Certot

Super Papa!

Hasil nukilan Danial 2 years agoSuperhero 72

Jam loceng hijau milikku mula memecahkan suasana pagi yang indah dengan bunyi dan deringannya yang mengejutkan lamunan mimpiku. Aku membuka mata walaupun berat benar mata ini mahu dibuka seawal jam 8.00 pagi. Sinaran matahari mula menyinari segenap ruang bilikku.

“Argh, dah terlambat! Hari ini kan nak memancing dengan papa,” kataku tatkala terlambat bangun daripada tidur.  

Aku terus mengambil tuala dan meluru ke tandas dalam terburu-buru. Selepas itu, aku memilih T-shirt bercorak belang bersama seluar tracksuit untuk dipakai. Aku turun ke bawah untuk bersarapan sebelum memulakan aktiviti bersama superheroku.

“Danial, tolong mama hidangkan sarapan,” pinta mama.

Aku pergi ke dapur untuk membantu ibuku menghidangkan sarapan pagi yang dapat menaikkan selera. Aku mestilah membantu ibu sebagai seorang anak yang baik dan rajin. Mama sedang membancuh teh tatkala aku membawa beberapa pinggan kaca ke meja makan. Suasana pagi yang suram mula ceria apabila ayahku mula menampakkan dirinya. Papa sudah bersedia dengan pakaian riadahnya yang serba lengkap.

“Wah, sedapnya bau! Mesti sedap sarapan kali ni,” gurau papa.

Mama hanya tersenyum bangga tatkala dipuji papa. Kami menikmati sepinggan nasi lemak bersama ayam goreng berempah yang penuh rasanya. Teh manis buatan mama diminum apabila tekak mula kekeringan. Selepas menikmati hidangan pagi yang penuh dengan karbohidrat dan lemak, aku membuka pintu rumah yang bercat coklat dan menaiki kereta ayah. Mama telah membekalkan kami dengan sebekas nasi berlauk setiap seorang bersama beberapa botol air mineral untuk bekalan di hutan yang diselimuti dengan flora dan fauna. 

*****

Perjalanan kami yang berlandskapkan tumbuhan hijau mengambil masa selama satu jam. Setibanya di kawasan memancing, beberapa pengunjung lain sudah mula memancing. Ada antara mereka yang memenuhkan baldi dengan pelbagai hasil tangkapan. Aku memasang umpan pada joran dengan bantuan papa yang baik hati. Aku mencampakkan joran ke dalam sungai dan mula menunggu.

 “Papa, I’m getting bored already. I’m waiting here for almost an hour, but tak ada ikan pun,”     rungutku kebosanan.

“Sabarlah. Kalau ikan tak takut mati, dah lama penuh joran Danial dengan ikan,” nasihat papa.

Ketika kami menunggu ikan memakan umpan, sambil berehat di bawah pokok, aku terdengar bunyi samar-samar seseorang menjerit meminta tolong. Aku tidak mengendahkan bunyi tersebut, tetapi lama-kelamaan bunyi itu semakin kuat. Tiba-tiba, kami terlihat seorang budak terjatuh ke dalam sungai yang dalam. Tanpa membuang masa, papa terus terjun ke bahagian sungai yang dalam itu bagi membantu budak malang itu. Aksi berani ayah itu membuatkan aku berasa bangga mendapat ayah ‘superhero’ seperti papa. Aku terus pergi ke sana untuk membantu apa yang perlu.

Nasib baik kami sempat membantu budak itu tepat pada masanya. Sebaik sahaja budak itu diselamatkan, ayahnya sampai dan bersyukur kerana anaknya selamat. Dia dan pengunjung yang lain berterima kasih dan berbangga dengan tindakan pantas papa walaupun mereka tidak dapat membantu. 

Kami pulang apabila siang mahu menutup tirainya. Aku masih terbayang tindakan berani ayah walaupun ia telah berlalu beberapa jam lepas. Aku berazam mahu menjadi seperti papa.

  “I want to be like my superhero one day,” kata hatiku girang.

  

  

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: