Certot

Super H Bertindak!

Hasil nukilan Bella Haruno 1 year agoSuperhero

Hadi mengenakan jam tangan berwarna biru gelap. Dia tersenyum melihat jam tangan itu. Ramai tidak tahu bahawa jam itu sebenarnya adalah jam kuasa yang dihadiahi oleh seorang nenek yang pernah ditolongnya dahulu.

    Semuanya bermula apabila Hadi sedang dalam perjalanan pulang ke rumah. Kebetulan, seorang nenek sedang membawa banyak barang yang dibeli di pasar seperti sayur-sayuran, ayam, ikan, santan, dan buah-buahan sambil menunggu lampu isyarat bertukar menjadi merah. Kasihan melihat nasibnya, Hadi menawarkan diri membantunya mengangkat barang-barang tersebut dan melintasi jalan bersamanya. Mereka berjalan sehingga ke rumahnya. Sebagai ganjaran, dia diberikan jam tangan dan cermin mata tanpa power. Jam tangan itu membolehkannya mempunyai kelebihan kelajuan dan ketangkasan. Manakala cermin mata mempunyai kelebihan penglihatan X-ray dan penglihatan yang jelas pada waktu malam.

    “Kamu ini baik orangnya. Nenek yakin kamu mampu membanteras jenayah-jenayah dengan jam kuasa dan cermin mata ini. Ambillah, ya?” itulah pesanan terakhir nenek itu.

    Sejak hari itu, Hadi banyak menolong orang dan membanteras jenayah walaupun dalam keadaan menyamar. Sejak hari itu juga dia menggelarkan diri sebagai Super H. Biarlah orang tidak mengenalinya, asalkan mereka tahu seorang superhero sepertinya pasti datang membantu selalu, seperti superhero Batman, Spider Man, dan BoBoiBoy!

    Siap mengenakan uniform rasminya sendiri iaitu topeng mata, baju-T gelap, seluar jeans, dan jaket hoodie hitamnya, Hadi terus menyusup keluar melalui tingkap biliknya. Dia berjengket-jengket menjauhi rumah supaya tidak didengari ibu bapanya yang sedang nyenyak tidur.

    Hadi meronda-ronda kawasan taman perumahannya. Puas mencari, tiba-tiba tiada penjenayah yang berani beraksi malam ini. 

‘Mungkin hari ini tiada jenayah,’ fikir Hadi. Oleh itu, dia mengambil keputusan untuk terus balik ke rumah. 

Dalam perjalanan ke rumah, tiba-tiba dia ternampak dua orang lelaki yang mencurigakan berhenti di sebuah lorong kecil sambil tercungap-cungap mengambil nafas. Di tangan masing-masing terdapat beg yang besar seperti anak gajah.

    Hadi mengecam benar wajah mereka itu. Mereka berdua adalah perompak bersiri yang dikejar pihak polis. Sudah tiga bulan pihak polis mengejar mereka. Ternyata mereka berdua memang licik bersembunyi. Dia memasang penglihatan X-ray dan melihat kandungan beg itu. Seperti dijangka, mereka merompak banyak barang berharga dan duit. Dia memasang penglihatan malam pada cermin matanya supaya mudah dilihat. Maklumlah, sudah lewat malam. Tanpa membuang masa, Hadi terus meluru lalu menjerkah mereka.

    “Jangan bergerak! Hentikan rompakan ini!”

    Kedua-dua perompak itu terpandang-pandang sesama sendiri. Mereka hairan dengan kehadiran Hadi.

    “Hoi, budak! Berani betul kau! Apa yang kau boleh buat kalau kami terus merompak? Menangis?” Kedua-dua perompak tersebut berdekah-dekah ketawa.

    Hadi yang berang dengan kata-kata perompak itu sudah berasap telinga dan merah padam muka. Terus dia berlari dan menumbuk perut salah seorang perompak. Dengan sekali tumbukan, perompak malang itu terpelanting ke belakang!

Seorang lagi perompak itu terkesima. Dia tidak sanggup melihat kawannya tercedera.

“Hoi, budak! Berani kau! Rasakan akibat melawan kawan aku! Hiyargh!” jerkah perompak yang berang itu.

Perompak itu berlari menuju ke Hadi dengan buku limanya dilayangkan ke udara. Sikit sahaja lagi terkena muka Hadi, namunHadi pantas mengelak. Dia berlari ke belakang perompak itu. Buku lima perompak itu hanya mampu menumbuk angin. Dia memusingkan badan ke belakang dan melayangkan buku limanya lagi. Hadi yang semestinya mempunyai kuasa ketangkasan mampu mengelak dengan melompat tinggi. 

Di udara, kakinya memijak muka perompak itu. Perompak yang dipijak terus terjatuh atas tanah. Setelah mendarat atas tanah, Hadi memasang semula penglihatan malam. Perompak itu kelihatan terkial-kial cuba berdiri, tetapi tidak berdaya.

“Rasakan akibat merompak. Selepas ini, saya mahu awak berdua tidak merompak lagi. Merompak itu salah di sisi undang-undang, tahu!” Hadi bersuara dengan tegas.

“Baiklah… baiklah! Maafkan kami. Kami janji takkan buat lagi. Kami sudah insaf!” perompak itu meminta maaf, siap menyambung kedua-dua tangannya tanda mahu memohon maaf.

*****

“Tahniah kerana berjaya menangkap perompak. Maklumlah, kami sudah lama mahu mengejar mereka,” ucap seorang inspektor yang membahasakan dirinya sebagai Inspektor Ghazali kepada Hadi.

“Sama-sama. Saya mahu tolong sahaja,” jawab Hadi merendah diri sambil tersenyum.

Sementara itu, kedua-dua perompak yang cedera dibawa masuk ke dalam kereta polis untuk dibawa ke balai polis. 

“Oh ya, saya terlupa. Siapa nama kamu?” tanya Inspektor Ghazali, ingin mengenalinya.

“Nama saya Super H. Sayalah superhero,” jawab Hadi dengan yakin, merahsiakan identiti sebenarnya.

Ya, dia yakin. Dia yakin, suatu hari nanti, dia pasti akan menjadi superhero yang terkenal dan berguna. Dia akan membanteras jenayah dan menolong orang dalam kesusahan. Itulah azam Hadi!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: