Certot

Siapa Diriku?

Hasil nukilan Arissa Homura 2 years agoSukan 102

Namaku Nur Suhaida dan berumur 15 tahun. Aku bersekolah di SMK Ayer Tawar dan belajar di kelas 3A3. Selain itu, aku merupakan seorang anak tunggal. Sepanjang di sekolah, aku sering berseorangan kerana keperitan yang kutanggung selama ini.

Seperti yang aku nyatakan tadi, aku sentiasa merasakan bahawa dunia ini tidak adil bagiku. Mengapa? Sebab mereka di luar sana sering menuding pada silapku sahaja walaupun tidak melibatkan sesiapa. Mereka anggap diri mereka sahaja yang sempurna. Padahal, aku tidak pernah menyalahkan sesiapa. Ini kerana aku merupakan seorang yang pendiam.

Di samping itu, mereka sering memalukanku dengan menggunakan laman sosial. Mereka itu adalah Zaireen, Filzah, dan Rozana. Pada hari sukan tahunan yang lalu, Zaireen dari kelas 3A2 merakam satu kejadian apabila aku jatuh tergolek sewaktu berlari dengan bersungguh-sungguh dalam acara balapan. Kemudian, Zaireen memuat naik rakaman tersebut ke dalam Twitter, Facebook, dan Instagram sehingga membuatkan nama baikku tercemar dengan pelbagai kutukan daripada orang luar. 

Aku tidak sanggup untuk menunjuk muka di hadapan murid-murid yang lain. Kerana aku rasa maruah diriku tercela. Jika aku membalas perbuatan mereka, sudah tentu lebih ramai orang benci akan diriku. Biar Allah yang membalasnya.

Keji! Jahat! 

Mereka tidak tahu siapa diriku yang sebenarnya. Aku tidaklah begitu handal dalam bidang sukan, namun amat meminati sukan. Aku sering melihat di kaca televisyen serta majalah tentang kegiatan sukan di seluruh dunia.

Bak seni kata lagu Siapa Diriku yang dinyanyikan oleh Ayda Jebat, ‘Kau tak tahu siapa diriku hanya tuhan yang tahu’. Melalui lirik itu, aku berubah untuk menjadi seorang yang kuat. Aku mahu mereka tahu siapa diriku yang sebenar!

Aku berlatih bermain bola jaring dengan jiran-jiranku pada setiap petang kerana perlawanan bola jaring antara kelas akan bermula tidak lama lagi. Walaupun badanku agak gempal dan rendah, aku tidak akan mengalah. Aku belajar serba sedikit tentang bola jaring bagaimana untuk menyerang pihak lawan dan menjaringkan bola.

Selain itu, aku bertekad untuk kuruskan badan supaya lebih senang untuk menjaringkan bola nanti. Dalam masa 28 hari, berat badanku menurun sebanyak tujuh kilogram.

*****

Tiba masa yang dinantikan, pasukan kelasku bersedia untuk bertanding dengan kelas-kelas yang lain. 

Dalam perlawanan itu, kami berjaya menewaskan semua kelas, kelas terakhir yang akan kami lawan untuk merebut gelaran juara ialah kelas 3A2. Tiba-tiba perasaan takut menyelubungiku. Mana tidaknya jika ada tiga orang diva yang berlagak.

“Wah, si badak yang tergolek-golek seperti kambing golek telah kurus? Haha… tetapi tidaklah seramping kita, betul atau tidak?” suara Zaireen muncul bagaikan halilintar yang menusuk hatiku.

Aku tidak pedulikan mereka walaupun perasaan marah mula membara di hatiku. Apa yang penting, kelas 3A3 mesti menang dalam pertarungan ini!

Sewaktu pertarungan antara kelas 3A2 dengan 3A3, aku mengambil perhatian sepenuhnya pada permainan. Sewaktu sibuk menghantar bola, Filzah cuba menghalangku dengan menggunakan bedak talkum busuknya sebagai senjata rahsia untuk ditempek pada mukaku. Namun begitu, cubaannya gagal. 

Kemudian, Zaireen menggunakan telur busuk untuk dibaling pada pihak lawan. Rakanku, Saleha sempat membuat hantaran padaku sebelum kena serangan daripada si Zaireen. Selepas itu, aku berjaya membuat jaringan sebelum masa tamat. Dan, kelas kami menewaskan kelas 3A2,  1-3!

Akhirnya, kelasku dinobatkan sebagai juara! Aku amat gembira kerana dapat mengharumkan nama kelas dan namaku. Selain itu, rakan-rakan serta guru memuji kehebatanku.

Zaireen dan dua orang rakannya mengalah dan berasa malu kerana mengutukku. Kemudian, mereka meminta maaf padaku atas kesilapan yang pernah mereka lakukan. Mereka sudah tahu siapa diriku yang sebenar. Alhamdulillah, syukur!

Inilah aku, Nur Suhaida!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: