaid, selalu panggil makan cepat sahaja turun,’ kata Puan Maryam dalam hati.

“Zaid! Zaid!” seru Puan Maryam lagi.

Sunyi sepi, tiada bunyi menyahut dari bilik Zaid yang berada di tingkat dua rumah itu. Tidak sabar dengan keadaan itu, Puan Maryam pun naik ke tingkat atas untuk memeriksa bilik anaknya Zaid.

Sesampainya di depan bilik Zaid, Puan Maryam melihat di sekeliling bilik Zaid yang berselerak bagai tongkang pecah, dengan stokin dan baju kotornya bertimbun di atas lantai. Keadaan katil yang tidak terurus, buku-buku di merata-rata tempat dan barang mainan yang bersepah di setiap penjuru biliknya.

‘Zaid, zaid… apa mahu jadi dengan kamu?’ kata Puan Maryam dalam hati.

‘Tadi rasanya dia ada, tidak keluar ke mana-mana,’ detik hati Puan Maryam.

Puan Maryam telah memanggil Zaid untuk makan malam sejak setengah jam yang lalu. Tetapi kelibatnya pun tidak kelihatan. Di mana dia berada? Puan Maryam melihat di bawah katil, tetapi tiada ruang untuk menyorok di situ kerana penuh dengan longgokkan mainan dan buku-buku. Kemudian, Puan Maryam menjenguk-jenguk ke luar tingkap, kalau-kalau Zaid keluar bermain dengan kawan-kawannya di taman permainan di hadapan rumah mereka. Tetap juga Zaid tiada di sana.

Ketika dia menarik kepalanya ke dalam semula Puan Maryam terperasan komputer Zaid tidak di matikan. Komputer Zaid itu mengeluarkan bunyi yang sangat bising! Dia melihat ke arah skrin komputer tersebut. Puan Maryam sangat terkejut, dia seakan tidak percaya melihat Zaid berada di sana di skrin komputer.

Zaid berada dalam permainan komputer. Dia sedang berdiri di dalam gelanggang tinju dan dikelilingi penonton-penonton yang sedang bersorak dengan bisingnya. Dia sedang berdepan dengan juara tinju sedunia yang bersedia untuk berlawan dengan Zaid.

“Astaghfirullah!” jerit Puan Maryam sambil menekup mulutnya.

“Saya harus menyelamatkan Zaid,” kata Puan Maryam dan matanya melihat ke arah keyboard di atas meja. Lalu, Puan Maryam menekan butang ‘Enter’ yang bersinar merah. Tidak semena-mena bilik Zaid pudar perlahan-lahan dan….

Ting!

Kemudian, Puan Maryam mendapati dirinya berdepan dengan juara peninju sedunia di dalam gelenggang tinju. Tanpa berlengah, Puan Maryam terus berjalan ke arah peninju itu dan memukul peninju tersebut dengan beg tangannya.

“Dia bukan lawanmu!” marah Puan Maryam dengan muka yang bengis.

Penonton-penonton yang berada di dalam dewan sukan itu bersorak dengan lebih kuat menyebabkan suasana lebih bising lagi. Puan Maryam segera menarik tangan Zaid dan membawanya keluar. Apabila keluar dari permainan tinju itu, mereka berjalan menuju ke hutan. Serta merta mereka mengetahui mereka berada di dalam permainan komputer yang baru.

“Belakang ibu, belakang ibu!” jerit Zaid memberitahu ibunya.

Zaid ternampak seekor gorila besar sedang berjalan dengan laju di belakang mereka. Puan Maryam tergesa-gesa menyelongkar barang-barang di dalam beg tangannya. Kemudian, Puan Maryam mengeluarkan satu persatu barang-barang di dalamnya seperti sehelai sapu tangan, selonggok kunci, satu buku nota, sebatang pen, dan lain-lain sehingga akhirnya Puan Maryam menemui sesuatu yang sesuai.

“Haaa… ini yang ibu cari,” kata Puan Maryam tersenyum. Dia mengeluarkan kulit pisang yang sudah agak berbau. Selepas itu, dia mencampakkan kulit pisang tersebut ke laluan gorila itu.

Kemudian, gorila itu jatuh tergelincir lalu meluncur ke dewan sukan. Gorila tersebut bangkit dan menunjukkan muka yang menggerunkan. Zaid dapat membayangkan bagaimana gorila itu akan berlawan dengan juara tinju sedunia .

Tiba-tiba seluruh ruangan berubah sekali lagi. Sekarang mereka melihat sebuah istana tersergam indah di hadapan mereka .

“Rasanya di sini selamat,” kata Zaid kepada Puan Maryam. Tiba-tiba ada api menyambar mereka dari belakang.

Rupa-rupanya api tersebut datang dari naga berapi yang sedang berlawan dengan pahlawan istana. Sepantas kilat Puan Maryam dan Zaid berlari menyelamatkan diri. Kemudian mereka menyorok di belakang tembok istana tersebut. Tetapi masih tidak selamat kerana terdapat beberapa ekor ular berkeliaran di halaman belakang istana tersebut, tempat di mana Puan Maryam dan Zaid menyorok. Dengan pantas, Puan Maryam mengeluarkan sebuah tukul besi dari dalam beg tangannya dan mengetuk kesemua ular tersebut sehingga mati.

“Kita mesti keluar dari sini,” kata Puan Maryam bersemangat.

“Bagaimana?” tanya Zaid kepada ibunya.

“Mesti ada jalan keluar,” balas Puan Maryam lagi.

Mereka cuba mencari jalan keluar dan tiba-tiba Zaid terjumpa sebuah komputer purba.

“Ibu, Zaid rasa kita boleh keluar guna komputer itu,” terang Zaid bersungguh-sungguh sambil tangannya menunjuk ke arah komputer purba di hadapan mereka.

Dengan segera, mereka berlari menuju ke komputer tersebut dan Zaid menekan butang ESCAPE yang bersinar emas. Perlahan-lahan keadaan sekeliling berubah, kini Puan Maryam dan Zaid kembali ke alam realiti iaitu di dalam bilik Zaid.

“Fuhh… perjalanan yang sungguh mencabar,” kata Zaid yang terduduk di kerusi melepas lelah.

“Sudah, sudah… ibu tidak mahu Zaid main lagi permainan itu,” perintah Puan Maryam tegas.

“Ala… ibu.” Muncung mulut Zaid mendengar perintah ibunya.

“Tetapi, ibu hebatlah seperti superhero.” Gelak Zaid sambil menekan perutnya menahan lucu.

“Ibu hebat, ibu superhero,” kata Puan Maryam tersenyum simpul.

“Sudah, mari makan,” kata Puan Maryam lagi. Kemudian, kedua-dua ibu dan anak itu turun ke ruang makan menikmati makan malam bersama.

 

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: