Certot

SENIOR VS JUNIOR

Hasil nukilan Nurnisa 2 years agoSukan 25

“Berani kau lawan aku, Fiona Raisya Binti Dato’ Hairul yang popular ini? Okey, kalau kau berani sangat, aku cabar kau bertanding dengan aku dalam Pertandingan Super Smash Badminton yang akan berlangsung tiga minggu dari sekarang.”

  Terngiang-ngiang kata-kata Fiona dalam fikiran Hana. Kata orang, Fiona itu merupakan seorang senior yang sangat handal dalam sukan badminton. Bahkan setaraf pemain badminton terkenal, Dato’ Lee Chong Wei. Berbanding dengan dia, Hana hanyalah seorang junior yang biasa-biasa sahaja. Sudahlah baru-baru ini dia terjatuh dan mengalami sedikit kecederaan pada tangan kanannya.

  “Awak pasti boleh buat, Hana. Jika awak yakin dengan diri awak, besar kemungkinan awak pasti menang!”

  “Kami yakin awak boleh!”

  Begitulah kata-kata semangat yang diberikan oleh rakan-rakan kepadanya. Hana berasa sangat terharu. Sejak dari itu, dia sentiasa berlatih bersama rakannya pada waktu petang.

*****

  Hari berganti hari, minggu berganti minggu, hari Pertandingan Super Smash Badminton pun tiba. Hana berasa sangat gementar. Tetapi, dek kata-kata semangat daripada rakan-rakanya, Hana berasa sedikit tenang. Tepat pukul 9.00 pagi, pertandingan dimulakan.

  Hana bermain dengan bersungguh-sungguh. Dia berpegang teguh dengan motonya, ‘Jika yakin dengan diri kita, kita pasti boleh melakukannya!’. Permainan berlangsung dengan sengit. Tanggapan murid-murid lain kepada Hana sebelum ini ternyata meleset. Sangka mereka, Hana pasti kalah pada awal-awal perlawanan. Tetapi, mereka terlopong tatkala melihat betapa tangkasnya Hana bermain.

  Setengah jam berlalu, kedengaran bunyi sorakan daripada murid-murid yang menonton perlawanan tersebut.

*****

  “Johan berjaya dimenangi oleh Nur Hana Binti Zakwan. Sila berikan tepukan gemuruh kepada adik Hana.”

  “Tahniah, Hana! Kami sudah katakan awak pasti boleh jika awak yakin dengan diri awak,” ucap Safra, rakan baik Hana.

  “Terima kasih. Ini juga berkat dorongan awak semua,” balas Hana pula, merendah diri.

  Sesungguhnya, kemenangan ini merupakan kemenangan yang tidak disangka-sangka olehnya. Memang tidak dinafikan, Fiona sangat handal dalam sukan badminton. Entah bagaimana, Fiona tersilap langkah apabila mahu membalas pukulan smash Hana.

*****

  “Tahniah, Hana! Saya minta maaf kerana berkasar dengan awak hari itu.” Hana terkejut kerana Fiona datang hendak berdamai dengannya.

  “Terima kasih. Awak pun apa kurangnya, handal seperti Dato’ Lee Chong Wei. Saya pun minta maaf jika saya juga ada berkasar dengan awak.”

  “Kawan?”

  “Okey, kawan!”

  Sejak itu, Fiona mula berubah dan berkawan baik dengan Hana. Hana bersyukur kerana ada hikmah di sebalik Pertandingan Super Smash Badminton yang dianggapnya perlawanan Senior VS Junior.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: