Certot

Selamat Tinggal, Papa

Hasil nukilan Princess AK 2 years agoSuperhero 10

           

Afina tidur lena di atas katilnya. Pasti penat setelah seharian di sekolah. Mujur saja esok merupakan hari cuti. Ketika gadis itu sedang tidur lena, biliknya dimasuki seseorang.

Encik Farhan tersenyum melihat anak perempuannya itu. Tapi ketenangannya cuma sebentar apabila dia teringat mesej ugutan itu. Sekali lagi telefonnya berbunyi, menandakan mesej masuk.

Cepat-cepat Encik Farhan membuka peti mesej. Ada dua mesej daripada dua orang yang berlainan.

“Kau takkan dapat lari daripada aku FTBang. Aku akan jejak kau. Anak perempuan kesayangan kau itu tak akan selamat. Tak akan!”

Kecut perut Encik Farhan ketika membaca mesej itu. ‘Tak boleh, aku tak boleh takut dengan Satanwoo. Aku harus berani demi Afina. FTBang takkan mengalah. Aku boleh buat,’ bisik hati Encik Farhan, atau mungkin lebih dikenali dengan FTBang.

“FTBang, nyawa kamu dan Afina dalam bahaya. Datang ke markas sekarang. Kita perlu fikirkan jalan penyelesaian secepat mungkin.”

Encik Farhan menarik nafas lega. Beberapa barang penting sudah dikemaskan sebentar tadi. Sekarang dia cuma perlu bawa Afina.

“Afina, bangun sekarang. Kita perlu berpindah.” Encik Farhan menggoncang tubuh anak perempuannya itu. Rambut panjang Afina disisir ke tepi.

“Kenapa?” tanya Afina sepatah. Dia masih dalam keadaan separa sedar.

“Papa akan terangkan nanti. Sekarang, cepat bangun.” 

Afina perlahan-lahan bangun dari tempat tidurnya. Afina mendepakan tangan tanda meminta untuk didukung. Encik Farhan tersenyum. Tubuh kecil kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun itu diangkatnya dan diletakkan di bahu. Satu beg yang mengandungi beberapa barang penting digalas di bahu kanan.

Encik Farhan menggunakan kemahirannya, iaitu teleport, kemahiran muncul di mana-mana saja tempat yang disukai.

“Eh, bukankah kita di rumah? Macam mana boleh ada di sini pula?” Pandangan mata Afina menerawang ke seluruh markas berwarna biru merah itu. Cantik, bisik hatinya.

“Papa buat silap mata, hebat bukan?”

“Hebat!” Tergelak Encik Farhan melihat telatah anaknya itu.

“Selamat datang, FTBang, dan hai, Afina Auni.” Suara misteri bergema di dalam markas itu. Tangan Afina menggenggam kemas baju ungu Encik Farhan. Rambut lurusnya beralun ditiup angin kuat yang muncul bersama seorang lelaki tua.

“Professor Kirito.” Encik Farhan cuba meletakkan Afina untuk tunduk hormat kepada professor dari Jepun itu. Professor Kirito hanya tersenyum tanda tidak mengapa.

“Papa, siapa lelaki tua ini? Afina takut.” Afina mengemaskan genggamannya di baju Encik Farhan. Riak wajahnya masih tidak berubah dari tadi.

“Afina sayang, tak perlu takut. Kenalkan, ini Professor Kirito. Majikan papa. Salam.” Afina tidak bergerak kerana masih tidak dapat menyusuaikan diri.

“Tidak mengapalah FTBang. Terima kasih kerana datang ke sini secepat mungkin. Saya amat bimbangkan nyawa Afina. Dia masih kanak-kanak,” ujar Professor Kirito dengan nada risau.

“Setakat ini, Satanwoo masih belum dapat mengesan kedudukan markas ini. Tapi kita tetap perlu bersiap sedia. Saya tidak risaukan kamu, FTBang. Saya risaukan Afina.” Professor Kirito mundar-mandir di dalam markas yang besar itu.

“Professor tak perlu risau. Saya yakin Afina boleh menjaga dirinya sendiri. Dia sudah dibekalkan dengan ilmu mempertahankan diri,” jawab Encik Farhan tenang.

“Tak! Dia tak boleh!” Professor Kirito menghentak meja di depannya.

“Ilmu mempertahankan dirinya masih di tahap rendah, sedangkan Satanwoo, musuh kita lebih kuat daripada kamu, FTBang. Dia juga punya beberapa orang upahan! Kamu tak mampu melawannya seorang FTBang.”

*****

 

“Kamu yakin, Afina boleh menyesuaikan dirinya dengan kuasa ini?” Professor Kirito membelek jam tangan itu.

“Saya yakin, professor. Afina sangat gemarkan bunga-bungaan. Itu kelemahan Satanwoo dan orang-orangnya. Mungkin dengan cara ini, kita boleh kalahkan mereka.” Encik Farhan tersenyum dan mengesat peluh di dahi.

“Tak mungkin kuasa Afina cuma bunga-bungaan! Kuasa itu tidak cukup untuk mengalahkan mereka.” Professor Kirito merenung tajam anak buahnya itu. Tak mungkin FTBang tak mampu berfikir. Dia ialah superhero terbaik yang Professor Kirito pernah jumpa.

“Ais.”

“Ais?” Dahi Professor Kirito berkerut.

“Afina ialah IceFlower. Kuasanya ialah ais dan bunga. Dia boleh bekukan sesiapa saja, dan menukarkan manusia menjadi bunga,” terang Encik Farhan satu persatu.

“Bijak! Inilah anak buah saya!” Professor Kirito menepuk bahu Encik Farhan.

“Afina! Datang ke sini sekarang!” Encik Farhan memanggil anaknya yang sedang bermain bersama Aiyu, kucing betina berbulu putih yang dibela oleh Professor Kirito.

“Ya papa?”

“Pakai jam tangan ini.” Afina menurut perintah ayahnya.

Jam tangan berwarna biru dan merah jambu itu dipakaikan di pergelangan tangan. Seketika, dia merasakan ada sesuatu menjalar di dalam tubuhnya. Sejuk tetapi menyamankan. Bau harum mula muncul.

“Afina, tujukan jari telunjuk ke arah pasu dia sana. Jerit kuat-kuat, aku tukarkan kau menjadi bunga.” Afina melakukan seperti apa yang disuruh.

“Wah, bunga orkid! Cantiknya!” Afina melompat gembira melihat bunga itu.

“Halakan pula jari telunjuk kepada cicak di sana. Sebut bekulah kau.” Afina sekali lagi melakukan seperti yang disuruh.

Seketika kemudian, cicak di siling itu jatuh ke tanah di dalam ketulan ais. “Hebat! Tapi papa, kasihan cicak itu.” Panjang muncung Afina melihat cicak itu kesejukan.

“Untuk cairkan ais itu, cuma papa saja boleh. Lihat.” Encik Farhan menggenggam tangannya. Jarinya dibentuk seperti pistol.

Bang! Dan cicak itu bebas dari ketulan ais itu. Afina tersenyum melihat perkara itu.

“Hahaha!” Ketawa itu bergema kuat di markas tersebut. Afina menyorok di belakang kaki ayahnya.

“FTBang, kita berjumpa lagi.” Pemilik suara itu akhirnya muncul di hadapan mereka.

“Apa kau mahu Satanwoo? Apa yang kau masih tak puas hati dengan aku? Kau mahu bunuh aku, bunuhlah! Mahu ambil aku jadi hamba kau, ambillah! Tapi aku ingatkan, kau jangan sesekali dekati anak aku!” Oktaf suara FTBang semakin menaik.

“Tak ada apa-apa. Sekadar datang mahu melawat,” balas Satanwoo bersahaja.

“Kalau tiada apa-apa, baik kau pergi sekarang.” FTBang masih tidak melepaskan tangan anaknya.

“Baiklah, aku berterus terang. Aku mahu anak kau, aku mahu melatih dia menjadi seorang super jahat.” Satanwoo terus ketawa berdekah-dekah selepas melihat riak wajah FTBang yang berubah.

“Langkah mayat aku dulu Satanwoo!” FTBang terus mara ke hadapan, mencabar Satanwoo yang bersenang-lenang di atas sofa kecil itu.

“Senang saja! Serahkan kepada aku.” Mereka bersedia untuk berlawan.

FTBang melayangkan bebola api ke arah Satanwoo. Dengan cekap, Satanwoo menepis serangan itu. Giliran Satanwoo menyerang, FTBang diterbangkan dengan angin yang cukup kuat untuk membuatnya terhentak di sesuatu balang kaca.

Kuasa FTBang semakin lemah kerana terkena cecair yang masih berada di bawah kajian Professor Kirito. Cecair itu membuatkan FTBang terbaring di atas lantai.

“Papa!” Afina cuba berlari ke arah FTBang, namun ditahan oleh Professor Kirito.

“Kalahkan lelaki itu dahulu Afina! Saya akan lihat keadaan FTBang.” Arina terdiam.

“Helo budak kecil! Sekarang ayah kau sudah tiada! Sekejap lagi mungkin giliran kau wahai Afina. Ikutlah pak cik atau nyawa kau akan melayang!

Nafas Afina turun naik kerana marah. “Aku tukarkan kau menjadi bunga!” Sekelip mata Satanwoo bertukar menjadi bunga. Afina membekukan Satanwoo sebelum menuju ke arah FTBang.

“Papa, bangun!” Afina memeluk ayahnya.

“Papa akan pergi sekarang, Afina. Jagalah elok-elok kuasa yang papa berikan itu,” ujar FTBang sebelum terkulai di pangkuan Afina.

“Papa!” Afina menangis teresak-esak.

“Papa pergilah dengan aman. Terima kasih kerana menjaga Afina. Afina janji Afina akan jaga kuasa ini. Selamat tinggal, ayahku.” Afina mencium pipi ayahnya buat kali terakhir. 

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: