Certot

Selimut Baru Saya

Hasil nukilan Nur Humairah H. Bumiddin 3 years agoFiksyen 50


Dua minggu lepas, ibu dan ayah hadiahkan saya sehelai selimut baru yang sangat cantik dan lembut. Selimut itu besar, lebar, dan senang dilipat. Ia berwarna ungu lembut dengan corak polkadot pelbagai saiz berwarna merah jambu.

Semasa saya guna selimut baru, tidur saya jadi lena dan selalu bermimpi yang indah-indah. Tidak sama perasaan semasa memakai selimut lama. Saya rasa tidak lena dan sekejap sahaja tidur.

Bila guna selimut baru, saya rasa gembira dan bahagia. Bukan semasa tidur sahaja, sambil menonton televisyen pun saya berselimut. Lebih-lebih lagi semasa waktu hujan. Kadang-kadang saya rasa nak bawa selimut baru itu ke sekolah untuk ditunjukkan pada kawan-kawan. Tapi saya bimbang dimarahi ibu.

Sebelum ada selimut baru, saya guna selimut yang keras, agak lusuh, dan coraknya tidak cantik. Kata ibu, selimut itu digunakan oleh ayah saya semasa dia kecil dulu.

Sekarang selimut itu semakin kecil untuk saya. Bila saya berselimut, ia tidak tutup bahagian kaki. Saya rasa sejuk dan selalu digigit nyamuk. Saya kemudian mengadu kepada ibu.

Semasa berjalan-jalan di pasar raya, saya ternampak selimut yang cantik. Saya beritahu ibu saya mahu selimut baru seperti selimut itu, tetapi ibu diam sahaja walaupun dia membelek-belek selimut itu. Waktu itu saya rasa agak kecewa kerana ibu tidak pedulikan permintaan saya.

Suatu hari, semasa ibu dan ayah pulang dari urusan di luar, ibu menyerahkan satu beg plastik kepada saya. Apabila saya buka, di dalamnya ada selimut baru. Saya tersenyum gembira dan mengucapkan terima kasih. Rasa sayang saya pada ibu dan ayah makin bertambah.

Saya akan jaga selimut pemberian ibu dan ayah saya itu dengan elok supaya tidak kotor dan koyak. Kalau kotor saya akan basuh supaya ia sentiasa bersih dan wangi.

Apabila balik kampung nanti, saya akan bawa selimut baru itu sekali. Di kampung, saya dan sepupu-sepupu selalu buat camp fire di depan rumah opah pada waktu malam. Saya akan gunakan selimut itu untuk tidur di dalam khemah.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: