Certot

Sukan Korea: Taekwando

Hasil nukilan Wan Adli 2 years agoSukan 36

             

“Natasya, sila tumpukan perhatian!” jerit Cikgu Aminah yang merupakan guru mata pelajaran sains merangkap guru kelasnya. 

Jeritan tersebut membuatkan Natasya tersentak seketika lalu dia segera mengalihkan pandangannya ke arah gurunya. Ramai pelajar yang mentertawakannya akibat jeritan tersebut. Salah dia juga kerana berangan ketika guru mengajar. Semenjak dua menjak ini, dia banyak berangan tentang artis-artis Korea.

    Selepas satu jam masa berlalu, bunyi loceng menandakan waktu rehat kedengaran di telinga para pelajar dan guru. Ramai pelajar berpusu-pusu menuju ke kantin. Terdapat juga yang menuju ke pondok rehat yang berada di halaman sekolah.

    Apabila tiba waktu rehat, Natasya segera mengajak Elisa yang merupakan kawan baiknya pergi ke pondok rehat berhampiran. Semasa dalam perjalanan menuju ke pondok rehat, dia dan Elisa melihat ramai pelajar pergi ke papan kenyataan. Terdetik di hatinya mahu melihat apa yang terjadi, lalu dia segera menuju ke papan kenyataan.

    Setibanya di sana, dia melihat sekeping brosur yang ditampal di papan kenyataan. Brosur tersebut menunjukkan bahawa pertandingan taekwando akan dijalankan. Natasya tidak menghiraukan brosur tersebut memandangkan dia tidak menyukai sukan.

*****

    Selepas pulang dari sekolah, Natasya terus meluru ke meja makan untuk makan tengah hari. Dia makan sambil menyanyi lagu artis Korea kegemarannya. Perbuatannya itu ditegur oleh ibunya.

    “Natasya, mama lihat semenjak ini kamu tak habis-habis dengan lagu Korea. Bidang sukan pun lemah,” ujar Puan Hamidah.

    Terdetik hati Natasya ingin mengetahui sukan Korea yang ada di Malaysia apabila ibunya berkata begitu. Lama dia memikirkan tentang persoalan tersebut yang berlegar-legar di kepalanya.

    Lantas, dia segera menanyakan persoalan tersebut kepada ibunya. Ibunya menjawab bahawa seni bela diri taekwando merupakan antara sukan Korea yang ada di Malaysia.

    Dia teringat akan brosur yang ditampal pada papan kenyataan di sekolahnya. Namun, persoalan lain pula timbul di benaknya. Dia tertanya-tanya adakah taekwando yang merupakan seni pertahankan diri adalah satu jenis sukan? Persoalan tersebut disematkan dalam hati. 

*****

    Kring!

    Bunyi loceng menandakan waktu rehat sudah kedengaran. Seperti biasa, ramai pelajar berpusu-pusu pergi ke kantin. Namun, Natasya mempunyai perkara lain yang harus dilakukan. Dia mengajak Elisa pergi ke papan kenyataan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai brosur yang dilihat semalam. Elisa menuruti sahaja kehendak Natasya yang merupakan kawan baiknya.

    Setibanya di sana, Natasya membaca segala isi kandungan yang tertera di brosur tersebut terutama syarat-syaratnya. Antara syarat yang dikenakan ialah berumur 14 hingga 16 tahun. Nasibnya baik kerana umurnya sudah genap 14 tahun. Natasya berasa gembira kerana dapat menyertai pertandingan tersebut lalu melompat keriangan.

    Tiba-tiba Natasya terdengar bunyi herdikan daripada seseorang dari arah belakangnya. Dia segera menoleh untuk mengetahui siapa pemilik suara yang mengherdiknya. Dilihat seorang pelajar perempuan dan beberapa pengikutnya memandang ke arahnya. Natasya segera menatap wajah pelajar tersebut dan cuba mengingati siapa gerangan yang mengherdiknya. Dia teringat bahawa pelajar tersebut merupakan sepupu kawan baiknya yang berada bersebelahan dengannya.

    “Cis, ada hati mahu menyertai pertandingan taekwando. Kau jangan nak teruja sangat. Kau tetap tak boleh kalahkan aku,” kata Erica dengan angkuh dan sombong sebelum beredar dari situ. Ramai pelajar mengenali Erica yang merupakan juara pertandingan taekwando dua kali berturut-turut.

    Mendengar kata-kata Erica yang berbaur merendahkan diri Natasya, sepupu Erica iaitu Elisa yang merupakan kawan baiknya segera menenangkan fikirannya. Kata-kata Erica tidak dihiraukan dan tidak akan menjadi penghalangnya untuk berjaya.

*****

    Sesampainya Natasya di rumahnya, dia segera menuju ke arah ibu bapanya yang berada di ruang tamu. Dia memulakan bicara tentang hasratnya untuk memasuki pertandingan taekwando yang akan diadakan di sekolahnya. Ibu bapanya terus membenarkan hasratnya itu lalu Natasya segera mengucapkan terima kasih kepada ibu bapanya.

    Selain itu, ibunya juga teringat bahawa latihan taekwando untuk para remaja akan diadakan di dewan serbaguna yang berada berdekatan dengan rumahnya. Latihan tersebut akan bermula hari ini dan akan diadakan pada setiap petang.

    Natasya segera bersiap untuk menghadiri latihan tersebut. Ibunya , Puan Hamidah akan mendaftarkannya dalam latihan tersebut. 

    Selepas pendaftaran, latihan dimulakan dengan diketuai oleh jurulatihnya iaitu Sir Aznil dan beberapa senior yang akan membantu jurulatih melatih para peserta. Banyak aktiviti yang dilakukan semasa latihan dijalankan.

    Sejak hari it , latihan tersebut menjadi rutin harian Natasya pada waktu petang. Masa yang terluang akan digunakan untuk mempelajari teknik-teknik dalam taekwando. Encik Akmal dan Puan Hamidah yang merupakan ibu bapa Natasya, bangga melihat anaknya yang bersungguh-sungguh menyertai pertandingan taekwando.

*****

    Selepas dua minggu, akhirnya masa yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Acara tersebut dijalankan pada waktu pagi di dewan sekolah. Ramai peserta mengambil bahagian dalam acara tersebut serta terdapat beberapa penonton dan ibubapa hadir ke sekolah untuk menyaksikan acara.

    Natasya datang ke sekolah dengan berpakaian rasmi taekwando serta ditemani ibu bapanya. Elisa turut hadir untuk memberikan semangat kepadanya. Selain itu, jurulatihnya iaitu Sir Aznil juga hadir untuk menyaksikan acara tersebut.

    Para peserta dikumpulkan di tepi dewan untuk diberi taklimat. Selepas pendaftaran dan sesi taklimat, acara terus dimulakan dengan melakukan undian terlebih dahulu.

    Selepas satu jam acara dimulakan, akhirnya tiba giliran Natasya untuk beraksi di medan perlawanan. Tiba di gelanggang, Natasya berdoa agar dipermudahkan dalam acara tersebut.

    Prit!

    Acara dimulakan lalu Natasya segera membuka kekuda pada kakinya. Acara berlangsung dengan lancar sehingga tiba peringkat akhir. Tidak disangka, dia dapat meneruskan acara hingga peringkat akhir. Natasya gembira kerana dapat berlawan sehingga acara kemuncak. Kini, dia akan berlawan dengan Erica yang merupakan juara bertahan sebelum ini.

    Semasa dalam perlawanan, dia teringat teknik untuk mendapat markah paling tinggi yang diajar oleh jurulatihnya lalu segera mencari peluang. Erica yang sentiasa membuat serangan kelihatan penat lalu Natasya segera mengambil peluang tersebut untuk membuat teknik turning kick.

    Prit!

    Tiba-tiba tangan Natasya diangkat oleh pengadil menandakan Natasya ialah juara pada tahun ini. Erica yang sedang berdiri berdepan dengannya tergamam lalu terduduk di atas gelanggang.

    Seluruh penonton yang berada di situ bertepuk tangan menandakan ucapan tahniah ke atas Natasya. Para jurumudi acara mengumumkan nama Natasya sebagai pemenang. Encik Akmal, Puan Hamidah, dan Sir Aznil berasa bangga meliihat kejayaan Natasya. Natasya yang sedang memegang pingat emas tersebut gembira lalu mengenggam pingat tersebut serta bersyukur kerana memperolehi pingat emas.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: