Certot

SI GENIUS PENYELAMAT KAMPUNG AISKRIM

Hasil nukilan GADIS UNGU 3 years agoFantasi 51

Dailami seorang murid yang berumur 12 tahun. Dia juga ialah seorang murid yang genius. Dia suka membaca buku. Dailami seorang yang sangat berani dan berkeyakinan tinggi.

Suatu petang, Dailami pergi ke sebuah perpustakaan awam lama yang berdekatan dengan sekolahnya dan dikatakan perpustakaan awam itu sudah lama tidak ada pengujungnya. Semasa Dailami sedang membaca buku, pustakawan di situ memberitahu bahawa dia ingin ke tandas sebentar. Maka tinggallah Dailami berseorangan di perpustakaan itu. Tiba-tiba pintu yang tertulis ‘Jangan Masuk’ bergegar. Lalu dengan beraninya Dailami membuka pintu itu dan tiba-tiba dia ditarik ‘sesuatu’ lalu dia hilang serta-merta.

Selepas beberapa ketika, Dailami membuka matanya dan mula memandang sekelilingnya, dia berasa hairan kerana semua objek di sekitarnya berbentuk aiskrim! Setelah difikir kembali, barulah Dailami sedar bahawa dia tidak lagi berada di perpustakaan tadi. Dailami memberanikan diri untuk meneroka tempat yang berbentuk aiskrim itu. Tiba-tiba dia terjumpa persimpangan jalan lalu terlihat papan tanda yang tertulis Kampung Aiskrim.

Selepas membaca papan itu, tiba-tiba dia ditegur oleh seorang kanak-kanak perempuan yang bermuka seperti patung permainan yang popular iaitu Barbie . Dia memperkenalkan dirinya sebagai Marrya. Marrya juga seorang manusia biasa yang telah tersesat di Kampung Aiskrim.

Marrya mengajak Dailami untuk tinggal di rumahnya buat sementara waktu. Dailami menurut sahaja. Lagipun dia langsung tidak tahu selok-belok kampung itu. Sepanjang perjalanan Dailami berasa amat kagum melihat rumah-rumah yang terdapat di kampung itu kerana rumah-rumah di situ berbentuk aiskrim.

Akhirnya mereka berdua pun tiba di rumah Marrya. Apabila masuk ke dalam rumah, Marrya dan Dailami berbual berkenaan Dailami yang tiba-tiba tersesat di kampung pelik ini. Usai menceritakan masalahnya itu, Dailami pula bertanya kepada Marrya berkenaan cara untuk kembali semula ke dunia. Tetapi Marrya berkata bahawa untuk ke dunia, dia perlu melalui pintu rahsia yang berpenjaga. Penjaga itu amat pandai. Malah, tiada manusia yang sampai ke dunia melainkan menjadi hamba kepada penjaga pintu itu kerana tidak dapat menjawab soalan-soalan yang amat susah dan menguji minda.

Keesokan harinya, Dailami bertekad untuk pulang ke dunia kerana tidak sanggup tinggal di dunia yang aneh itu lagi. Menurut cerita Marrya, pintu rahsia itu berada di sebalik air terjun di hujung kampung itu. Berbekalkan keyakinannya, Dailami pergi ke tempat pintu rahsia itu untuk keluar dari kampung itu.

Dengan kebijaksanaan Dailami, dia berjaya menjawab semua soalan yang amat susah dan menguji minda itu. Sebelum dia pulang, Dailami sempat memohon permintaan agar semua manusia yang menjadi tawanan dan yang telah sesat dalam Kampung Aiskrim itu dihantar ke dunia semula. 

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: