Certot

Super Mama Penyelamatku

Hasil nukilan Kaelyn 1 year agoSuperhero

             

Amirul   seorang yang lembut seperti perempuan. Dia selalu dibuli oleh rakan-rakannya. Amirul   seperti mahu menangis   sahaja kerana diejek.

      “Amirul sotong! Amirul lembut!” kata Alimi dan rakan-rakannya sambil ketawa berdekah-dekah.

Amirul juga disuruh untuk membuat kerja sekolah mereka semua. Tetapi Amirul tetap tabah bagi  menghadapi semuanya walaupun dia tahu sabarnya tidaklah lama. Amirul selalu mengadu kepada mamanya.  

Namun  setiap kali dia mengadu, mesti mamanya berkata, “Amirul kena banyak bersabar dengan sikap rakan-rakan Amirul. Mama percaya suatu hari nanti mereka tidak akan mengejek Amirul lagi. Amirul sekarang sudah tahun enam. Tidak lama lagi,  Amirul akan menghadapi peperiksaan besar iaitu Ujian Pentaksiran Sekolah Rendah [UPSR]. Jadi mama mahu Amirul tekun belajar dan tidak menghiraukan segala ejekan di sekolah. Kerja sekolah rakan-rakan Amirul itu, Amirul jadikanlah sebagai latihan. Mama tahu Amirul seorang yang pandai dan baik hati.”

    Amirul hanya mengangguk. Mulai pada hari itu, jika rakannya mengejek dan menyuruhnya membuat kerja sekolah, dia akan sentiasa ingat kata-kata emaknya dan bersabar. 

*****

Suatu hari, Amirul sudah tidak boleh bersabar lagi. Pulang dari sekolah, dia terus mendapatkan Puan Zafira dengan kemarahan seperti gunung berapi yang mahu meletup. 

Puan Zafira terkejut melihat anaknya seperti itu kerana selalunya anaknya hanyalah menangis. Amirul pun meluahkan segala yang terbuku di hatinya kepada mamanya dengan kemarahan yang meluap-luap. Tiba-tiba dia berhenti bercakap lalu menangis. Puan Zafira yang melihatnya hanya membiarkan Amirul sebegitu. 

Dalam pada masa yang sama, dia menahan gelak kerana daripada seperti gunung berapi yang hendak meletup tiba-tiba seperti ais yang disimbah air. Beberapa minit kemudian,  Amirul berhenti menangis dan senyap. Puan Zafira pun mengambil peluang untuk bercakap dengan Amirul sambil memikirkan kata-kata yang sesuai untuk anak lelakinya yang seorang itu.

      “Amirul, mama sudah buat keputusan yang mama akan merubah Amirul menjadi seorang lelaki yang gagah,” kata Puan Zafira.

      “Yeay!” jerit Amirul seperti perempuan. “Mama ambillah cuti bulan Ogos ini sebab Amirul cuti dua minggu,” kata Amirul.

      “Baiklah, janji kamu tidak jadi seperti tadi lagi. Jadi kamu setujulah, ya,” kata Puan zafira.

      “Setuju!!”

 

                        *****

  Cuti pada bulan Ogos pun bermula. Hari pertama, mama Amirul menyuruhnya membuat tekan tubi. Amirul menyilangkan kakinya seperti perempuan lalu memulakan tekan tubinya. Belum sempat Amirul membuat tekan tubi,  mamanya menyuruh Amirul bangun. 

      “Kenapa Amirul buat tekan tubi perempuan?” tanya Puan Zafira.

      “Amirul tidak biasalah buat tekan tubi lelaki,” kata Amirul.
       

      “Mama mahu Amirul buat tekan tubi lelaki. Mula sekarang!” kata   Puan Zahira tegas.

Amirul pun melakukannya dengan terkulat-kulat. Hari seterusnya pula dia disuruh berkawad dan berjoging. Amirul seperti hendak menangis apabila mamanya menyuruh dia berkawad. Badannya pula perlulah tegak. Tidak boleh seperti perempuan.

      ‘Huh, seksa juga mahu jadi lelaki yang gagah,’ kata Amirul dalam hati.

  Pada hari seterusnya, dia disuruh membuat perkara yang sama. Hari Sabtu dan Ahad pula dia perlu mengulang kaji pelajaran. Cuti lagi seminggu, Puan Zafira memberinya rehat.

                            *****

        Pada hari Isnin, Amirul pergi sekolah. Dia sampai lambat sedikit kerana terbangun lewat. Tetapi nasibnya baik kerana hujan. Apabila hujan, sekolah mereka tiada perhimpunan. Jadi Amirul terus menuju ke kelas. Sampai sahaja di kelas, rakan-rakannya seperti tidak percaya kerana Amirul berjalan seperti seorang lelaki gagah. Bukan seperti sebelum-sebelum ini. 

Bermula hari itu, semua orang tidak mengejeknya lagi malah memberi pujian kepadanya. Rakan-rakannnya juga tidak menyuruh Amirul membuat kerja sekolah mereka lagi. Semua orang mula berkawan dengan Amirul dan belajar bersama -ama dengannya. Amirul amat berterima kasih kepada mamanya kerana telah merubah segala-galanya. Amirul sedar tanpa mamanya,  mesti dia masih akan menjadi bahan ejekan rakan-rakannya. 

Amirul berkata dalam hati, ‘Terima kasih, mama. Engkaulah superheroku!’

 

 

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: